Sila Bawa Kucing Untuk Pemeriksaan Am Kesihatan Tahunan

1 ulasan
Doktor sedang memeriksa kucing

Meskipun kucing dikatakan mempunyai sembilan nyawa, mereka hanya ada satu sahaja. Dan kita boleh memelihara nyawanya yang satu itu.

Dalam kehidupan liar kucing dapat menjaga dirinya dengan baik disebabkan sumber makanannya yang asli. Pun begitu kucing di rumah hidup lebih lama berbanding saudara liarnya.

Mutu dan tempoh hayat kucing dapat dipanjangkan dengan beberapa rutin penjagaan.

Jika kita memastikan kucing diberi makanan yang baik, pemeriksaan veterinar yang kerap, pemberian vaksin yang diperlukan, penjagaan gigi dan kawalan parasit maka itu benteng terbaik terhadap masalah kesihatan kucing.

Pemeriksaan Kesihatan Tahunan

Pada saya, dua perkara pencegah masalah kesihatan ialah makanan dan kebersihan.

Jika diberi peluang untuk menambah satu lagi faktor, maka saya akan katakan makanan, kebersihan dan pemeriksaan kesihatan berkala.

Tidak dinafikan pemelihara yang mengasihi kucingnya amat tajam daya pemerhatiannya dan dapat menyedari perubahan ketara yang berlaku ke atas kucing mereka.

Tetapi doktor haiwan boleh menilai kucing dengan kerap secara objektif kerana itulah kerja mereka hari-hari.

Amat payah untuk pemilik kucing menilai perubahan tak ketara seperti kehilangan berat badan yang turun beransur-ansur dalam suatu tempoh tetapi doktor boleh merujuk rekod dan memantau alirannya.

Rekod yang saya maksudkan ini bukan hanya untuk kucing itu sahaja bahkan pangkalan data untuk semua kucing yang dibawa ke kliniknya begitu juga dengan audit laporan perubatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Kerana itulah bantuan profesional perubatan amat diperlukan. Sekurang-kurangnya bawalah kucing kita setahun sekali ke klinik.

Apakah yang diperiksa dalam pemeriksaan tahunan?

Secara mudah, kucing akan diperiksa dari hujung hidung hinggalah ke hujung ekornya.

Setiap doktor mungkin mempunyai amalannya sendiri tatkala melakukan ujian fizikal penuh tetapi yang terbaik ialah pemeriksaan menyeluruh.

Pemeriksaan fizikal penuh sepatutnya merangkumi:

  • Penimbangan berat badan.
  • Ukuran suhu badan.
  • Penilaian mata, telinga dan hidung.
  • Pemeriksaan dalam mulut diikuti penilaian gigi dan gusi.
  • Urutan atau palpatan nodus limfa luaran.
  • Penilaian kulit dan bulu.
  • Penilaian keadaan tubuh dan otot.
  • Pemeriksaan jantung dan paru-paru (luaran menggunakan stetoskop sudah memadai).
  • Pemeriksaan kaki dan kuku.
  • Urutan atau palpatan abdomen.
  • Pemeriksaan dubur dan kemaluan.
  • Pemeriksaan ekor.

Berapa lamakah masa pemeriksaan diambil?

Bergantung kepada kucing itu sendiri dan sejauh mana dia tenang dan bekerjasama, selain daripada kemahiran doktor itu sendiri untuk mengendalikannya.

Paling singkat hanyalah dua minit sahaja, tetapi jika dipukul rata, bolehlah dikatakan sekitar 5 hingga 10 minit. Bukan semua kucing menyukai orang asing membuka mulutnya atau memasukkan jangka suhu ke dalam punggungnya :)

Dalam kebanyakan situasi, seorang doktor boleh melakukan pemeriksaan ini tanpa bantuan, tapi jika kucing itu memberontak, takut atau mengganas maka bantuan tangan lain diperlukan.

Apabila kucing berasa panas atau ketakutan, mereka hanya mampu mengeluarkan peluh dari kakinya kerana tapak kaki itulah satu-satunya bahagian tubuh yang mengandungi kelenjar yang merembeskan peluh.

Jika anda melihat kesan tapak kaki kucing yang basah pada meja pemeriksaan klinik, maka kini anda tahulah kenapa :)

Adakah pemeriksaan ini menyakitkan kucing?

Pemeriksaan rutin begini tidak membawa kesakitan kepada kucing.

Jika kucing mengeok seperti ayam betina, atau menggeliat-geliutkan tubuhnya, kemungkinan besar itu hanya cubaannya untuk meloloskan diri dari kekangan dan bukannya mempamerkan rasa tidak selesa.

Kucing yang tidak pernah menjalani pemeriksaan doktor biasanya tidak begitu bekerjasama berbanding yang pernah menjalaninya.

Tapi ada juga kucing yang terlampau takut sehingga setiap kali melakukan lawatan klinik, mereka akan bertindak lebih liar.

Bagi saya, biarkan sahaja kakitangan klinik mengendalikan kucing melainkan anda berasa pengendalian itu tidak dilakukan dengan wajar.

Banyak kucing menjadi takut dan defensif apabila mereka berada di luar kawasan rumah mereka dan merengus.

Ada pemilik kucing yang digigit atau dicakar apabila mereka cuba membantu memegang kucing mereka ketika pemeriksaan.

Jika ini kali pertama anda ke klinik, ada baiknya diserahkan sahaja kepada pembantu klinik berpengalaman untuk mengendalikan situasi ini. Bantuan terbaik anda boleh berikan ialah memujuk kucing anda dengan suara yang lembut.

Apa keputusan pemeriksaannya?

Setelah pemeriksaan tamat, doktor akan memberitahu sebarang penemuan luar kebiasaan yang ditemui dan menaksir kesihatan kucing secara amnya.

Jika anda tidak memahami butiran yang disebut oleh doktor, pastikan anda bertanya semula. Anda sudah bayar untuk semua ini maka jangan biarkan anda keluar dari pintu klinik dalam keadaan tertanya- tanya.

Doktor dan kakitangannya perlu menjadi sumber maklumat dalam segala hal penjagaan kucing anda termasuklah nutrisi dan perilaku. Kebanyakan klinik pun suka jika kita bertanya kepada mereka.

Andainya ini kali pertama anda berkunjung ke klinik haiwan, mungkin anda berasa gemuruh hingga terlupa perkara-perkara yang hendak ditanya.

Selepas separuh perjalanan pulang ke rumah, barulah teringat soalan tentang kekerapan syampu kucing. Maka tulislah nota sebelum ke klinik.

Menanyakan doktor sambil memegang nota ialah perkara biasa dan tidak ada apa untuk dimalukan.

Ujian viral kucing

Adakalanya ujian virus leukemia felin (FeLV) dan imunokurangan felin (FIV) mungkin menjadi sebahagian daripada pemeriksaan tahunan.

Status kucing anda berkenaan kedua-dua virus ini perlu diketahui. Ujian saringan biasanya boleh dilakukan di klinik yang hanya memerlukan beberapa titik darah dan keputusannya mengambil masa sekitar 10 minit.

Jika keputusannya positif ia akan dihantar pula ke makmal untuk kesahihan.

Kadangkala ujian saringan memberikan keputusan positif palsu terutamanya FeLV maka apa jua perkara yang hendak dilakukan ke atas kucing perlu ditunggu keputusan ujian kedua terlebih dahulu.

Bagaimana pula dengan vaksinasi?

Pelalian adalah aspek penting dalam pencegahan penyakit tetapi ini tidak bermakna vaksin lebih penting berbanding pemeriksaan amali oleh doktor.

Saya sudah lupa di mana, tetapi ada jabatan haiwan negeri yang menganjurkan pelalian kucing dengan harga sangat murah bersekali dengan nyahcacing, dari masa ke masa.

Ini ialah berita baik, apa sahaja yang mengurangkan kos perubatan sememangnya baik.

Yang kurang baiknya anjuran itu tidak disertai dengan maklumat kepada pemilik kucing bahawa vaksin bukan tangkal sakti dan pemeriksaan tahunan jauh lebih penting.

Umumnya pelalian di klinik kerajaan lebih murah berbanding swasta.

Saya pun hanya ke klinik kerajaan sahaja untuk vaksinasi dan ubat cacing, kerana ubat cacing kadangkala diberi percuma dan jika bernasib baik, dapat pula tuala percuma :p

Jika vaksin tidak cukup bekalan di klinik kerajaan, saya akan tangguhkan pelalian. Jika tidak ada langsung maka barulah saya ke klinik swasta.

Vaksinasi ialah topik yang rumit. Saya sudah sedaya-upaya menulis tentangnya dan sebelum anda menyuntik kucing anda, silakan baca pengenalan mengenai vaksin dan fahami keperluan dan had vaksin terlebih dahulu.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

Lazada Pets

1 ulasan: