3 Perkara Mencegah Masalah Pembuangan Najis Kucing Tak Wajar

2 ulasan
Tahi kucing pada permaidani

Masalah latihan dalam rumah seperti pembuangan najis tak wajar merupakan punca utama rungutan daripada pemilik kucing.

Sudah tentu tiada siapa yang gemar mengendalikan air kencing dan tahi dalam bekas pasir, apatah lagi jika tahi itu berada di bucu rumah anda, bersebelahan televisyen.

Berita baiknya adalah kebanyakan masalah pembuangan tak wajar ini dapat di atasi jika anda benar-benar melihat perkara ini dari sudut alam kucing, membuat beberapa perubahan dan teruskan bersabar.

** Dikemaskini semula pada Jun 2015 mengikut peredaran masa **

Kucing menjauhi bekas pasir

Perkara pertama adalah mengenalpasti mengapa kucing anda tidak mahu menggunakannya. Anda perlu meletakkan masalah kesihatan sebagai andaian pertama, terutamanya jangkitan pada salur kencing.

Jangkitan sebegini menyebabkan kucing hilang kemampuan untuk menahan kencing, walaupun pundi kencingnya belum penuh. Malah jika ia berada dalam tahap kritikal, kucing anda akan berada dalam kesakitan semasa membuang air kencing.

Semasa di klinik dahulu saya pernah menemani doktor melakukan pembedahan pada seekor kucing yang mengalami masalah ini, salurnya tersumbat dan kucing itu berada dalam kesakitan kerana tidak dapat kencing.

Kami berada dalam keadaan terdesak dan terpaksa menjolok jarum halus ke kemaluannya untuk memecahkan karang yang terhasil. Ia mengambil masa selama 12 jam untuk menyelesaikannya!

Walaupun ada sedikit pendarahan namun semuanya berakhir dengan selamat. Selesai operasi, kucing itu dapat kencing dengan puas, sehingga basah lencun bekas pasir itu.

Kerana itu saya selalu menegaskan, pastikan bahawa apa sahaja masalah perilaku itu samada melibatkan masalah kesihatan atau tidak.

Kucing anda mungkin akan mengaitkan kesakitan yang di alaminya dahulu dengan bekas pasir itu lalu bertindak menjauhinya.

Jika ini kesnya anda perlu melatihnya semula. Anda boleh cuba menggantikan bekas pasir itu dengan bekas baru atau timbunan baru supaya ia kelihatan 'berbeza'.

Jika pemeriksaan kesihatan kucing anda menunjukkan dia sihat, anda perlu membuat beberapa eksperimen untuk memastikan apa sahaja yang berkaitan dengan bekas pasir itu menepati citarasanya.

Kebersihan

Kucing adalah haiwan cerewet termasuklah soal kebersihan. Bersihkan bekas itu sekurang-kurang 2 kali sehari dan pembasuhan luar dalam seminggu sekali. Atau gunakan sistem dua bekas.

Jenis bekas dan isiannya

Ada sebahagian daripada kita yang memilih bekas pasir itu mengikut citarasa kita sendiri sehingga tidak menepati citarasa kucing. Dalam hal bekas pasir, anda perlu mengutamakan pilihan kucing itu sendiri.

Bekas berbumbung seperti rumah mungkin kelihatan cantik bagi anda tetapi kucing mungkin menganggapnya sebagai sempit.

Isian yang berbau wangi mungkin menyenangkan anda tetapi tidak bagi kucing, kerana kucing mungkin akan menganggapnya sebagai kotor disebabkan bau yang ada.

Kebanyakan kucing selesa dengan isian pasir gumpal dan ia juga memudahkan kerja-kerja pembersihan. Jangan sembur pewangi padanya.

Lokasi

Bekas ini perlu berada jauh dari kawasan ia makan dan minum. Anda sendiri pun tidak makan dalam tandas, kan. Pertimbangkan lokasi ini dari sudut alam kucing, tempat yang sunyi yang ia boleh nampak apa yang akan pergi ke arahnya.

Kucing tidak mahu sesuatu yang boleh memeranjatkannya semasa berada dalam bekas pasir. Jauhkan dari sumber bunyi bising seperti mesin basuh dan paip air.

Kucing perlu berasa selamat berada di situ dan sudah tentu tidak suka jika semua orang boleh mengintai apa yang dibuatnya di situ.

Sediakan lokasi yang tersorok dan pastikan tiada yang menghalangnya untuk pergi ke situ (timbunan baju, pintu tertutup dan sebagainya).

Jadikan kawasan lain yang pernah dibuangnya najis itu kurang menarik dengan cara membasuh dan menghilangkan baunya, menutupnya dengan plastik atau pita pelekat.

Pencuci berenzim dapat menghilangkan bau najis tetapi memerlukan masa, anda perlu asingkan dahulu kawasan jenayah itu beberapa minggu dengan bahan pencegah.

Jika kaedah di atas tidak juga berjaya, anda mungkin perlu letakkan kucing anda dalam satu bilik selamat yang hanya mempunyai bekas pasir tu sebagai satu-satunya pilihan untuk dia membuang.

Selepas dia mula menggunakan bekas itu semula, anda boleh lepaskan kucing anda dan meluaskan kawasannya sedikit demi sedikit.

Selagi mana anda memainkan peranan anda (jaga kebersihan dan sebagainya) maka kucing juga akan memainkan peranannya dengan menggunakan bekas pasir yang disediakan.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

2 ulasan:

  1. Assalaamu' alaikum Dik. Masalah akak yg skrg dh serious sgt sampai tahap benci kat kucing ialah kucing2 jiran akak suka kencing atas keta akak dan berak dalam pasu bunga di kawasan laman rumah akak. TENSION SESANGAT!!! Kadang2 rasa cam belasah jer kucing tu kalau akak terserempak ia tengah buat projek. Akak yg x bela kucing ni pulak yg kna jadik tukang basuh air kencing dan berak kucing. Keta baru cuci...pagi esok tengok dh ada kesan kena kencing kat cermin depan atau belakang. GERAMMMMM!!! Camane nak buat ni?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya bersimpatilah dengan keadaan cik. Ini masalah biasa yang tak sepatutnya berlaku, iaitu pemilik kucing melebih-lebihkan kucing berbanding manusia.

      Bila diberi nasihat, kita pula yang kena. Dihumban dengan ayat kucing haiwan kesayangan Nabi dan sebagainya. Saya tak fikir Nabi biarkan kucingnya menyusahkan kehidupan orang lain.

      Masalah kencing/berak tu lebih kepada tanda kawasan dan bekas pasir tak disediakan/mencukupi oleh tuan punya kucing. Jika dia selesaikan perkara ini (kembiri, bekas pasir yang cukup, bela dalam rumah, hadkan bilangan kucing) masalah ini akan selesai untuk tempoh lama.

      Saya cuma boleh beri penyelesaian sementara sahaja.

      1. Basuh cermin kereta dengan air biasa.
      2. Sediakan campuran ini: 1 bhg cuka putih, 2 bhg air suam, 2 sudu teh cecair pencuci pinggan.
      3. Sembur pada cermin, lap dan bilas.

      Ini akan hilangkan bekas bau kencing pada cermin.

      Seterusnya, untuk jauhkan kucing dari cermin kereta:

      1. Perah lemon, kisarkan kulitnya.
      2. Tapis airnya, masukkan dalam penyembur.
      3. Sembur pada cermin.

      Lemon dan lain-lain keluarga citrus bersifat asid, elakkan dari terkena besi pula ye.

      Siramkan juga pada laluan masuk kucing tu ke rumah akak. Kawasan ni boleh guna banyak sikit lemon supaya pekat.

      Selain itu, bila nampak kucing, sembur dengan air paip. Lama-lama dia akan tahu juga.

      Dukacitanya, ini hanya sementara. Kuasa mencegah lebih besar ada pada tangan tuan kucing tu sendiri.

      Padam