Kucing Yang Mengalami Asma

5 ulasan
Kucing lelah diberi alat sedut

Percaya atau tidak, kucingpun boleh mengalami lelah atau asma.

Apabila kucing batuk dan jeluak, biasanya kita akan menyangka ia hanya masalah bebola rambut atau muntah-muntah biasa.

Bezanya ialah, meskipun kucing kelihatan hendak memuntahkan bulunya tetapi tiada apa yang keluar. Dan keadaan itu berulang-ulang. Itu tanda penyakit asma yang paling jelas.

Apa maksud lelah

Lelah ialah sejenis bentuk bronkitis iaitu keradangan pada pembuluh udara dalam paru-paru yang dipanggil bronki.

Dalam serangan asma, otot sekeliling pembuluh udara ini menjerut dan dalam masa sama selaput dinding dalaman pembuluh udara membengkak.

Ini akan menyekat udara dari melaluinya dan mengganggu pernafasan kucing.

Apakah punca-punca asma

Alahan atau lain-lain perengsa boleh menyebabkan asma.

Memandangkan ia memberi kesan kepada paru-paru maka ia dikelompokkan sebagai penyakit pernafasan bawah yang membawa tenat.

Mana-mana penyakit yang memberi kesan kepada salur nafas bawah boleh menjadi lebih bahaya kerana paru-parunya boleh rosak kekal.

Tanda-tanda asma

Petanda yang boleh diperhatikan ialah:

  • Batuk
  • Jeluak
  • Kadar nafas meninggi
  • Bernafas dengan mulut terbuka
  • Nafas berdehit
  • Lesu
  • Sesak nafas dan tercungap-cungap

Biasanya semakin banyak dan semakin teruk tanda-tanda di atas muncul beriringan dengan seteruk mana keadaan asma tersebut.

Apa yang diperiksa di klinik?

Lelah ini boleh mencapai tahap mengancam nyawa jika dibiarkan. Kucing akan diperiksa menggunakan X-ray atau stetoskop.

Kiraan darah lengkap mungkin diperlukan juga kerana sesetengah kucing penghidap asma mempunyai kandungan sel darah putih yang tinggi.

Lain-lain ujian juga mungkin perlu kerana sesetengah kes melibatkan penyakit jantung dan jangkitan bakteria, dan ini memerlukan rawatan berbeza.

Kadang-kadang duit pun tak cukup, jadi berbincanglah dengan doktor. Dalam keadaan ini mungkin akan diberi ubat kortison dan tengok dahulu keadaan kucing selepas itu macam mana.

Apakah ubat-ubat asma

Beberapa ubat penyakit asma ialah kortison, antihistamina, antibiotik, pembronkodilat, terapi oksigen dan sesetengah ubat-ubatan asma yang digunakan untuk manusia.

Kortison berfungsi untuk meredakan keradangan dan mengurangkan lendir-lendir.

Pembronkodilat pula mengembangkan pembuluh nafas.

Suatu masa dulu ubat-ubat ini diberi dalam bentuk pil tapi sekarang sudah banyak diberi dalam bentuk sedutan yang mana memerlukan alat sedut (inhaler).

Alat sedut untuk kucing sama sahaja seperti manusia cuma ada sambungan tambahan untuk dilekapkan pada mulut kucing.

Bagi saya, sedutan lebih senang berbanding pil kerana kucing tidak banyak memberontak. Kesannya juga lebih cepat.

Ada juga diberi dalam bentuk suntikan dan inipun sebenarnya tidaklah begitu susah.

Dalam sesetengah keadaan, alat pengabut wasap atau nebuliser mungkin diperlukan.

Dari mana datangnya asma?

Lebih dari kebiasaan puncanya tidak diketahui tapi berkaitan dengan alahan.

Keadaan yang dikaitkan dengan alahan tidak dapat disembuhkan tapi ia masih boleh dikawal.

Namun serangan asma juga boleh berulang kembali.

Berapa lamakah asma kucing perlu dirawat

Jika dikesan dan dirawat awal, biasanya boleh dirawat dengan baik.

Jika terlalu lama, ada sesetengah kucing mungkin perlu diberi ubat untuk satu tempoh yang panjang.

Begini, kalau nampak kucing batuk atau jeluak tapi tiada apa-apa lendir atau kahak yang keluar dari mulutnya maka bawalah ke klinik.

Seandainya kucing itu asma, maka peluangnya untuk sembuh lebih baik kerana masih di peringkat awal.

Kalau masih hendak tunggu, sehingga tahap nafasnya berdehit (nafas yang berbunyi atau wheezing) atau tercungap-cungap, biasanya tahap begini memerlukan rawatan yang lama.

Ubat asma dalam bentuk sedutan lazimnya digunakan untuk kucing yang kronik atau lama. Ubat ini bukan murah, ya.

Jika masih di peringkat awal, mungkin tak perlu pembronkodilat, hanya perlu kortison sahaja.

Bagaimana mencegah asma?

Puncanya pun jarang diketahui, dan biasanya dikaitkan dengan alahan.

Memandangkan alahan tiada penawar, maka demikianlah juga pencegahnya.

Tidak banyak yang boleh dilakukan selain mengawalnya sahaja.

Kawalan ini lebih kepada pengubahsuaian cara dan gaya hidup, sepertimana kita mengawal alahan.

Ini termasuklah menjauhkannya dari asap rokok, penapis HEPA di rumah, kebersihan rumah perlu dijaga lebih kerap berbanding biasa dan lain-lain.

Mungkin juga anda perlu pertimbangkan penggunaan pasir kucing berasaskan kertas (boleh buat sendiri) kerana ia tidak berdebu.

Akhir kata

Selain kucing yang lelah, anda juga mungkin akan lelah kerana ditimpa belanja ubat-ubatan yang berterusan.

Cubalah bawa ke klinik di peringkat awal. Nampak kucing hendak muntah tapi tidak muntah. Itu tanda paling awal.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

Lazada Pets

5 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. Saya xdapat tidur asyik fikir kucing saya. Dia susah nak bernafas. Saya tak pasti dia asma atau flu. Saya cek pernafasan dia 30-40 seminit & itu tanda xnormal. Saya student bukan kerja. Nak bawa kucing ke klinik haiwan susah. Xtahu dah nak buat apa utk kucing ni. Bunyi dia bernafas teruk sangat. Makanan langsung dia tak sentuh.

    BalasPadam
  3. Kucing sy pon ssh nk bnfas,kesian tgok die...tp nk bwk ke klinik ssh,mgkin rwtan die mahal ...ade x cara2 lain yg bole sembuh kn kucing ni....

    BalasPadam
  4. Saya jumpa entry ni kucing saya baru sahaja tadi mati..semalam nampak dia sesak nafas..sy rasa mungkin dia hidup tak lama..ingat hari ni nak bawa ke klinik..tapi ajal hari ni dia mati..selamat tinggal belang kucing kesayanganku..tq for sharing..

    BalasPadam
  5. baru tahu yang kucing boleh dapat asma

    BalasPadam