Panduan Memandulkan Kucing Betina dan Apa Anda Perlu Tahu

47 ulasan
Kucing terlalu banyak

Sepertimana kucing jantan, kucing betina juga seeloknya dimandulkan atau spay. Penjagaan kucing sebelum dan selepas pembedahan adalah hampir sama seperti kucing jantan yang dikembiri, jadi kebanyakan kandungan catatan ini saya hanya salin sahaja daripada catatan sebelumnya.

Apa itu spay?

Spaying atau Ovariohisterektomi yakni pemandulan ialah pembedahan di mana bahagian uterus, salur falopio dan ovari kucing betina akan dibuang.

Kebanyakan klinik melakukan pemandulan ke atas kucing sebagai pesakit luar, iaitu kita bawa kucing, dibedah dan pulang pada hari yang sama.

Kucing akan diletakkan dalam keadaan bius, biasanya secara gas, dan bahagian perut (abdomen) akan dibedah. Bahagian rahimnya akan dibuang dan luka pembedahan akan dijahit.

Jahitan itu samada tertanggal sendiri atau anda perlu membawa kucing anda kembali ke klinik untuk dibuang jahitan selepas lebih kurang 10 hari, bergantung kepada pertimbangan doktor itu sendiri.

Mengapa perlu spay?

Pemandulan akan menghalang kucing betina mengalami kitar heat dan menyelesaikan masalah kerumitan pada bahagian ovari, pembiakan tidak terkawal, jangkitan uterus, dan masalah perilaku yang berlaku semasa tempoh mengawan.

Ini juga dapat mengurangkan tekanan yang dialami kucing betina (dan juga anda!) terhadap kerumitan yang dilalui semasa ia galak.

Selain daripada masalah perilaku yang berlaku, kucing betina galak juga mungkin akan menjilat bulunya secara keterlaluan, hilang selera makan dan kencing di luar bekas pasir.

Kucing ialah haiwan yang cepat beranak dan pemandulan menghalang daripada berlakunya pembiakan tak terkawal. Seekor kucing melahirkan 3-4 ekor anak, dan dalam beberapa bulan dia akan mengandung lagi, dan melahirkan beberapa ekor anak lagi.

Dalam masa yang sama anak-anaknya akan dewasa, dan yang betina akan baligh dan melahirkan anak mereka pula. Adakah kita mampu untuk menjaganya? Makanan, tempat tinggal, ubatan dan tidak lupa juga hubungan di antara jiran-jiran (kencing pada tayar kereta jiran, berak pada tangga rumah jiran)?

Janganlah terlalu mudah mengatakan ini semua menzalimi kucing. Bagaimana pula hal menzalimi jiran? Telah dibincangkan soal hukum dan apakah benar ianya zalim atau menindas kucing.

Dari segi kesihatan, mandul dapat mengurangkan risiko kanser payudara, jangkitan uterus dan penyakit berjangkit yang dipindahkan melalui hubungan seksual.

Mandul, sepertimana kembiri, akan menjadikan kucing lebih tenang dan tidak merayau jauh, kurang agresif dan tidak begitu mempertahankan kawasannya.

Kucing betina yang dimandulkan akan menjadi teman yang baik kerana lebih suka mendampingi tuannya.

Adakah spay akan mengubah personaliti kucing?

Tidak, malah menjadikannya lebih tenang dan tidak terganggu serta mengganggu anda dan jiran anda setiap kali melalui tempoh mengawan beberapa kali setahun.

Anda tidak akan mengalami masalah kucing betina memancutkan kencingnya merata-rata (ya, kucing betina juga menyembur semasa galak), dan lain-lain perilaku yang muncul semasa tempoh mengawan.

Pemandulan juga tidak akan menghapuskan naluri memburunya, dan tidak akan menjadikannya gemuk atau malas. Ini hanyalah dongeng sahaja.

Memang benar metabolisme kucing akan menurun jika dimandulkan, tetapi ramai yang terlepas pandang bahawa semasa kucing matang, pengambilan makanan perlu dikurangkan tidak seperti semasa dia masih kecil.

Pemandulan tidak boleh disalahkan dalam hal kegemukan oleh kerana kita memberinya makan lebih daripada keperluan kucing itu sendiri. Berkenaan dengan malas, tidak ada kena-mengena dengan mandul.

Malas, boleh jadi kerana kurang senaman, iaitu masa bermain di mana masih ramai pemilik kucing yang mengabaikan masa bermain ini. Akhirnya menyebabkan kucing menjadi bosan.

Bila perlu spay?

Sebaik-baiknya, kita melakukan pemandulan ini sebelum kucing mengalami kitar galaknya yang pertama iaitu lebih kurang umur 6 bulan.

Tidak ada manfaat membiarkan kucing betina mengalami kitar galak pertama , apatah lagi jika membiarkan dia mengandung untuk pertama kali sebelum dimandulkan.

Malah risiko kanser payudara juga akan meningkat jika kita membiarkannya melalui beberapa kitar galak sebelum dilakukan pemandulan. Tetapi banyak manfaatnya jika kita memandulkannya sebelum kucing mengalami tempoh galak.

Selain itu, jika dilakukan sebelum matang, operasi pembedahan juga menjadi lebih mudah dan kurang rumit.

Bolehkah kucing dibawa terus ke klinik?

Hubungi klinik atau hospital dan lakukan janjitemu terlebih dahulu.

Biasanya, doktor akan minta supaya kucing dibawa untuk pemeriksaan am untuk memastikan kucing anda sihat. Ini perkara normal, mandul melibatkan pembedahan iaitu luka yang lebih dalam berbanding kembiri, maka kucing yang sakit ditambahkan lagi luka fizikal, bukanlah perkara yang baik.

Jika ini pertama kali anda membawa kucing ke klinik, kucing anda mungkin diberi ubat cacing dan jika dipersetujui, vaksinasi.

Pada waktu ini juga anda berpeluang untuk melihat sendiri keadaan di klinik itu, dan lakukanlah pertimbangan untuk memilih klinik tersebut atau klinik lain.

Seandainya kucing diberi suntikan vaksin, klinik akan membuat janjitemu kedua untuk dilakukan pengembirian seawal seminggu kemudian.

Saya sarankan dua minggu kemudian kerana tubuh kucing perlukan masa untuk menguasai vaksin yang diberi. Biarlah lambat asalkan selamat.

Apa yang perlu dibuat sebelum dan selepas spay?

Sama juga seperti pengembirian, puasakan kucing anda lebih kurang 10 jam sebelum pembedahan kerana perut yang berisi makanan mengundang masalah semasa pembedahan.

Jika semuanya baik, tidak ada masalah melakukan pembedahan semasa dibius. Jika ada, biasanya disebabkan oleh masalah kesihatan sediada atau teknik pembedahan yang tidak memuaskan.

Ini adalah faktor yang perlu difikirkan jika anda sedang merancang klinik mana mahu dipilih.

Proses pembedahan biasanya mengambil masa antara 20-30 minit dan boleh dibawa pulang pada sebelah petang. Lawatan ke klinik selepas pembedahan biasanya hanya untuk mengeluarkan benang jahitan.

Luka daripada pembedahan pemandulan adalah lebih dalam berbanding pengembirian, maka kaedah penjagaannya juga memerlukan lebih perhatian.

Berbeza dengan kucing jantan, adalah amat penting untuk kita mengurung kucing betina dalam tempoh ini.

Alaskan sangkarnya dengan kain lembut atau sekurang-kurangnya suratkhabar. Pastikan keadaan sangkarnya sentiasa bersih untuk mengelakkan jangkitan pada luka.

Letakkan sangkar ini pada lokasi yang tidak bising, redup atau gelap. Jauhkan daripada kanak-kanak dan bunyi bising.

Periksa jahitan lukanya sekali sehari dan pastikan ianya tidak bernanah, membengkak, darah mengalir atau mengeluarkan bau busuk.

Jika ya, bawanya ke klinik secepat mungkin. Pastikan anda menerima ubatan tahan sakit atau lain-lain yang mencukupi dari klinik.

Pastikan juga anda mendapat penerangan daripada doktor tentang apa-apa penjagaan atau rawatan khusus yang perlu diberikan sebelum dan selepas pembedahan.

Cuba cegah kucing anda daripada menjilat kesan luka itu kerana ia akan melambatkan penyembuhan (bila dijilat, luka itu akan kembali terbuka).

Cara paling mudah ialah alihkan tumpuannya dengan memberikan makanan snek. Anda juga boleh memasangkan kon perawat pada leher kucing untuk mengelakkan ia menjilat lukanya.

Dan jangan lupa ambil nombor telefon klinik anda, sebagai langkah berjaga-jaga untuk tajuk di bawah ini.

Kesan sampingan anestesia

Walaupun pembedahan spay hanya 30 minit, tetapi kucing hanya sedar daripada kesan pelali anestesia selepas 4-5 jam (atau mungkin lebih).

Biasanya doktor akan minta supaya kita tunggu sehingga kucing sedar dahulu sebelum dibawa pulang, kerana itulah prosedur ini kelihatan seperti mengambil masa lama.

Kesan anestesia ini biasanya akan hilang sepenuhnya selepas 48 jam (berbanding kucing jantan yang hanya 24 jam). Dan dalam masa itu, kita akan melihat kucing itu seperti keliru, mabuk, tidak seperti yang kita kenali atau kadangkala muntah dan mengalami cirit-birit.

Sesetengahnya juga seakan hilang daya penglihatan dan sukar berjalan, ada juga yang tidak mengelipkan mata (titiskan ubat mata ke dalamnya jika ini berlaku, minta daripada doktor).

Kesemua ini bergantung kepada jenis pelali yang diberikan atau umur kucing itu sendiri dan ia hanya kesan sementara sahaja dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

Walaupun kucing berada dalam keadaan sebegitu, pastikan ianya tidak dalam kesakitan. Misalnya kelihatan begitu bersusah payah untuk duduk, atau berdiri, meraung panjang, atau meraung dengan suara kecil tapi panjang, berulang-ulang, atau lain-lain tanda (anda lebih mengenalinya).

Dia mungkin menunjukkan rasa tidak selesa dan keliru, tapi bukan menderita atau menahan sakit, jika ya, bawakan semula ke klinik untuk diperiksa.

Ini semua mungkin kelihatan menakutkan, tetapi kebiasaannya baik-baik sahaja dan segalanya berjalan lancar. Kebanyakan kucing yang dimandulkan juga sudah mampu berdiri dan makan seperti biasa keesokan paginya.

Berapa lama kucing yang dimandulkan akan sembuh?

Kucing betina akan sedar selepas pembedahan antara 4-5 jam dan pulih sepenuhnya daripada kesan anestesia dalam tempoh 48 jam.

Luka pembedahan akan sembuh dalam tempoh 10-14 hari dan pada masa ini juga lawatan ke klinik dilakukan untuk membuang jahitan.

Apa lagi yang saya perlu tahu?

Kucing betina boleh makan dan minum seperti biasa selepas 2 hari. Jika dia kurang selera makan, mungkin ianya adalah kesan anestesia sebelum itu dan tidak perlu dibimbangkan. Dapatkan nasihat doktor tentang pemakanannya selepas pembedahan.

Jangan mandikan kucing betina selama 2 minggu selepas pembedahan, walaupun lukanya sudah sembuh tapi risau kalau-kalau terkasar, lukanya akan terbuka kembali.

Elakkan daripada aktiviti kucing terlalu aktif dalam tempoh 2 minggu ini, kurang kan bermain, melompat dan sebagainya.

Perhatikan juga isian bekas pasir, jika ia jenis berdebu mungkin boleh tukar kepada kertas untuk sementara, kerana debunya boleh menyebabkan jangkitan pada luka.

Disebabkan pemandulan ini ialah pembedahan yang menyebabkan kucing tidak lagi dapat melahirkan anak, sesetengah daripada kita mahukan kucingnya merasai pengalaman melahir dan menjaga anaknya.

Ini terutamanya berlaku kepada perempuan. Saya rasa anda hanya mahu memuaskan naluri keibuan anda sendiri dan bukannya kucing itu.

Jika anda berfikir begini, saya ada satu cadangan. Anda berkunjung ke pasar atau restoran, atau di mana-mana tempat yang banyak kucing terbuang, dan lihat sendiri apa yang berlaku kepada anak kucing yang dilahirkan tetapi tidak ada sesiapa yang mahu menjaganya.

Setiap kali anda melihat anak kucing di situ, katakan kepada diri sendiri ,"Saya akan menjaganya".

Selami hati anda, adakah kita jujur mengucapkannya selepas 5 ekor?

Saya cadangkan begitu, kerana dalam masa 2 tahun, kucing anda yang tidak dimandulkan akan mempunyai 16 ekor anak dan sekurang-kurang 8 ekor cucu.

Dan apa yang kita lihat di pasar, kebiasaannya itulah bakal rumah barunya di masa hadapan, iaitu satu kesudahan yang menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku.

Berapa kos untuk spay?

Klinik kerajaan mungkin antara RM60-80 dan klinik swasta paling mahal pun mungkin mencecah RM180. Ada yang memberikan pakej-pakej tertentu seperti pek makanan dan sebagainya, kalau mandul asas sahaja paling mahal pun lingkungan RM80-RM100.

Secara umumnya ia lebih mahal sedikit berbanding kembiri.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

47 ulasan:

  1. Salam,

    Tak pasti sama ada saya bertanya di ruang yang betul atau tidak. Saya baru membeli kucing American Shorthair jantan berumur 7 bulan. Masa di kedai saya tengok dia adalah seekor kucing yang friendly, playful dan sangat jinak walaupun baru pertama kali saya di kedai tersebut. Suka menjilat jari dan hidung saya bila dihulurkan. Senang diajak bermain juga. Itu yang menyebabkan saya 'jatuh cinta' dan membelinya. Walaubagaimanapun, bila di rumah dia seolah-olah takutkan orang. Mengelak apabila ingin disentuh dan tak ingin bermain. Adakah ini disebabkan perubahan tempat baru, atau ada sebab sebab lain mengapa personalitinya berubah? Apa yang patut saya lakukan? Buat pengetahuan saudara, rakan serumah saya juga membeli seekor anak kucing bengal mix jantan berumur 4 bulan pada hari yang sama (dari kedai lain. Adakah ini faktor ini juga mempengaruhi perubahan personalitinya? Terima kasih. Harap saudara dapat memberikan pandangan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. pada hemat saya ya, Benggal agak garang perawakannya. letakkan dia dalam sangkar sehingga benggal dan dia mula rasa biasa dan dapat menerima

      Padam
  2. @ardie, saudara memang terer, semua yang awk ckp tu menyumbang kepada perilaku mengapa kucing akan bersikap lebih waspada terhadap perseitaran baru.

    mmg kita tak boleh expect kucing akan serta-merta mmbiasakan diri dgn rumah baru, apatah lagi kalau ada kucing lain di situ.

    secara amnya, kita kena bantu kurangkan stress dia. jgn bg ramai sgt belai/usap. beri dia masa utk membiasakan diri. dlm tmpoh 2 minggu kebanyakan kucing akan jd biasa dgn rmah barunya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kucing sy da beranak lebih kurg 4 bulan lepas tp anak2 kucing sy x nak berhenti menyusu lagi..adakah normal??satu lagi,si ibu kucing tu sgt berdengki..si ibu x boleh kalau sy lebihkan anak2 kucing.da 2 bulan si ibu asyik berak dlm pasir kucing yg sy khaskan utk si anak2,kalau berak elok x pe la jugak..ni x,berak berterabur..macamana care utk ajar si ibu supaya x berak dlm pasir anak2 kucing???

      Padam
  3. kucing aku bbru ni wt gempak beranak 5! ble ke mandulkn kucing yg dh branak.?

    BalasPadam
  4. Ena, rehatkannya sekitar 8 minggu selepas melahirkan anak.

    saya jelas kan sikit, kenapa 8 minggu? kita kena tunggu anak kucing bercerai susu (sekitar umur 5-6 minggu) dan kemudiannya tunggu lagi lebih kurang 2 minggu supaya ibu kucing tidak lagi mengeluarkan susu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah & thanks for your explanation.

      Padam
  5. heloo,saya nak tanya bole ke mandulkan kucing yang dah beranak

    BalasPadam
  6. Hi,
    Saya nak bertanya, adakah anda seorang vet? saya ada satu soalan, kucing saya baru sahaja pulang dari spaying. Dia tidak mahu makan selama 2 hari, dan saya sangat risau. adakah ini biasa atau dia mungkin sakit?
    kucing saya tidaklah nampak sakit sgt, tetapi agak lemah selepas operation. saya cuba beri dia makan juga, dan ada sedikit perubahan dia hanya makan satu-dua biscuit sahaja. air tidak di sentuh.
    saya buntu. apa yg perlu saya buat?
    terima kasih

    BalasPadam
  7. saya nak tanya, berapakah kos untuk memandulkan kucing? Atau ada cara lain contohnya dari segi pemakanan yang kurangkan kn kos? terima kasih

    BalasPadam
  8. salam,
    saya ingin bertanya sebelum kucing betina atau jantan dimandulkan adakah perlu diberikan suntikan vaksin atau pun tidak dan adakah pemandulan boleh dilakukan terus tanpa diberikan vaksin terlebih dahulu.

    BalasPadam
  9. Assalamualaikum.
    Kucing saya terkena jangkitan uterus. Nanah keluar dari kemaluannya.

    Ada tak rawatab lain selain pemandulan?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ini perlu pandangan doktor. Vet akan tentukan samada rahimnya perlu dibuang atau tidak.

      Padam
  10. Tumpang tanya, inject tu kira mandulkan jugak ke? Ada org kata takyah bedah, inject je. Lagi satu, kalau kucing tu dah sampai tahap nak kahwin, boleh ke pergi inject? Ke kena tunggu?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tidak, itu peredam hormon. Suntik boleh, pil pun boleh. Tapi hanya sementara dan perlu suntikan/pil hormon ulangan. Buat apa buang duit.

      Dan kedua-duanya menambah risiko diabetes/kencing manis. Nak sembuhkan kencing manis? Suntik insulin, duit lagi.

      Akhirnya kucing terseksa asyik disuntik, awak pun terseksa menyuntik duit.

      Padam
  11. Terima kasih tentang penerangan. Sangat membantu saya untuk menerangkan kepada customer saya dengan menggunakan gaya bahasa yang sangat mudah di fahami ;)

    BalasPadam
  12. Info yang sgt bagus. Kucing saya baru je selamat melahirkan anak nya pada 15 nov pukul 6.40 pm. Kucing saya juga akan di spay lepas ni. Byk info yg boleh di pelajari disini. Akan saya praktikan. Terima kasih.

    BalasPadam
  13. info yang bagus. patutlah ada waktunya kucing betina mengeow tak ingat dunia. bila dilepaskan dari sangkar laju je cari geng kucing jantan dari rumah jiran sebelah. dah lama plan nak buat spay tapi appointment spay hari sabtu asyik penuh je

    BalasPadam
    Balasan
    1. Assalam, saya nak tanya, kucing saya baru 3 hari lepas dimandulkan...dan kucing saya tak suka pakai kon perawat. Saya pernah pakaikan dan dia bertindak agresif. Saya banyak kali dah tangkap dia menjilat luka jahitan. Adakah itu perkara biasa? Apa patut saya buat? Saya risaukan luka jahitan tersebut.

      Padam
  14. Hi, (harap2 anda sudi balas)
    Saya ada 2 ekor kucing betina umur almost a year dah tengah heat...
    Baru2 ni saya ada bawa ke klinik untuk pemandulan.
    Saya difahamkan kucing saya perlu di vaksi terlebih dahulu sebelum proses mandul which it takes 3 months since nak vaksin tu sebulan sekali.
    Lepas tu mereka kata kalau dah pregnant tak boleh vaksin pulak.
    Soalan saya betul ke kucing saya perlu full vaksi dahulu baru boleh buat pemandulan?
    Thanks... suzyana81@yahoo.com

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kebanyakan klinik akan minta supaya vaksin dahulu sebelum bedah. Kalau kucing awak berpenyakit nanti berjangkit pula pada kucing lain di klinik tu. Cerita mudahnya begitulah.

      Kucing mengandung atau yang menyusu memang tidak divaksin. Tunggu cerai susu dulu.

      Mungkin ada klinik yang buat vaksin & bedah pada hari sama. Tolonglah jangan buat begitu. Bila disuntik vaksin, tubuh kucing kena lawan penyakit tu, ditambah pula beban untuk sembuhkan luka akibat bedah.

      Rujuk di sini: Vaksin.

      Buatlah satu-satu dulu. Biar lambat asal selamat.

      Padam
  15. hai.. klau bukak jahitan lepas kucing d neuter brapa kos die ya?

    BalasPadam
  16. Assalamualaikum. *Urgent* Harap sudi balas.

    Tumpang tanya,saya ada appointment spay Veterinar Kerajaan untuk 5 ekor, esok.

    -Perlu ke selepas spay, dikurung dalam sangkar?

    Kesan bius akan sebabkan aggresif tak kalau saya kurungkan 2,3 ekor dalam 1 sangkar besar?

    Atau takda masalah untuk kurung/lepas dalam rumah?

    -Dalam 5 ekor tu, termasuk ibu baru lepas beranak 7minggu. Berisiko tak? Dan masih belum cerai susu. Tapi kittens dah di ajar minum susu bancuh.


    Answer me pleaseeeee. I'm panicked. Haha


    Terima kasih! 😊

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wsalam, tak eloklah tanya soalan kecemasan di sini. Saya bukanlah online sepanjang masa.

      1. Kucing dikurung supaya mereka tak banyak bergerak. Spay ni luka dalam, kalau terbukak jadi masalah lain pula.

      2. Tidak ada masalah asalkan cukup besar.

      3. Memanglah boleh, tapi puting dan kelenjar susu yang menonjol semasa tempoh susuan ni boleh merumitkan pembedahan. Lagipun kesianlah pada si ibu dahlah luka, nak kena menyusu anak lagi.

      Padam
  17. SALAM..saya ada dua ekor kucing..seekor kucing jantan seekor lg betina..masalah saya kedua2 kucing dah mengawan tapi masih boleh lagi kah buat kembiri keatas mereka berdua? saya risau juga kot kot da mo menjadi..(mengandung)

    BalasPadam
  18. Boleh ke mandulkan kucing betina masa dia dalam heat? sbb ada yg ckp klau kta sunat kcing btina msa dlm heat.. kcing tu blh mati.. btl ke?

    BalasPadam
  19. saya baru pelihara sepasang kucing jantan dan betina. umur sekitar 5 bulan. Soalan saya, mana yang perlu dikembiri dan dimandulkan atau kedua2nya? Umur yang sesuai melakukan proses ini?

    BalasPadam
  20. Salam..kat mane nk cari kon tu ye..kucen sy nie slalu sngt jilat jahitan..bru je lpas mandulkn 2hari lpas .swasta xde bg kon :(

    BalasPadam
  21. Salam..awal tahun lepas sy ada membela sepasang kucing jantan dan betina(masa tu kecil)skg ni dah ada ank 3ekor.2jantan 1 betina.skg ni mak kucing pulak meroyan nak mengawan..ada niat nak htr utk mandulkan tapi ada sedikit masalah peribadi...ada tak cara yg boleh buat sendiri tanpa perlu htr ke klinik..dan anak kucing yg berapa bulan sesuai utk dimandulkan..sy ad terbaca artikel psl pemandulan dari indon.dia guna pil perancang utk mandulkan kucingnya..selamat atak tdak Ye?

    BalasPadam
  22. Assalamualaikum,
    Maaf nak tumpang tanya, normal ke kucing yang lepas spay tak minum air langsung? Sebab risau dia dehydrated saya force feeding juga tapi dalam kuantiti 2 sudu je. ok ke tidak ek?

    BalasPadam
  23. Assalam....sy nak tye la...kucing betina sy baru 5hari dimandulkan... kurang makan...lebih banyak minum.. yang paling sy risau tempat luka bedah agak elok...benang juga telah tanggal dgn sndr... tp pelik kwsn luke bedah tu membengkak... sy risau kalau2 ade mslh dlmn..walaupon nmpk elok bekas jhitannye.. tlg sy..

    BalasPadam
  24. Admin . Kenapa ye anak kucing saya yang baru lahir 5 hari . Dia tanak menyusu and mulut dia berair ?

    BalasPadam
  25. haii admin. maaf sy nak tanya, boleh ka spay kucing betina klu tgh on heat? tq

    BalasPadam
  26. Assalamualaikum...admin nk tnye kt mna klinik kucing yg blh memandulkan kucing..sbb kucing dh terlalu bnyak 6 ekor kucing betina???..tq

    BalasPadam
  27. saya baru mandulkan kucing betina saya 2 hari lepas...selalu nya yg di buat di bahagian mana ye...sebab ramai yg cakap di perut...tapi kucing saya jahitan yg saya nampak mcm di bontot

    BalasPadam
  28. Hi admin, nak tanya. Kitten saya umur dah nak masuk 5 bulan dan saya kurung dorang. Waktu play time je saya lepaskan sekejap. Umur berapa ya saya boleh lepaskan dorang (dah tak kurung) tapi dorang dah boleh kenal rumah dan pandai balik rumah bila berjalan jauh?

    BalasPadam
  29. Bolehkah kucing betina kemungkinan bunting 2 minggu dikasikan ?

    BalasPadam
  30. Selepas kucing betina dikembirikan, normal ke kalau kemaluan kucing tu bengkak???

    Mohon penjelasan...

    BalasPadam
  31. Haii assalammualaikum boleh ke mandulkan kucing Yang sedang miang

    BalasPadam
  32. Sudah sebulan Saya mandulkan kucing betina Saya,tapi Saya pelik dgn perutnya besar...sebelum mandulkan lagi..sy x Pasti dia mengandung atau mmg besar mcm tu atau Ada sakit dlm perut sbb kucing tu adalah kucing Jalanan span rumah.sy x Pasti sebab ape ,dia pun mkn bnyak jgk.sebelum mandulkan lagi klu pegang perut dia mesti Ada bunyi mndengus dari mulut dia.

    BalasPadam
  33. kucing betina, baru sahaja vaksin kali ke3 waktu pagi,umur sekitar 4 bulan. malam dia tiba-tiba tunjuk reaksi seperti on heatm sdgkan kecil lagi fizikal baan nya. berat baru 1.99kg. bila masa sesuai nak mandulkan ?. indoor cat,memag tak bawak keluar pon. takut hilang.

    BalasPadam
  34. Maaf bertanya..sy ade kucing betina yg baru beranak 3 bulan lalu..jd sy bercadang nk mandulkan hujung bulan ni dan sy tk biarkn dia keluar rumah..ttp tibe2 kucing sy tu boleh keluar dan mengawan dgn kucing jantan..soalan sy,boleh tk sy mandulkan kucing secepat mungkin selepas dia terrrrmengawan??..adakah kucing akn bunting jugak walaupn sy mandulkan cepat2?

    BalasPadam
  35. boleh kah kucing baru lepas mengawan dimandulkan?

    BalasPadam
  36. Selepas 2 hari spay,kucing saya berteriak nak keluar dari rumah seolah macam tengah on heat..kenapa ya? Nak kurung dalam sangkar kucing memang tak boleh duduk dalam sangkar

    BalasPadam