6 Perkara Mencegah Demam Selesema Kucing

Tinggalkan Ulasan
Enam perkara mencegah demam selesema kucing

Kucing yang dilanda demam selesema bukanlah perkara yang mudah ditangani dan kadangkala rawatannya memakan masa dan belanja tinggi.

Bahkan untuk kes yang teruk, anda juga akan tertekan kerana patah hati lantaran keadaan kucing tidak beransur baik meskipun pelbagai cara telah diusahakan.

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu anda melalui semua ini maka jalan yang paling mudah ialah menghentikan punca demam selesema bermula dari awal.

Lakukan vaksinasi

Suntikan vaksinasi boleh mencegah pelbagai penyakit termasuklah jangkitan salur nafas atas. Keperluan dan persekitaran hidup kucing akan menentukan jumlah dan jenis suntikan vaksin yang perlu diberikan.

Ini hanya boleh diketahui melalui saranan doktor dan jadualnya diberikan kepada anda. Perlu diingatkan vaksin mungkin tidak mampu mencegah jangkitan ini tetapi tahap keparahannya dapat dikurangkan.

Vaksinasi tidaklah mahal dan wajar dipertimbangkan terutamanya anak kucing piatu. Ini akan membantu sistem ketahanan kucing meningkatkan keupayaan dirinya untuk melawan penyakit.

Ia hendaklah dilakukan secara berkala mengikut jadualnya.

Saya tidak begitu gemar suntikan vaksin dibuat secara pukal meskipun ada klinik menawarkan pilihan itu jika ada perkara yang menghalang kita untuk mengikut jadualnya.

Ini kerana kucing yang divaksin memerlukan masa dua minggu sebelum sistem ketahanannya membiasakan diri untuk melawan virus yang diperkenalkan.

Lebih baik dilakukan secara berkala yakni diperkenalkan sedikit demi sedikit dan bukannya sebanyak mungkin sekaligus.

Janganlah tunggu kucing sakit baru hendak divaksin. Ia lebih mujarab dilakukan sebelum datangnya penyakit, iaitu semasa kucing sedang sihat.

Sukacita diingatkan vaksin bukanlah vitamin, yang boleh dimakan begitu sahaja. Ia adalah virus.

Ia perlu diberikan, tapi sebanyak mana dan sekerap mana, tidak begitu mudah untuk dijawab.

Pemeriksaan kesihatan

Pemeriksaan am kucing biasanya dilakukan secara tahunan. Kini sudah ramai peminat kucing yang menvaksinkan kucing mereka dan ini adalah bagus.

Tapi yang kurang bagusnya ialah ramai pula yang mengabaikan pemeriksaan kesihatan berkala.

Vaksin itu penting tetapi yang lebih penting ialah pemeriksaan tahunan. Kucing anda akan diperiksa segala segi akan perihal telinga, mulut, gigi, kuku dan segala macam perkara.

Pada ketika ini jugalah tanda-tanda awal penyakit dapat disemak oleh doktor dan rawatan pencegahan awal dapat diberikan, termasuklah jangkitan saluran nafas atas.

Awasi tekanan mental kucing

Terdapat banyak perkara yang boleh memberikan tekanan kepada kucing. Persekitaran hidup kucing hendaklah dipelihara dan dibekalkan dengan rangsangan-rangsangan yang boleh menggembirakannya.

Sediakan pokok pemanjat supaya kucing boleh menjauhkan diri dengan berada di kawasan tinggi, berikan pilihan kepada kucing untuk mencakar.

Penuhi waktu bermain yang mencukupi, jangan menggunakan kekerasan terhadap kucing dan jika hendak diperkenalkan dengan kucing baru maka lakukan perkenalan itu berperingkat-peringkat.

Kucing yang mengalami tekanan terutamanya ketakutan, sebagaimana haiwan lain, akan merosotkan sistem ketahanan badannya.

Ini akan mendedahkan tubuh kucing terhadap jangkitan yang membawa penyakit.

Makanan yang baik

Makanan berkhasiat akan membekalkan tubuh kucing zat-zat yang diperlukan untuknya membina fungsi badan dan ketahanan yang ampuh.

Ini amat penting terutamanya anak kucing di mana tubuhnya sedang membesar. Memberikannya makanan berkhasiat akan meningkatkan peluangnya untuk melawan penyakit di masa hadapan.

Memang benar makanan bergred premium agak mahal namun jika dikira-kira, kos rawatan termasuk masa dan tekanan yang anda hadapi pada masa itu lebih membebankan.

Jaga kebersihan

Rumah yang kotor ialah rumah yang berpenyakit. Maka jadikanlah kebersihan itu sebagai jati diri kita semua. Menjaga kebersihan amatlah murah dan mudah sementara merawat penyakit pula mahal dan rumit.

Perkakas kucing perlu dicuci sebersih-bersihnya secara berterusan. Ini termasuklah alat dandanan, bekas makanan dan air, bekas pasir, pengusung, kain-kain pengalas dan sangkarnya.

Pencucian hendaklah dilakukan samada dengan sabun, cuka atau pencuci nyahkuman yang khusus.

Sebaik-baiknya direndam dahulu dengan pembasmi kuman sebelum dicuci dan digilir-gilirkan penggunaannya.

Bekas simpanan makanan hendaklah ditutup kemas supaya tidak ada ejen pencemar boleh memasukinya. Jangan biarkan makanan kucing terdedah begitu sahaja.

Kawasan dalam dan luar rumah berserta peralatan lain seperti permaidani, tiang cakar, pokok pemanjat perlu dibersihkan dengan kerap.

Tangan anda juga perlu dibasuh selepas mengendalikan kucing. Kadangkala apabila kita berjalan di luar lalu ternampak kucing yang menambat hati maka tanpa disuruh-suruh kita akan cuba untuk memanggil dan membelainya.

Itu perkara biasa tetapi biasakanlah juga membasuh tangan anda selepas itu.

Ini kerana jangkitan salur nafas walaupun tidak menjangkiti manusia tetapi seandainya ejen itu melekat pada tangan anda maka ia dipindahkan ke kucing anda di rumah pula.

Jika hanya ada dua sahaja nasihat kebersihan yang saya boleh beri, maka saya akan sebut, basuh tangan dan basuh bekas pasir.

Walaupun kelihatan begitu banyak kerja kebersihan yang perlu dilakukan tapi sebenarnya ia hanya memakan masa yang singkat sahaja.

Pengasingan

Jangkitan saluran nafas atas sangat mudah untuk merebak kerana ia berpindah melalui sentuhan, bendalir badan dan udara.

Kucing yang sentiasa dibiarkan merayau keluar amat mudah dijangkiti melalui pergaulan dan pendedahan.

Ini berlaku semasa geselan sesama mereka, pergaduhan, jilatan semasa kucing membersihkan diri atau apabila kucing lain bersin kemudian kucing anda menghidu bekas bersinnya itu.

Kurangkan waktu merayau dan lebihkan bermain di kawasan rumah sendiri. Anda boleh mendidiknya untuk bermain di rumah sendiri tetapi sediakanlah waktu bermain yang cukup supaya ia tidak lagi berminat dengan rangsangan luar.

Pengasingan lebih mustahak dijalankan semasa kucing baru dibawa pulang ke rumah. Pastikan kucing baru telah divaksin dan diperiksa kesihatannya supaya tidak ada jangkitan berpindah ke kucing sediada.

Pengasingan juga perlu dibuat jika ada kucing yang mengalami jangkitan salur nafas atas untuk mengelakkannya merebak pada kucing lain di rumah. Tetapi ini bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan.

Akhir kata

Sekurang-kurangnya peliharalah 5 perkara terawal iaitu makanan, kebersihan, tekanan, pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi kerana kelima-lima ini mempengaruhi tahap ketahanan tubuhnya.

Lebih daripada kebiasaan, ketahanan atau imunisasi tubuh itulah satu-satunya benteng untuk melawan jangkitan salur nafas atas.

Jika kuat tubuhnya maka kuat jugalah ia melawan penyakit.

Paling penting, laksanakan perkara-perkara ini semasa kucing sedang sihat dan jangan tunggu sehingga sakit.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

Lazada Pets

0 ulasan:

Catat Ulasan