Apa Yang Anda Perlu Tahu Apabila Ibu Kucing Melahirkan Anaknya

Tinggalkan Ulasan
Kucing sedang melahirkan anak

Kita boleh menjangka bahawa si ibu kucing akan melahirkan anaknya dalam masa terdekat apabila dia menunjukkan kecenderungan mencari dan menempatkan sarang bagi kelahiran anak-anaknya.

Susu akan kelihatan pada putingnya lebih kurang 1-2 hari sebelum melahirkan anak. Anda juga boleh memeriksa suhu badan ibu kucing pada bahagian dubur sebanyak 2 kali sehari jika anda mahukan kepastian.

24 jam sebelum kelahiran, suhu badannya akan menurun pada tahap 37 darjah Celsius.

Apa Yang Berlaku Ketika Kelahiran Kucing?

Masa yang diambil untuk kelahiran bergantung kepada samada ibu kucing pernah melahirkan anak atau berapa banyak anak kucing yang dilahirkan pada masa itu.

Tempoh kelahiran boleh berlaku dalam masa beberapa minit, jam malah mungkin juga seharian jika anaknya ramai.

Anda boleh melihat lendiran mukus dikeluarkan apabila proses kelahiran bermula.

Pengecutan akan berlaku dan anak kucing akan dilahirkan. Ibu kucing akan menjilat dan membuang lendiran pada anak kucing.

Jika tidak, anak kucing akan lemas dan jika ini berlaku maka anda perlulah campurtangan untuk mengelakkannya mati. Ibu kucing kemudiannya akan menggigit tali pusat yang menyambungkan anak kucing.

Semasa anak kucing dilahirkan, berat mereka hanyalah beberapa gram sahaja dan sangat-sangat terdedah kepada bahaya.

Mereka amat bergantung kepada ibunya untuk terus hidup kerana mata mereka masih tertutup, telinganya masih belum berfungsi dan mereka hanya mampu merangkak.

Ibu kucing akan meneruskan kelahiran beberapa anak kucing lagi. Dia akan terus menjilat dan membersihkan anak-anaknya dan secara perlahan-lahan akan menolak mereka ke arah puting susunya.

Anak kucing mampu menyusu dalam masa kurang 1 jam selepas dilahirkan.

Anak kucing akan menerima imuniti awal pencegahan penyakit dengan cara menyerap antibodi yang ada pada kelenjar susu ibunya.

Anak kucing hanya mampu menyerap antibodi yang ada pada badan ibunya dalam masa 24 jam terawal semasa ia dilahirkan. Maka adalah amat penting bagi anak kucing untuk menyusu dari ibunya secepat mungkin selepas dilahirkan.

Ibu kucing mungkin akan memakan tali pusat anaknya, walaupun kelihatan agak jijik tetapi ini sebenarnya adalah perkara biasa sahaja.

Ibu kucing akan mengalami lelehan yang keluar dari faraj dalam tempoh 2 minggu atau kurang selepas melahirkan anak. Lelehan ini akan kelihatan seperti darah dan mungkin juga berwarna hijau dan berlendir.

Tetapi lelehan ini tidak sepatutnya kelihatan seperti lendiran pekat berwarna putih kekuningan seperti nanah atau bisul. Jika ini berlaku, bawa ibu kucing ke klinik seberapa cepat.

Jika kucing anda (si ibu) suka merayau-rayau, cuba kurungnya di dalam bilik bersama-sama dengan anaknya supaya mereka tidak terbiar.

Anda juga perlu prihatin dengan masalah kutu, jika si ibu mempunyai kutu, ia boleh merebak ke anak kucing dan boleh menyebabkan anemia yang mengancam nyawa anak kucing.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan