Punca-punca Kucing Demam Selesema

Tinggalkan Ulasan
Mengapa kucing demma selesema

Bukan hanya manusia sahaja menderitai demam selesema bahkan kucing juga biasa mengalami jangkitan saluran nafas atas (upper respiratory infection), yang berpunca daripada jangkitan virus, bakteria atau fungus.

Demam selesema kucing ini boleh jadi berkeadaan sederhana hinggalah ke peringkat teruk. Anak kucing paling banyak terdedah kepada jangkitan ini.

Vaksinasi boleh mencegah unsur atau ejen yang menyebabkan berlakunya jangkitan saluran nafas.

Pun begitu vaksin hanya mengurangkan sahaja tahap keparahan penyakit dan tidak dapat mencegah sepenuhnya jangkitan ini.

Berapa lama kucing akan demam selesema?

Jangkitan salur nafas atas boleh berlaku selama beberapa hari hingga berminggu-minggu. Jadi amatlah penting kita mengawasi tanda-tanda klinikal dan segera ke klinik jika demam selesema ini tidak reda-reda.

Saya tak nafikan demam selesema sebegini boleh menjadikan kita tertekan, berasa jengkel dan kecewa apabila menanganinya, kerana itulah kucing perlu dibawa dan diberi perhatian di klinik.

Bagaimana demam selesema berlaku

Tekanan dan kesesakan merupakan dua perkara yang boleh meningkatkan risiko jangkitan saluran nafas atas.

Bahkan jangan terkejut seandainya kucing yang diangkat dari pusat perlindungan atau diambil semula dari rumah saudara-mara setelah anda kembali dari percutian, pada mulanya kelihatan sihat namun jatuh selesema selepas beberapa hari di rumah anda.

Kucing anda mungkin telah didedahkan terhadap unsur yang menyebabkan jangkitan sebelum ia dibawa pulang.

Namun tekanan mental akibat daripada perubahan tempat kediaman telah melemahkan sistem ketahanan tubuh dan mencetuskan jangkitan ini.

Terdapat tiga jenis jangkitan yang menyebabkan demam selesema iaitu:

  1. Jangkitan virus
  2. Jangkitan bakteria
  3. Jangkitan kulat

Jangkitan virus

Virus adalah punca utama demam selesema pada kucing. Berita baiknya ialah virus akan pergi dengan sendirinya selepas beberapa masa.

Tapi berita buruknya ialah masa itu boleh jadi sangat lama dan tidak ada pula rawatan atau penawar khusus untuknya.

Tanda-tanda jangkitan virus pada saluran nafas ialah:

  • Bersin
  • Hidung berair
  • Mata berair
  • Tubuh tak bermaya
  • Kurang selera makan
  • Demam

Doktor mungkin akan merawat kucing dengan antibiotik, ubat mata, semburan hidung, anti-histamina, imunoperangsang atau mungkin tiada rawatan langsung. Ini semua bergantung kepada tanda-tanda klinikal yang ada pada kucing itu sendiri.

Setahu saya kebanyakan klinik akan mendiagnos jangkitan saluran nafas ini berdasarkan tanda-tanda klinikal. Untuk mengenalpasti jangkitan secara tepat adalah sukar dan ujian makmal untuk mengasingkan virus ini amat mahal.

Bahkan ujian makmal juga mengambil masa lama dan keputusannya pula boleh jadi sekadar 50% sahaja ketepatannya.

Jadi janganlah terlalu kecewa jika doktor anda tidak dapat menemui punca sebenar jangkitan penyakit ini. Teruskanlah rawatan berdasarkan tanda-tanda klinikal itu.

FRV juga menyebabkan jangkitan salur nafas atas dan disebabkan ia sejenis virus herpes, maka ia boleh berulang-ulang.

Anak kucing yang menghidap FRV mungkin akan mengalami demam selesema dan radang mata dari masa ke masa tetapi lazimnya akan berkurangan selepas berumur dua tahun.

Jangkitan bakteria

Jangkitan ini boleh berlaku samada dengan sendirinya atau hadir susulan daripada jangkitan virus.

Tanda-tanda jangkitan bakteria ialah:

  • Demam
  • Bengkak atau benjol pada leher, bahu, dada, ketiak atau kaki belakang.
  • Lelehan hingus atau bendalir berwarna hijau atau kuning pada mata/hidung
  • Bersin
  • Batuk
  • Kurang atau hilang selera makan
  • Kelesuan
  • Nyahair

Rawatan jangkitan ini lebih kurang sama seperti jangkitan virus dan bertujuan untuk membunuh bakteria di samping menyokong ketahanan kucing.

Pengkulturan bakteria mungkin perlu dijalankan jika demam selesema tidak reda, semakin teruk atau menjadi kronik.

Namun pengkulturan ini memerlukan rongga hidung kucing dicuci sebelum sampel bakteria dapat diambil dan dikulturkan. Ini hanya boleh dijalankan dalam keadaan kucing diberikan sedatif terlebih dahulu.

Jangkitan kulat

Kulat yang banyak memberikan jangkitan saluran nafas ialah Cryptococcus neoformans dan paling mudah menyerang kucing yang sudah terjejas sistem ketahanannya seperti penghidap FeLV atau FIV.

Kulat ini mudah dijumpai pada tahi burung dan walaupun kucing dipelihara dalam rumah, ia tetap boleh menjangkiti kucing walhal tahi burung itu berada di luar.

Jangkitan kulat biasanya berlaku secara beransur-ansur dan tidak bertambah baik meskipun dengan rawatan antibiotik. Apabila ia sudah merebak, rongga di antara hidung dan tengkorak akan membengkak.

Kucing anda mungkin perlu melalui ujian calitan lelehan hidung, ujian darah atau biopsi sedutan menggunakan jarum dan picagari.

Setelah dikenalpasti, ubat antikulat akan diberikan kepada kucing. Ubat antikulat boleh melawan jangkitan ini tetapi rawatannya mungkin memakan masa berbulan-bulan dan harganya juga agak mahal.

Seandainya demam selesema tidak hilang-hilang

Jika rawatan klinik tidak membantu maka penjagaan yang lebih agresif dan rawatan hospital mungkin diperlukan. Lazimnya jika keadaan ini berlaku, klinik itu sendirilah yang mengesyorkan rawatan hospital.

Selain itu ujian diagnostik lain akan dibuat untuk mengenalpasti penyakit-penyakit lain yang boleh menyerupai jangkitan saluran nafas atas.

Antara ujian yang mungkin dijalankan ialah:

  • Kiraan darah lengkap
  • Ujian FeLV dan FIV
  • Penilaian mikroskopik lelehan hidung
  • Kultur bakteria
  • Kultur atau titer darah kulat
  • Imbasan sinar-X terhadap tengkorak
  • Pemeriksaan laluan hidung atau rinoskopi
  • Biopsi hidung
  • Pencucian salur tenggorok
  • Pemeriksaan salur tenggorok atau bronkoskopi

Melalui ujian-ujian ini maka lain-lain penyakit yang menyerupai jangkitan saluran nafas atas boleh dikenalpasti.

Antara penyakit itu ialah pembengkakan yang menyekat bahagian belakang tekak, keradangan dan ketumbuhan tisu tak normal seperti neoplasia.

Rawatan dan ubatan biasa demam selesema tidak akan berkesan terhadap penyakit-penyakit seperti itu.

Disebabkan itulah saya katakan kita akan berasa tertekan, jengkel dan kecewa apabila menangani keadaan begini apatah lagi jika sampai ke peringkat yang kronik.

Saya tidak syorkan anda mentakwil sendiri jenis jangkitan saluran nafas atas yang dihadapi kucing anda, apatah lagi menentukan sendiri apakah ubat-ubatan yang perlu diberi. Ia tidak semudah yang disangka.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan