Menjaga dan memotong kuku kucing

6 ulasan
Bahagian kuku kucing yang dipotong

Setiap daripada kita perlulah membiasakan diri memotong kuku kucing. Walaupun nampak macam susah tetapi ia senang sahaja.

Kuku kucing yang tidak dipotong sebenarnya boleh mencacatkan kakinya sendiri. Ini kerana kuku yang dibiarkan panjang akan mencengkam tapak kakinya dan ini amat menyakitkan.

Peralatan memotong kuku kucing

Pengetip kuku. Itu sahaja.

Anda boleh mendapatkan pengetip khusus di kedai yang ditawarkan dalam pelbagai bentuk dan jenis pemotongan.

Biasanya ditawarkan dalam dua jenis iaitu pangkas atau kacip sementara bentuknya pula hadir dalam rupa gunting atau genggaman seperti playar.

Terpulanglah kepada masing-masing. Saya hanya gunakan pengetip kuku manusia sahaja :)

Apa yang penting, pastikan besinya bermutu terutamanya bahagian mata pemotong.

Oh ya, sediakan juga sabun mandi dan minyak gamat. Ya, sabun mandi.

Berapa kerapkah kuku kucing hendak dipotong?

Tidak ada jadual paling unggul di dunia dalam bab memotong kuku kucing. Ada yang syorkan dua minggu sekali, ada yang sebulan sekali.

Saya hanya potong apabila saya berasakan ianya terlalu panjang. Susah juga kalau main 'rasa' ni. Bagi saya, apabila mata kukunya sudah melengkung ke dalam seperti kuku helang, itu bererti ia terlalu panjang.

Kuku kaki hadapan biasanya lebih kerap dipotong berbanding kaki belakang dan sesi potong kuku ini boleh dimulakan seawal umur 3 bulan.

Bukan mudah untuk memotong semua kuku kucing dalam satu sesi kerana kucing agak cepat hilang sabar apabila kakinya dipermainkan sebegitu rupa.

Jadi lakukanlah berulang-ulang dan jangan tergopoh-gapah, misalnya 1 atau 2 kuku sahaja setiap satu sesi. Yang lain buat kemudian.

Saya potong kuku kucing semasa dia tidur :)

Cara-cara memotong kuku kucing

Pertama sekali, bermain-mainlah dahulu dengan kaki kucing supaya kucing itu biasa dan anda juga biasa dengan perihal kaki dan kukunya.

Letakkan jari telunjuk dan jari hantu di bawah tapak kaki kucing dan gosok-gosokkan sedikit.

Tempatkan ibu jari anda di atas salah satu jari kakinya dan tolak ibu jari anda ke hadapan, sepatutnya kuku kucing itu akan keluar dari persembunyiannya.

Lihat pada kuku kucing itu. Kukunya putih dan jernih tetapi ada satu bahagian pada pangkal kuku itu berwarna merah jambu, tebal dan berbentuk segitiga.

Itu dipanggil quik (quick) dan di dalamnya terkandung urat saraf dan darah. Jangan potong bahagian ini. Rujuk gambar di atas.

Pendarahan akan berlaku jika tersalah potong bahagian saraf quik ini. Jadi berlatihlah memegang dan melihat bahagian kuku kucing ini dahulu sebelum memotongnya.

Lihat semula gambar di atas. Kuku kucing dipotong di antara quik dan hujung kuku.

Saya tak nampak urat sarafnya

Jika kuku kucing terlalu gelap atau kusam dan tidak kelihatan di manakah sempadan quiknya itu, maka potonglah bahagian hujung kukunya sahaja.

Tak perlu agak-agak kerana lebih baik terkurang potong berbanding terlebih potong.

Kuku kucing berdarah kerana terlebih potong

Tikam kuku itu ke dalam sabun mandi yang disediakan tadi, beberapa ketika, untuk menghentikan pendarahan.

Kemudian sapukan minyak gamat pada kuku yang berdarah itu. Pantau juga dari masa ke masa kerana kita tidak mahu berlaku jangkitan pula.

Anda juga boleh menggunakan serbuk stiptik, iaitu serbuk khas untuk menghentikan pendarahan yang ada dijual di kedai. Hanya calitkan sahaja serbuk itu pada luka tersebut.

Haish, kan dah pesan suruh berlatih melihat dahulu :)

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

6 ulasan:

  1. kira kira apa bisakah kuku tersebut kembali tajam,atau tumbuh kembali...?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, tumbuh & kembali tajam lebih kurang seminggu, sama macam kuku manusia.

      Padam
  2. potong kuku kucing blh elakkan sofa drp rosak x?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tak jugak cuma kukunya tak begitu tajam bila dipotong. Untuk kawal tingkahlakunya dari mencakar perabot rumah, boleh lihat tajuk ini:

      Menetapkan peraturan dalam rumah.
      Kenapa kucing mencakar.

      Padam
  3. Anak kucing yang berusia 4 minggu lebih tak boleh potong lagi ke kuku ? Tajam sangat , kadang² kuku mereka tembus kulit kita masa nak main

    BalasPadam
  4. Try guna kepit kuku kucing yg baru beli neh.... Erh... Tumpul... Jumpa article neh guna kepit kuku human mudah senang ������

    BalasPadam