Sediakan Tempat Untuk Si Comel Mencakar

Tinggalkan Ulasan
Kucing sedang menggunakan pad cakar

Anda perlu memulakan projek ini dengan menyediakan tiang, pad cakar atau batang kayu yang bagus. Batang kayu atau tiang pencakar ini perlulah cukup kukuh untuk kucing anda memanjat di atasnya dan menariknya dengan kuku, dilitupi dengan bahan yang membolehkan kucing anda membenamkan kuku terhadapnya.

** Dikemaskini semula pada Disember 2014 mengikut peredaran masa **

Letakkan di ruang yang menonjol supaya kucing anda dapat menggunakannya. Selepas anda meletakkan batang kayu atau tiang cakar tersebut, galakkan kucing anda menggunakannya dengan mengacahnya dengan alat mainan dan berikan pujian jika dia membenamkan kukunya di situ.

Jika kucing anda menggemari pokok kucing galak, gosokkan sedikit daun atau akarnya pada pencakar itu untuk menggalakkannya menghabiskan lebih banyak masa di situ dan berikan sedikit makanan jika dia memanjat pencakar atau duduk di atas batang kayu itu.

Pastikan si comel tahu bahawa dia bebas memanjat dan mencakarnya di situ. Jangan letakkan kukunya pada tiang itu, kerana kucing tidak suka dipaksa melakukan sesuatu!

Pastikan pencakar yang disediakan itu tidak mempunyai bahan atau tekstur yang sama dengan tekstur karpet atau sofa atau perabot lain. Jika tidak, kucing akan mengalami masalah untuk membezakan kenapa mencakar di tiang cakar adalah dibolehkan tetapi tidak pada bahagian karpet.

Tali guni sisal

Yang lebih baik adalah anda cari tiang cakar yang dilitupi dengan gulungan sisal, sejenis tali seperti tali guni, tetapi lebih kasar dan besar. Kucing sememangnya suka membenamkan kukunya pada bahan seperti ini.

Pastikan juga kawasan yang anda tidak mahu kucing berada itu kurang menarik sepanjang proses pembendungan ini, seperti meletakkan foil aluminium nipis atau hamparan plastik pembungkus.

Gunakan juga pita dwipermukaan kerana kucing tidak gemar dengan benda yang melekit-lekit pada bahagian bawah kaki mereka.

Anda masih boleh menggunakan perabot anda dengan mengalas foil, plastik atau pita itu pada kepingan kadbod. Jika anda mahu duduk, hanya angkatkan sahaja kepingan kadbod itu.

Kucing di sebelah tiang cakar

Memandangkan mencakar adalah proses penandaan kawasan, letakkan pencakar itu di kawasan yang menonjol, barangkali berhampiran dengan kaki sofa yang pernah dicakarnya, dan letakkan bahan pencegah yang dinyatakan sebelum ini pada kaki sofa itu, atau pada mana-mana bahagian rumah yang dicakarnya.

Puji kucing anda setiap kali dia menggunakan pencakar berbanding sofa anda. Alihkan pencakar itu sedikit demi sedikit dari masa ke semasa ke bahagian rumah yang anda rasakan sesuai.

Jika anda melihat kucing anda mencakar pada perabot lain, renjiskan kucing anda sedikit dengan menggunakan botol penyembur air atau mana-mana alat pencegah lain.

Cuba untuk menyorok supaya dia tidak nampak anda yang buat dan tolong kawal rasa marah anda!

Ingat, konsepnya di sini adalah untuk membuatkan kucing itu percaya bahawa perabot itu sendiri yang melakukan disiplin-disiplin tersebut, "Wah, aku letakkan kuku aku kat sini dan kerusi tu sembur aku dengan air!"

Ya, rumah anda akan kelihatan buruk seketika, dengan segala alat pencegah di sana-sini, pita pelekat pada perabot, hamparan plastik pada sofa dan tiba-tiba ada batang kayu pula di tengah-tengah rumah.

Anda mesti hidup dalam keadaan begitu sehinggalah rutin mencakar kucing anda dapat diubah ke tempat yang diingini itu sudah terbentuk.

Jika anda bersabar dan tekal, corak baru ini akan mengambil tempat dalam kehidupan kucing anda. Jika anda tidak mahu bersabar, mungkin belum tiba masanya untuk anda membela kucing.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

Lazada Pets

0 ulasan:

Catat Ulasan