Panduan Memperkenalkan Kucing Baru Di Dalam Rumah

5 ulasan
Dua ekor kucing bertemu

Atas sebab-sebab kesihatan, anak kucing atau kucing dewasa baru hendaklah diperiksa terlebih dahulu oleh doktor sebelum ia diperkenalkan kepada kucing anda yang lain.

Jika mahu, boleh juga dilakukan ujian leukemia felin (FeLV) iaitu virus felin yang berjangkit dan boleh membawa maut. Jika berumur enam bulan atau lebih, ujian virus kurang daya tahan felin (FIV) juga boleh dilakukan.

Biasanya kucing dari pusat perlindungan dan pembiak baka sudah melakukan pemeriksaan kesihatan berkala terhadap kucing mereka.

Anda hanya perlu mendapatkan kad kesihatannya sahaja dan jika tiada maka ada baiknya anda membuat lawatan baru ke klinik.

Sekiranya kucing itu diangkat dari pusat perlindungan, atau rumah asal yang mempunyai pelbagai kucing, atau dari pembiak baka maka adalah baik jika diasingkan dahulu kucing baru daripada kucing-kucing lain sekurang-kurangnya seminggu untuk mengawal apa jua sebaran penyakit berjangkit.

Cemburu merupakan masalah yang perlu diatasi setiap kali kucing baru menyertai sesebuah rumah. Kucing lazimnya berat hati untuk berkongsi tuannya dengan orang lain.

Berikan kucing sediada sebanyak-banyaknya perhatian untuk memudahkan peralihan ini.

Terdengar juga nasihat agar ditempatkan kucing baru dan lama di dalam sangkar yang sama. Saya kurang bersetuju dengan cara ekspress seperti ini.

Ada kucing boleh menerimanya, ada yang tidak. Setiap kucing mempunyai perwatakan yang berbeza.

Mengurung dua ekor kucing yang tidak mengenali di antara satu sama lain dalam ruang yang sama akan membangkitkan kemarahan kucing. Kucing yang ketakutan pula tiada tempat untuk berlindung dan melepaskan diri.

Asingkan Kucing Baru Dalam Bilik Berasingan

Amalan memperkenalkan kucing secara baik akan mengurangkan tekanan dan pertikaian.

Sebaik sahaja anda membawa pulang kucing baru ke rumah, anda hendaklah mengurungnya terlebih dahulu di dalam biliknya sendiri berserta bekas pasir, mangkuk makan dan air.

Ini membolehkan kucing lain menghidu bau kucing baru melalui bawah pintu untuk memulakan perkenalan.

Andai berlakunya deraman dan dengusan dari mana-mana pihak maka bercakaplah dengan baik dan cuba menenangkan kucing-kucing itu.

Selepas beberapa hari anda boleh cuba membuka sedikit pintu bilik supaya kedua-duanya boleh melihat dan menghidu bauan masing-masing.

Anda perlu berada di samping mereka ketika ini bagi mengelakkan pergaduhan.

Perkenalan Langsung Disertai Pemantauan

Unggulnya, pemisahan awal ini perlu berlangsung selama seminggu.

Langkah seterusnya ialah masukkan kucing baru itu ke dalam bekas pengusung dan diletakkan di tengah-tengah ruang tamu atau tempat bermain dan biarkan kucing lain melihat dan menghidunya.

Jika kucing lain bersikap tenang, bukakan pintu pengusung dan biarkan kucing baru keluar sendiri sementara anda memantau keadaan ini.

Setiap kali mana-mana kucing mendengus atau menderam anda hendaklah menenangkannya dengan bercakap, memujuk, membelai dan bersedia untuk meleraikan percakaran seandainya ia meletus.

Jika keadaan baik, jemput kedua-dua kucing itu bermain dengan alat permainan. Anda perlu peka terhadap perilaku kucing sepanjang permainan ini.

Selepas beberapa pertemuan (di mana anda memantaunya) berlaku tanpa sebarang percakaran, biarkan kucing-kucing itu bertemu dan anda perlu keluar dari ruang tamu atau bilik itu.

Tapi anda mesti memastikan juga sebarang bunyi yang menunjukkan masalah.

Jika segalanya berjalan lancar maka perkenalan ini telahpun berjaya dilaksanakan. Anda mesti bersabar kerana jika bernasib baik ia akan selesai dalam masa dua minggu tetapi ia juga boleh melarat sehingga berbulan-bulan.

Tidak ada tempoh penyesuaian yang piawai untuk dijadikan kayu ukur. Ia perlu berlangsung sehinggalah anda berasa benar-benar selesa dengan bagaimana kedua-dua pihak mengendalikan suasana baru ini.

Kadangkala percakaran tetap berlaku meskipun tempoh berkenalan telah berlalu dan berjalan dengan baik.

Ini kerana kucing perlu menentukan kawasan wilayah di dalam rumah dan ia biasanya diselesaikan melalui pertengkaran.

Asalkan tidak melarat, kadangkala anda tidak perlu campurtangan dalam penentuan kawasan ini selagi mana tidak melibatkan kecederaan fizikal.

Jika perlu, anda boleh meleraikannya dengan penyembur air, hon atau jatuhkan tin kosong berisi duit syiling supaya mereka terperanjat.

Teman Baru Sama Atau Berlainan Jantina?

Tidak ada masalah samada anda memilih sama jantina atau berlainan sebagai teman baru kucing anda. Begitupun, perkenalan biasanya lebih mudah jika dilakukan pada peringkat anak kucing berbanding kucing dewasa.

Setiap Kucing Perlu Ada Ruang Sendiri

Mana-mana kucing sediada tidak wajar dipaksa berkongsi makanan, air atau bekas pasir dengan kucing baru. Ini juga salah satu sebab mengapa dilakukan pengasingan sementara.

Di dalam rumah yang mempunyai beberapa ekor kucing, persaingan makanan boleh menyebabkan masalah seperti penambahan berat badan dan keagresifan.

Apabila kucing baru itu sudah selesai tempoh pengasingan, setiap kucing perlu disediakan hidangan makanan dalam mangkuk berbeza sepanjang hayatnya.

Meminta kucing untuk makan dari hidangan sama atau sebelah-menyebelah sebenarnya bertentangan dengan naluri semulajadinya dan boleh membawa masalah lain.

Ada kucing yang boleh menerima keadaan ini, sebahagian besarnya tidak.

Kebersihan bekas pasir adalah sentiasa penting apatah lagi jika terdapat lebih daripada seekor kucing. Cara terbaik untuk mencegah pembuangan tak wajar dan menggalakkan penggunaan bekas pasir yang baik ialah dengan menyediakan sekurang-kurangnya sebekas untuk setiap kucing.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

5 ulasan:

  1. Kucing saya seekor besar dan seekor lgi masih sbln..first dorg met kucing sye yg bsr tu marah sgt dan sampai sekarang dia still merajuk dan tak nk dipegang sbb cemburu..so tak thu dh nk wt ape^^

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cemburu tu masalah biasa. Setakat yang pernah dicuba, paling mudah untuk hilangkan cemburu ialah melalui makanan. Masa tu lah boleh dipujuk dan dibelai.

      Padam
  2. Yeay tq for this artikel. Sy ada plan nak adopt another cat, dan risau mcmana nak perkenalkan kucing baru ni dgn kucing sedia ada sy. Artikek ni byk membantu :)

    BalasPadam
  3. Sy bru mandikn ank kucing yg usia 5 bulan kat vet. Lpas bwk balik tu, ibu n adik bradik dia semua marah kat dia dengus2 bagai. Maybe sbab bau sabun smpai x knal. Mcm mne ye nk buat? Any suggestion?

    BalasPadam