Cara-cara memegang kucing tanpa dicakar

2 ulasan
Anak kucing bermain di bahu

Tajuk yang remeh namun anda perlu tahu bagaimana untuk memegang dan mengangkat kucing dengan betul.

Yang lebih penting ialah anda mengajarkannya pula kepada anak-anak kerana banyak kali kanak-kanak mengendalikan kucing dalam keadaan yang membahayakan kucing serta memudaratkan diri mereka apabila diserang kucing yang kesakitan.

Sudah tentulah anda tidak mahu mencederakan kucing tetapi jika kucing itu berasa tidak selamat ia boleh mencederakan anda pula demi menyelamatkan diri mereka.

Ada pelbagai kaedah yang berkesan dan boleh dikuasai dengan latihan dan pengalaman.

Jika anda mempunyai anak pastikan mereka juga mempelajari bagaimana untuk mengendalikan kucing dengan lembut dan selamat.

Dari pemerhatian peribadi kucing kelihatannya lebih bertolak-ansur dengan karenah kanak-kanak berbanding tuannya sendiri.

Pantang-larang dalam memegang kucing

Misai dan ekor kucing amat peka untuk disentuh. Jangan pegang atau tarik misai kucing.

Ekor kucing merupakan sambungan terhadap tulang belakangnya dan jika ditarik terlalu kuat anda boleh merosakkan hujung turus tulang belakang di mana saraf-saraf penting yang mengawal pengencingan dan peninjaan berada padanya.

Cerita mudah ialah misai dan ekor boleh disentuh dan diusap tetapi jangan dipegang apatah lagi ditarik. Dua sempadan ini paling banyak dicerobohi oleh kanak-kanak maka anda perlu mengajarnya kepada mereka.

Apabila bekerja dengan kucing amatlah penting untuk berkeadaan lembut tetapi kemas. Kucing agak pakar dalam membaca bahasa tubuh manusia.

Jika anda tidak yakin terhadap keupayaan anda untuk mengangkat atau memegangnya, kucing itu akan mengetahuinya dan akan mengambil kesempatan dalam suasana sedemikian.

Dakapan tubuh

Cara terbaik untuk mengangkat kucing ialah pertamanya menghulurkan tangan dan biarkan kucing menghidunya. Ini memberikan kucing itu peluang untuk mengenali siapakah anda sebenarnya.

Seterusnya, garu sedikit kawasan di antara telinga dan sepanjang tulang pipi atau dagunya. Lebih baik mendekati kucing dari bahagian tepi kerana ia kurang mengancam berbanding menjelmakan diri dari bahagian atasnya.

Letakkan sebelah tangan dengan kemas di belakang ketiak kaki hadapannya dan angkat kucing itu ke atas. Kemudian tangguk dari bawah kedua-dua kaki belakangnya dengan tangan yang lain.

Pegang kucing itu dengan lembut didakapkan terhadap tubuh anda sebagai sokongan tambahan. Kucing yang berasa dirinya selamat akan kurang melawan.

Menyauk leher kucing

Adalah sesuatu yang boleh diterima untuk memegang kucing, walaupun kucing dewasa, dengan cara menyauk belakang tengkuknya.

Tetapi tolonglah jangan mengangkatnya dari tanah terus ke atas dengan cara begini.

Pegangan ini digunakan oleh ibu kucing terhadap anak-anaknya. Kebanyakan kucing secara semulajadi akan bertenang apabila dipegang dengan cara demikian.

Kucing yang besar atau dewasa susah untuk disauk dengan baik dan anda perlu menyokong punggungnya.

Dukungan lengan

Anda boleh mendukung kucing pada lengan anda dengan cara menangguk kucing naik dengan satu lengan pada bahagian depan dadanya sementara lengan lain di bahagian bawah ekornya.

Kedudukan ini juga sepatutnya menyokong kaki belakangnya. Untuk lebih selamat, anda boleh memegang kaki belakangnya dengan tangan anda.

Dukungan bayi

Sesetengah kucing boleh menerima jika dibawa dengan cara dukungan bayi. Tetapi dukungan terbalik sebegini merupakan kedudukan yang sangat pasrah dan kebanyakan kucing tidak membenarkannya melainkan ia menaruh kepercayaan yang tinggi kepada anda.

Dukungan bahu

Satu lagi kaedah untuk memegang kucing ialah dengan dukungan bahu sebagaimana anda menyendawakan bayi.

Untuk kedudukan ini, letakkan sebelah tangan di atas bahu kucing dan sebelah lagi di belakang bawah ekornya sambil memegang kaki belakangnya.

Sesetengah kucing suka menunggang pada bahu tuannya dan ini amat comel semasa ia masih kecil tetapi mungkin tidak lagi sesuai apabila ia semakin besar dan berat.

Berat kucing dan kukunya boleh jadi tidak menyenangkan maka berhati-hatilah apabila anda membenarkan kucing untuk melompat atau memanjat diri anda.

Cara mengeluarkan kucing dari tempat tersorok

Jika kucing berada di bawah sesuatu dan anda mahu menariknya keluar maka menyauk leher merupakan cara yang paling selamat andaikata anda tidak dapat memujuknya dengan makanan gayaan atau mainan.

Jangan ditarik anggota badannya. Meskipun kucing agak lasak namun kebanyakan orang boleh menarik keluar kaki kucing dari sendi dengan tidak sengaja.

Cara memegang kucing yang cedera

Jika anda mempunyai kucing yang takut atau cedera dan anda tidak senang untuk mengangkatnya dengan cara biasa maka anda boleh menyelubunginya dengan tuala atau selimut di bahagian kepala terlebih dahulu sebelum cuba untuk mengangkatnya naik.

Apabila kucing tidak dapat melihat persekitaran biasanya ia lebih bertenang. Atas sebab-sebab keselamatan adalah lebih baik dipindahkan kucing ini ke dalam bekas pengusung atau kotak.

Bukan semua kucing gemar didukung

Setiap kucing mempunyai tahap tolak-ansur yang berbeza berkenaan cara pegangan. Ada sesetengah kucing seakannya hidup untuk dipegang belai dan dibawa ke sana ke mari.

Sementara yang lain pula akan melarikan diri jika mereka menyangka anda akan mengangkatnya. Ada juga yang boleh menerima jika diangkat untuk beberapa ketika sebelum berhempas-pulas untuk melarikan diri.

Berpada-pada dan hormatilah pendirian kucing anda dan cubalah untuk memahami bahawa secara amnya kucing lebih gemar dibelai semasa mereka tegap di tanah atau perabot dan lain-lain permukaan yang boleh diinjak kemas oleh cengkaman kakinya.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

2 ulasan: