Memelihara Kebersihan Bekas Pasir Kucing

2 ulasan
Bekas pasir kucing yang bersih

Kucing adalah haiwan yang cerewet dan jika bekas pasir mereka kotor, mereka akan mencari tempat lain untuk 'melabur'.

Bayangkan begini, pernahkah anda memasuki tandas awam yang sangat kotor, berbau hancing dan terdapat pula ketulan aneh terapung-apung pada permukaan air, di lubang tandas itu?

** Dikemaskini semula pada Disember 2014 mengikut peredaran masa **

Sudah pasti anda tak berselera nak membuang di situ.

Jadi, bagaimana hendak membersihkan bekas pasir itu? Adakah kita perlu menjenguknya beberapa kali seminggu, atau hanya pada hujung minggu?

Adakah kita hanya perlu menunggu sehingga tak tertahan baunya atau sehingga kelihatan ketulan-ketulan membukit, sebelum mencucinya?

Dan jika mencucinya pula, adakah sekadar mencedok tahinya, dan tambah lagi pasir ke dalamnya? Sebenarnya jika kita tidak menjaga kebersihan bekas pasir itu, tidak adil untuk kita mengharapkan kucing kita menggunakannya.

Anda perlu memulakan dengan menyediakan bekas yang bersih dan sentiasa menjaga kebersihannya.

Bermula Dengan Bekas Yang Bersih

Walaupun bekas itu baru dibeli, kita masih perlu menggosoknya dengan air suam dan sabun, membilasnya dengan baik dan keringkan dengan cara mendedahkannya pada sinar matahari dan udara.

Kucing mempunyai deria bau yang lebih baik berbanding manusia, dan mereka mungkin akan tawar hati dengan bau yang terhasil dari proses pengilangan, pembungkusan dan penghantaran. Bahasa mudahnya adalah bau kedai!

Jika bekas itu pernah digunakan sebelum ini, teruskan membasuh dengan air suam dan sabun, ditambah dengan bahan peluntur baju.

Cairkan dahulu bahan peluntur itu, setengah tudung penutup dengan satu liter air (lebih kurang satu botol minuman gas/bikarbonat saiz besar) sudah memadai.

Kemudian bilas 3-4 kali dengan air bersih sebelum dikeringkan pada udara terdedah. Peluntur yang telah dicairkan adalah pembasmi kuman yang selamat digunakan tetapi pembasmi kuman jenis lain adalah tidak digalakkan.

Ini kerana kehadiran bau dari pembasmi itu hanya menyebabkan keadaan lebih buruk. Ammonia misalnya, mempunyai komposisi kimia seperti air kencing dan boleh membuatkan kucing anda menganggap kotak najis yang bersih itu kelihatan kotor hanya disebabkan baunya.

Kebersihan Yang Berterusan

Meskipun telah dibasuh, ia masih tidak mencukupi jika tiada penjagaan kebersihan berterusan. Ada sesetengah kucing yang sangat- sangat cerewet sehingga enggan membuang dalam bekas yang pernah digunakan.

Jika anda tidak mampu untuk mencedoknya serta-merta (secara peribadi, saya juga tidak mampu) cubalah 2 kali sehari atau sekali sehari sekurang-kurangnya.

Anda juga boleh menawarkan kepada kucing anda satu tandas yang bersih dengan menyediakan dua bekas pasir diletakkan bersebelahan. Sesetengah kucing menyukai sistem dua bekas. Satu untuk kencing, satu lagi untuk berak.

Jangan lupa walaupun anda tekal mencedoknya setiap hari, anda masih perlu membasuhnya luar dalam dan membasmi kuman selepas jangka masa tertentu.

Ada sesetengah orang yang menggunakan hamparan lapisan plastik pada dasar bekas untuk memudahkan proses pembersihan

Masalahnya adalah sesetengah kucing tidak menggemarinya, mereka merasakan baunya mencengkam dan tidak suka dengan rasa plastik di bawah kaki mereka.

Jika kucing anda boleh menerimanya, anda boleh teruskan kerana memang ia memudahkan kerja.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

Lazada Pets

2 ulasan:

  1. saya cuma sediakan kotak najis kucing yang diletakkan koyakkan kertas surat khabar sahaja. Ia memberi kesan dimana kucing-kucing saya tidak akan membuang najisnya selain permukaan yang ada kertas dan bau kucing Ini ada salah satu petua yang telah lama diamalkan oleh keluarga saya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tanpa pasir, hanya kertas koyak sahaja?

      Padam