Adakah Kucing Kita Sihat Mentalnya?

Tinggalkan Ulasan

Barangkali inilah perkara yang paling diabaikan oleh pencinta kucing dan topik yang paling kurang disentuh. Namun pengabaian ini ada asasnya dan yang paling menonjol ialah mental kucing merupakan perkara yang paling sukar difahami walaupun oleh doktor sendiri.

Baiklah, cuba jawab soalan ini, "Adakah kucing anda benar-benar gembira?". Saya sendiripun tidak tahu jawapannya. Gelisah, takut, gementar, sunyi, gembira, bosan, rindu dan sebagainya merupakan pernyataan emosi dan perasaan tidak mudah diluahkan oleh kucing.

Bila kali terakhir kita mendengar keluhan kucing, "Aku tidak tahu apakah yang dicari dalam kehidupan ini." Jika ada, boleh jadi samada kucing itu bukanlah kucing atau kita sebenarnya telahpun menjadi gila atau khayal lantaran memahami percakapan haiwan.

Kehidupan Yang Baik, Begitu Jualah Kematiannya

Namun begitu sebaik-baik usaha yang boleh kita lakukan ialah dengan memberikannya sepenuh-penuh kehidupan semirip yang mungkin mengikut alam semulajadinya.

Minuman dan makanan yang baik, perlindungan yang cukup, hubungan mesra baik sentuhan atau lisan, rangsangan melalui permainan yang aktif, jagaan kesihatan sehinggalah kepada sebaik-baik keselesaan tatkala kucing anda menghadapi saat kematiannya, setakat itulah yang mampu kita berikan untuknya.

Himpunan perkara-perkara ini, mudah-mudahan bukan sahaja menggembirakan mereka bahkan memenuhkan kehidupan kita juga.

Perkara-perkara sedemikian jika diamalkan sudah cukup untuk membendung masalah-masalah seperti tekanan yang membawa kepada perilaku buruk seperti pembuangan najis merata-rata, keguguran bulu akibat jilatan melampau, raungan yang tidak menyenangkan dan juga keagresifan.

Kucing dijadikan dan diperintahkan Tuhan agar menjadi teman kepada manusia. Ada yang berpendapat kucing tidak taat berbanding anjing. Bagi saya, bandingan itu wujud kerana kita melihat taat dari kacamata dan naluri semulajadi yang berbeza.

Meskipun kucing sukar untuk mematuhi perintah manusia namun ia masih tidak melanggar perintah Tuhan.

Itulah "ketaatan" yang dimaksudkan saya, iaitu kucing itu taat kepada perintah Tuhan agar menjadi teman kepada manusia, sehinggalah saatnya ia dipangku pada riba kita, sambil matanya melihat ke arah kita, memandang sebagai teman untuk kali terakhir, sebelum hela nafasnya dihembus sebagai penamat riwayatnya.

Mereka yang tidak menyukai haiwan barangkali tidak akan memahami ikatan sebegini.

Perbezaan Alam Manusia Dan Alam Kucing

Sebahagian daripada godaan dalam memelihara kucing ialah betapa kita sebenarnya hidup dengan haiwan yang tidak sepenuhnya jinak.

Proses menjinakkan kucing sebenarnya tidak melalui kaedah biasa seperti pembiakan terpilih untuk menghasilkan sifat kelembutan atau kebolehlatihan, sebagaimana yang berlaku dalam spesies lain baik anjing, kuda, ayam dan lain-lain.

Sebaliknya, pembiakan kucing telah melalui suatu tempoh di mana ia merupakan pembiakan terpilih dan tempoh lain pula merupakan pembiakan rawak, bergantung samada kucing itu disukai atau tidak.

Dan tahukah anda bahawa pada peringkat awal kucing sebenarnya menjinakkan dirinya sendiri sebelum dibela oleh manusia.

Kucing bergantung kepada naluri semulajadinya untuk memburu, kelangsungan hidup dan penyingkiran hidup. Kebanyakan perilaku kucing yang tidak disukai tuannya itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah jelmaan naluri semulajadinya.

Kucing secara naluri akan menanda kawasan mereka dengan cara kencingan dan cakaran, mereka bermain dengan kasar sesama sendiri, dan mereka menyambar dan menggigit mangsanya.

Jika difikirkan dengan mendalam, begitu banyak sekali cara hidup yang kita kenakan ke atas kucing itu sebenarnya bercanggah sama sekali dengan kehidupan semulajadinya.

Misalnya kita tidak mahu ia menggigit kaki kita lalu tindakbalas ialah dengan menyepaknya. Kita mahukan dia berubah tetapi tidak disediakan pula pilihan lain seperti alat permainan dan tidak diluangkan masa untuk bermain dengannya.

Kasih Tanpa Syarat

Apabila kucing menyayangi tuannya maka luapan kasih sayangnya itu diberikan kepada kita tanpa sebarang prejudis.

Samada seseorang itu gemuk, kurus, kacak, buruk, bergaji besar atau kecil langsung tidak menghalang dirinya untuk bergesel dan mengiau manja sambil kakinya dihulurkan mengharapkan belaian.

Dukacitanya sebahagian daripada kita tidak membayarnya dengan harga yang setimpal.

Kasih sayang kita hanyalah setakat umur muda dan sihat, tatkala ia masih gebu dan comel boleh jadi kerana terpengaruh secara berlebihan aksi gambar internet anak-anak kucing yang manja.

Dan itu semua terhenti apabila kucing itu sudah tua dan kita berasa tertekan untuk menjaganya, atau kita tidak mandulkan ibu kucing kerana teringinkan sangat anak kucing namun apabila menyedari kita tidak mampu untuk memelihara 5 ekor kucing sekaligus maka saat itu tiada lagi kecomelan dan kita memilih untuk membuangnya.

Seringkali disebut-sebut bahawa kucing merupakan haiwan penyendiri dan kurang bersosial tetapi kajian terkini menunjukkan sebaliknya.

Kucing memerlukan perhatian individu daripada tuannya dan secara amnya lebih mudah menyesuaikan diri andai dipelihara bersama dengan sekurang-kurangnya ditemani seekor lagi kucing.

Tidak tepat jika anda sangkakan bahawa kucing tidak perlukan anda. Memang benar kucing boleh menjaga dirinya sendiri namun ini tidak bermakna anda boleh meninggalkannya begitu sahaja.

Meskipun kucing boleh tinggal di rumah sendirian seharian tatkala anda keluar bekerja namun itu bukannya pilihan kucing itu sendiri, ia adalah pilihan anda.

Bahkan begitu banyak keputusan sebenarnya datang dari kita dan bukan pilihan kucing. Misalnya, kucing tidak pernah memilih untuk dibuang.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

Lazada Pets

0 ulasan:

Catat Ulasan