Bagaimana menyuap ubat pil ke dalam mulut kucing

Tinggalkan Ulasan
Cara-cara menyuap pil ke mulut kucing.

Ada masanya anda perlu memberi ubat dalam bentuk pil kepada kucing anda. Ada yang memilih untuk menghancurkan pil sebelum dicampur ke dalam makanan.

Tetapi jika boleh, lebih baik disuapkan terus ke mulut kucing berbanding dihancurkannya terlebih dahulu.

Ia tidaklah susah tapi jika kucing tak biasa, tangan anda akan berceloreng juga akibat dicakar atau digigit.

Di bawah ini ialah cara yang paling selamat bagi anda dan kucing anda, untuk memberi ubat pil terus ke dalam mulutnya.

Langkah-langkah menyuap pil ke mulut kucing

Cangkuk kepala kucing dari belakang.

Pegang kepala kucing dari arah belakang dengan tangan kiri, perlahan tetapi kemas.

Bentukkan suatu cangkuk di mana ibu jari dan jari telunjuk anda menempati bawah pipinya.

Dongakkan kepala kucing ke belakang.

Dengan berhati-hati, dongakkan kepalanya ke belakang untuk menaikkan mulutnya.

Pada peringkat ini, sepatutnya kucing anda masih bertenang dan tidak memberontak.

Kemaskan pegangan anda pada rahangnya dengan ibu jari dan jari telunjuk anda.

Ketika ini, kucing biasanya tidak akan menyukai perbuatan anda tetapi masih tidak melawan.

Jika perlu, usap, pujuk dan belai tubuhnya agar ia bertenang.

Pastikan anda memegang pil tersebut dengan ibu jari dan jari telunjuk di tangan kanan anda.

Buka rahang kucing dengan tangan kanan.

Dengan menggunakan tangan kanan, masukkan secara lembut jari hantu anda di antara gigi hadapan kucing.

Tolak rahang bawah kucing agar mulutnya terbuka.

Jika anda mendongak kepala kucing ke belakang dengan betul, sepatutnya kucing itu tidak dapat menggigit anda.

Semasa mulut kucing masih terbuka, campakkan pil itu secepat dan sedalam mungkin.

Cuba sasarkan ke dasar tekak untuk mengelakkan pil itu bersentuhan dengan lidahnya.

Ini supaya kucing tidak merasai kepahitan pil itu lalu meludahnya keluar.

Jangan buka mulut kucing terlalu lama kerana perbuatan ini tidak disukainya. Apabila terbuka, campak terus.

Tutup mulut kucing dan gosok lehernya.

Tutup semula mulut kucing dan gosok dengan lembut di kawasan lehernya untuk membantu kucing menelan pil tersebut.

Lepaskan kucing anda dan perhatikan tingkahlakunya. Jika kucing anda menjilat mulutnya, bererti dia sudah menelan pil itu.

Ada kucing yang licik, pandai menyembunyikan pil di dalam mulut dan meluahkannya keluar apabila anda tidak memandang ke arahnya.

Jadi perhatikan juga keadaan sekitar selepas itu, kalau-kalau ada pil yang diludah keluar.

Berikan snek atau treat sebagai upah, supaya prosedur ini menjadi lebih mudah di masa akan datang.

Petua tambahan

Sesetengah kucing terlalu memberontak dan tidak duduk diam.

Jadi anda perlu lakukan suapan ini dengan meletakkan kucing di atas meja, penyandar sofa atau di tempat tinggi supaya dia tidak ada ruang melepaskan diri.

Jika kucing anda mengambil kesempatan untuk membenam kukunya ke tangan anda, maka ambil tuala atau kain tebal dan balut kucing anda seperti kuih popia.

Biarkan kepalanya sahaja yang terjojol keluar.

Kemudian lakukan langkah sama seperti di atas.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

Lazada Pets

0 ulasan:

Catat Ulasan