Penyakit gigi dan gusi kucing

2 ulasan
Anak kucing bermain berus gigi

Penghadaman makanan bermula dari mulut kucing di mana makanan diambil oleh bibir, dikunyah oleh gigi, dicampur dengan air liur sebelum ditolak ke pembuluh makanan atau esofagus oleh lidah.

Saya rasa tidak ada kucing yang memiliki nafas yang harum, tetapi kucing yang berpenyakit mulut akan mengeluarkan nafas yang ketara busuknya.

Nafas busuk boleh menjadi petanda bahawa berlakunya penyakit gigi, gusi atau ada masalah lain pada lidahnya.

Walaupun kita memberus gigi kucing dengan baikpun, masalah gigi boleh muncul juga, meskipun tak sekerap berbanding tidak dijaga langsung.

Gigi dan mulut kucing biasanya diperiksa oleh doktor sekurang-kurangnya sekali setahun, biasanya dilakukan bersama pemeriksaan tahunan kucing.

Jangan abaikan pemeriksaan tahunan ini. Tandakan dalam kalendar masing-masing.

Mengapa masalah gigi berlaku?

Sepertimana sesetengah manusia yang memiliki gigi rosak, ada sesetengah kucing juga memiliki gigi rosak secara semulajadi.

Sebahagian lain pula giginya rosak disebabkan pemakanan dan kurang penjagaan gigi.

Gigi kucing boleh patah, rekah, haus, bernanah atau tertanggal sendiri.

Jika anda pertama kali membawa kucing ke klinik untuk dilakukan pemeriksaan ini, jangan terkejut kalau diberitahu kucing anda sebenarnya telahpun kehilangan sebatang dua giginya.

Kucing yang mempunyai masalah mulut biasanya kurang selera makan kerana mulutnya sakit. Tapi ada juga boleh makan seperti biasa.

Pun begitu, ia tetap perlu dirawat kerana jangkitan mulut boleh diserap ke dalam darah dan merebak ke organ-organ lain.

Jadi, hanya kerana kucing makan seperti biasa, hantarkanlah juga ke klinik tidak kira umurnya kerana penyakit mulut boleh menjadi lebih buruk.

Penyakit gusi kucing

Biasanya disebut gingivitis, iaitu gusi menjadi kemerahan atau bengkak. Kita biasa memanggilnya sebagai bengkak gusi.

Kadang-kadang selain kemerahan, gusi juga membengkak besar hingga menutupi gigi.

Ia juga disusuli lelehan air liur, nafas busuk dan keradangan pada penjuru mulut hinggakan kucing sukar membuka mulutnya.

Sebagaimana penyakit lain, makin dibiarkan makin melarat. Pencegahan awal amat-amat penting.

Beberapa penyakit lain boleh menjadi punca kepada masalah gusi seperti:

  • Virus leukemia felin (FLV)
  • Virus imonukurangan felin (FIV)
  • Jangkitan gigi
  • Neoplasia iaitu sejenis ketumbuhan

Apakah rawatannya?

Kadangkala doktor akan lakukan ujian FeLV dan FIV terhadap kucing yang berpenyakit gusi.

Jika keputusannya negatif, giginya akan dibersihkan dan mana-mana gigi berpenyakit pula samada dibaiki atau dicabut.

Biopsi atau sampel lendir gusi mungkin akan diambil dan kucing anda diberi ubat antibiotik.

Hasil biopsi ini akan menentukan samada perlu ubat-ubatan lain atau tidak.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

Lazada Pets

2 ulasan:

  1. Salam, nak bertanya(out of topik),

    Saya baru hantar kucing betina saya yg berumur dlm 6 bulan untuk 'dikasi' pada Sabtu lepas. Sebelum dihantar utk operation, dia menunjukkan perangai yg suka mengiau depan pintu, menggigit gigit, suka berlari ke sini dan ke sana. Saya sangkakan selepas buat operation 'kasi' itu perangai dia akan lebih 'calm' dan rileks. Selepas ambil dia pulang sehari selepas operation, pada mulanya dia rileks sahaja. Tapi dlm beberapa hari perangai lamanya seperti yang saya sebut tadi muncul semula. Kenapa ini terjadi? Saya sangkakan kucing yg telah dikasi akan lebih 'calm' perangainya.

    Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Perangai yang en Hairaul ceritakan tu lebih kepada perwatakan kucing tu sendiri; suka mengiau, menggigit, bermain.

      Kasi tidak ubah watak kucing. Yang diubah ialah tingkahlakunya galaknya, dan mengelakkan perkara² lain (barah rahim, pembiakan tak terkawal, menyusahkan jiran dsb).

      Kucing yang (misalnya) suka menggigit, akan tetap menggigit selepas kasi. Untuk ubah perangai ni, boleh cuba baca di bawah:
      Menetapkan peraturan dalam rumah.
      Menggembirakan kucing yang bosan.

      Dan beberapa lagi: Perilaku.

      Kalau tingkahlaku galak (cari jantan) masih terjadi (jangan keliru dengan karenah atau watak), boleh bawa semula ke klinik untuk lihat hormon estrogen masih tinggi atau tak.

      Padam