Adakah anda alahan terhadap kucing?

2 ulasan
Alahan terhadap kucing

Sudah ribuan tahun manusia hidup bersama kucing tanpa sebarang masalah.

Kucing antara binatang peliharaan paling selamat dibela manusia. Pun begitu ada juga yang mempunyai alahan atau alergi kucing.

Mereka yang alahan akan mengalami beberapa tanda seperti hidung berair, bersin, hinggalah ke lelah melampau.

Tapi dek kerana sayangkan kucing, mereka tetap memeliharanya meskipun tubuh mereka menjadi tidak selesa kerana masalah alahan.

Apa itu alahan?

Alahan ialah tindakbalas tubuh terhadap bahan yang sepatutnya tidak bahaya.

Contohnya, bulu kucing. Itu tidak bahaya.

Namun kerana alahan, tubuh seseorang menjadi gatal-gatal apabila bersentuhan dengan bulu kucing.

Bagi mereka yang alahan, sistem ketahanan tubuh mereka menghasilkan antibodi lalu mencetuskan pelepasan histamina.

Histamina ini akan mengembangkan salur darah sehingga menjadikannya terlalu telap.

Dan dari luar, kita melihatnya sebagai radang. Kulit menjadi kemerahan, bengkak, gatal dan sebagainya.

Adakah alahan ini berpunca dari kucing?

Jika mata anda berair, atau bersin, sakit kerongkong atau sesak nafas setiap kali berada berhampiran kucing, maka besar kemungkinan anda alahan terhadap kucing.

Tapi jika anda mempunyai kucing dan mengalami tindakbalas alahan setiap kali berada di rumah, maka tidak semestinya punca itu datang dari kucing.

Mungkin anda alah terhadap debu, kulapuk atau pokok-pokok hiasan di rumah.

Sesetengah orang, masalah alahannya semakin lama semakin teruk sementara yang lainnya hanya bermasalah apabila terdedah kepada bahan alahan dalam jumlah yang banyak.

Misalnya, anda mungkin boleh hidup bersama seekor kucing tapi tubuh anda menjadi serba tak kena jika dikelilingi 3-4 ekor kucing.

Bolehkah alahan diubati?

Setakat yang diketahui, tidak ada penawar untuk alahan kucing. Ia boleh dikawal tapi tidak dapat disembuhkan.

Pada tahun 2013, ada kajian yang mana memerlukan anda menerima empat suntikan untuk menyembuhkan alahan kucing.

Tapi kajian itu dijangka selesai pada tahun 2017, didatangkan dengan jenama Cat-SPIRE.

Justeru, nasihat terbaik buat masa ini ialah menghindar bahan alahan sama sekali.

Bererti kucing tidak sesuai menjadi binatang peliharaan anda.

Jika anda tetap mahu memelihara kucing, teruskan bacaan di bawah. Tapi ia bukanlah mudah.

Wujudkah kucing yang kurang bahan alahan?

Bahan yang menyebabkan alahan kucing kepada manusia ialah Fel-d-1. Ia didapati di kulit, kelenjar minyak dan pada air liur kucing.

Sisa kulit atau sisik, iaitu kulit mati yang tertanggal juga diselaputi bahan ini.

Disebabkan semua kucing menjilat dan membersihkan dirinya sendiri maka bahan ini meliputi seluruh tubuhnya.

Ini bererti, semua jenis kucing tak kira baka apa pun berpotensi menjadi bahan alahan.

Ada yang mengatakan kesan alahan berkurang apabila melibatkan kucing yang bulunya sedikit atau pendek seperti kucing Bali.

Kucing berbulu panjang seperti Parsi pula bulunya gugur lebih banyak berserta kulit mati yang melekat pada bulu-bulu itu.

Tapi sebenarnya baik kucing bulu panjang atau pendek, bahan bulunya tidak banyak beza pun.

Jadi tidak ada baka tertentu yang mempunyai kurang bahan alahan. Anda perlu mencubanya seekor demi seekor dan merasai sendiri samada tubuh anda boleh menerimanya atau tidak.

Bagaimana caranya mengawal alahan kucing

Berita baiknya ialah alahan ini masih boleh dikawal meskipun agak leceh.

1. Basuh tangan selepas pegang kucing

Jika anda mempunyai alahan, kemudian memegang muka anda selepas bermain dengan kucing tanpa membasuh tangan, itulah namanya mencari penyakit.

2. Tukar pakaian selepas bermain dengan kucing

Atau sediakan pakaian yang hanya dipakai khusus untuk mengendalikan kucing. Pakaian ini juga perlu kerap dibasuh.

3. Elakkan kawasan yang banyak kelenjar minyak

Bahagian tubuh kucing di bawah perlu dielakkan iaitu:

  • Dagu
  • Pipi
  • Kawasan di antara tulang bahu
  • Pangkal ekor

4. Bilik tidur ialah kawasan larangan

Jangan biarkan kucing masuk ke bilik tidur anda.

Menyembamkan muka ke bantal tidur yang mempunyai kulit-kulit mati dan bulu kucing sedangkan anda alahan, itu juga dinamakan mencari penyakit.

5. Penapis HEPA

Cuba usahakan untuk memiliki pembersih udara, atau penapis zarah berkecekapan tinggi (HEPA).

Penapis udara begini berperanan membersihkan udara dari bahan alahan.

Penyedut hampagas yang dilengkapi penapis HEPA juga sudah banyak di pasaran.

6. Syampu anti alahan

Syampu jenis ini banyak sangat jenamanya, lihatlah yang tertulis anti-allergen, anti-dander atau hypoallergenic.

Tapi anda perlu faham Fel-d-1 ini juga ada pada air liur kucing, dan kucing jilat bulunya hari-hari.

Saya rasa membazir sahaja jika diguna syampu untuk masalah alahan.

Lebih baik dilapkan sahaja dengan kain lembab. Terpulanglah.

7. Dandan dan berus kucing

Dari masa ke masa, sikat dan berus kucing, sebaik-baiknya oleh pendandan profesional.

Anda mempunyai penyakit, jadi biarlah orang lain yang memberus kucing anda.

Ini juga akan mengurangkan bahan alahan di permukaan bulu-bulu yang gugur.

8. Gunakan hiasan rumah mudah basuh

Permaidani, bantal hiasan dan langsir akan memerangkap bahan alahan.

Jadi pertimbangkanlah agar rumah anda berlantai jubin dan tingkap dipasang pengatup atau bidai kerana ini semua senang dibasuh.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

Lazada Pets

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum tuan, boleh tak tuan tulis ulasan tentang kucing baka ragdoll?
    Tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wsalam, jujurnya saya tak pandai dalam bab baka kucing tertentu, apatah lagi memeliharanya. Selama ini saya hanya membela kucing biasa sahaja.

      Padam