Mengapa Kucing Naik Marah

4 ulasan
Kucing sedang marah dan jengkel

Kucing mungkin akan menggigit atau mencakar manusia demi mempertahankan dirinya. Misalnya andai ditarik ekornya oleh anak-anak kecil.

Tetapi keagresifan yang tidak diberangsangkan tidak boleh diterima.

Sesetengah kucing akan memberikan tanda-tanda amaran yang mereka mahu mengamuk seperti mendengus dan menderam, melibas-libas ekor atau menyentak-nyentak kulitnya.

Tetapi ada juga yang terus menyerang tanpa sebarang tanda.

Kita mestilah berhati-hati setiap kali mengendalikan kucing yang diketahui menunjukkan kecenderungan agresif sebelum ini.

Kucing bukan anjing justeru apabila anda melihat kucing menggoyang atau menghentam ekornya jangan pula disangka perilaku ini menunjukkan kegembiraan. Kucing melibas ekornya apabila mereka marah. Hati-hati!

Usaplah Daku, Cukup! Aku Akan Menggigitmu!

Satu jenis bentuk keagresifan yang mengelirukan ialah kemarahan yang tercetus daripada belaian.

Kucing dengan perilaku ini akan duduk berbahagia di riba anda dan kelihatan sedang menikmati belaian yang anda berikan, namun tak semena-mena mereka berpusing dan menggigit.

Perilaku ini lebih banyak dipamerkan oleh kucing jantan dan puncanya tidak diketahui sepenuhnya.

Ada dua pendapat berkenaan perilaku yang membingungkan ini:

  1. Kucing tidak tahu cara mana lagi untuk memberitahu anda agar berhenti apabila mereka sudah tidak tahan dengan belaian anda, jadi mereka menggigit.
  2. Kucing berasakan belaian itu amat mengasyikkan hingga menyebabkan mereka terlena sebentar namun kemudiannya terkejut dan berasa terkurung, maka mereka mula menyerang.

Anda boleh mengurangkan risiko digigit oleh kucing dalam suasana ini jika anda lebih berwaspada terhadap tanda-tanda tidak ketara yang ditunjukkan oleh kucing sejurus sebelum ia menggigit, dan berundur darinya.

Ketakutan Menimbulkan Keberanian

Kucing boleh menampilkan keagresifan jika mereka dalam ketakutan. Inilah yang lazimnya berlaku di klinik haiwan.

Saya rasa ramai pemilik kucing akan terkejut apabila melihat intan payung kecil mereka tiba-tiba menjadi singa jadian yang laparkan daging manusia semasa menjalani pemeriksaan di klinik.

Bercakap dengan suara yang lembut boleh menenangkan kucing tapi ada juga kucing yang sudah menetapkan keputusan dalam fikiran masing-masing dan tidak akan berdiam diri atau menyerah kalah terhadap pemeriksaan itu.

Kakitangan klinik biasanya akan menggunakan perlindungan dan sarung tangan lasak untuk melindungi diri mereka pada ketika itu.

Memang kita tidak suka melihat kucing kita dalam keadaan terganggu. Ia sukar untuk kucing dan sukar juga untuk kakitangan klinik untuk menjalankan tugasnya.

Bergantung kepada keadaan, klinik tersebut mungkin akan menetapkan agar penenang ringan diberikan sebelum lawatan seterusnya, jika perlu.

Geramnya, Nah, Rasakan Ini!

Sebagaimana manusia, sesetengah kucing akan mengalihkan keganasannya.

Kucing anda mungkin tertekan atau terganggu oleh perkara-perkara lain tetapi ia melepaskannya kepada anda atau kucing lain di dalam rumah.

Misalnya kucing anda mungkin mendengar atau menghidu kehadiran kucing asing di luar rumah, berasa terancam dan bertindakbalas dengan menggigit atau mendengus kepada anda.

Cuba kenalpasti sumber yang membawa tekanan itu dan jika perlu semburkan dengan penyembur air terhadap kucing anda jika ia menyerang anda.

Kesakitan Yang Terselindung

Keagresifan juga boleh berpunca daripada kesakitan atau penyakit saraf. Jika kucing anda menunjukkan perubahan perilaku secara tiba-tiba dan menjadi agresif berpanjangan, cara yang paling baik ialah membawanya ke klinik untuk dilakukan pemeriksaan kesihatan.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

Lazada Pets

4 ulasan:

  1. Bagaimana cara nak ajar kucing tu jangan kencing di tempat yang tidak sepatutnya. Contoh kucing Mrs. A yang nama Lilo tu suka kencingkan bigbean merah we all tetapi koko tidak. Pada mula-mula Mrs. A bagi mereka bebas di dalam rumah mereka ok dengan sendirinya berak dan kencing di dalam bilik air. Lately ni aje si Lilo tu dah buat perangai.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalu ada banyak kucing di rumah, masalah macam ni akan muncul sebab sesak dan tekanan.

      Kalau kencing tanda kawasan (bekas kencing kws menegak), tu tanda sesak. Boleh diselesaikan kalau ada tempat untuk kucing memanjat dan hinggap, dan mandulkan. 90% tindihan kawasan selesai kalau kucing mandul.

      Kalau kencing bertakung, tu tanda lepas hajat. Bermakna Lilo menjauhi bekas pasir.

      Anggap sahaja bekas pasir ibarat seluar dalam, sepatutnya ia bukan untuk dikongsi. Jadi, kalau boleh sediakanlah sebekas seekor. Mungkin dia tak suka kongsi di bilik sama. Ini masalah biasa kalau banyak kucing.

      Big bean tu apa, ya? Bean bag ke? Cuba carikkan sikit kulit limau nipis/kasturi dan hulurkan pada hidungnya. Kalau dia lari, makna dia tak suka sitrus, dan ini 'berita baik'.

      Cuci beg dengan sabun utk hilangkan hancing. Bilas dan lap dengan klorox, biarkan sekejap, ini utk hilangkan ammonia. Bilas dengan air bersih. Biasa klorox kita guna 1:30, tapi kalau takut beg tu bertompok² boleh cairkan lagi 1:50.

      Kemudian ambil sitrus paling kuat; lemon 3-4 biji. Lapkan airnya pada beg tu. Masa Mrs. A nak pegi kerja, taburkan kulit lemon tu pada beg. Lemon ni berasid sikit dan makan kulit/plastik, jadi agaklah sepekat mana yang hendak. Ini utk jauhkan kucing dari beg tu.

      Lagi bagus, letakkan bekas pasir dekat dengan beg tu, tapi jgn sebelah-menyebelah. Bila dia dah mula gunakan balik bekas tu, boleh alihkan semula ke bilik air. Mula² nampak buruk bekas pasir di tengah rumah, tapi biasanya 2-3 hari je sebab anak kucing mudah diajar.

      Padam
  2. Kucing saya american shorthair + persian, umur 4 bulan. Pada mula nya, dia ok. Di pegang pun x marah. Sekarang, dia sentiasa mendengus. Kami baru pindah kan dia ke kediaman baru dan sekarang d kediaman baru terdapat seekor persian dewasa. Bagaimana nak suroh yang si kecil ni menjadi periang kembali, sekian

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kucing perlukan masa untuk sesuaikan diri di tempat baru, apatah lagi kalau ada kucing lain. Masuk tempat baru, bau persekitaran berbeza, kucing akan cepat resah.

      Kawasan rayau atau sempadan semulajadi biasanya ambil masa lebih kurang 2-3 minggu.

      Kalau ada pohon kucing (cat tree) tempat untuknya bertenggek di tempat tinggi, lagi bagus kerana wujud ruang vertikal. Saya ubahsuai dari rak buku lama sahaja.

      Dalam masa sama, jangan lupa pemeriksaan kesihatan tahunan.

      Padam