Penjagaan Gigi Kucing

2 ulasan
Gigi kucing

Dalam suatu mimpi yang indah, kucing akan memberus giginya sendiri setiap hari seperti kita.

Tapi hakikatnya kucing tidak dapat memberus giginya dan kebanyakan kita pula samada tidak pernah, tidak sanggup, terlalu sibuk atau tidak tahu bagaimana hendak diberus gigi kucing itu.

Sebagaimana manusia, kucing akan menghidap penyakit gigi seperti pengumpulan plak dan tartar pada giginya.

Ini akan menyebabkan gingivitis, iaitu keradangan gusi. Jika dibiarkan, bakteria akan memasuki salur darah dan menyerang bahagian lain dalam tubuhnya.

Sesetengah penyakit buah pinggang adalah disebabkan pencemaran darah akibat bakteria terutamanya pada kucing yang sudah tua.

Bengkak mulut dan jangkitan tulang rahang juga boleh berpunca daripada penyakit gigi.

Berapa ramaikah daripada kita yang memberus gigi kucing setiap minggu? Saya rasa tidak ramai tapi gigi yang sihat sangat penting demi mencegah penyakit lain yang jauh lebih membebankan.

Berus gigi dan ubat gigi sangatlah murah tapi rawatan gusi dan gigi pula mahal.

Memberus gigi kucing hanya mengambil masa 5 minit setiap dua hari tapi penyakit radang gusi kronik seperti stomatitis pula amat-amat-amat menyakitkan.

Tiga kali 'amat' tu, jadi jagalah kebersihan gigi kucing masing-masing.

Pertama kali memberus gigi kucing

Memberus gigi tidak susah dan terdapat banyak produk yang boleh digunakan untuk kucing.

Jika ini pertama kali anda memberusnya, mulakanlah seminggu sekali sebelum dikerapkan sebanyak dua hari sekali.

Ini akan mengurangkan pengumpulan plak dan tartar dan mencegah begitu banyak penyakit gigi dari menyerang kucing anda.

Ini adalah beberapa perkara yang perlu diambil perhatian:

  • Mulakan pembersihan gigi ketika kucing masih kecil supaya mudah untuk membiasakannya.
  • Gunakan berus gigi kucing kecil atau berus jari tanpa ubat gigi jika ini pertama kali anda melakukannya.
  • Gosok pangkal gigi kucing pada garisan gusinya sebanyak 2-3 kali, bahagian luar dan dalam mulut, kedua-dua bahagian gigi atas dan bawah.
  • Tambah ubat gigi jika kucing anda sudah biasa dengannya.

Peralatan pembersihan gigi

Hanya dua perkara sahaja yang perlu disediakan iaitu berus gigi dan ubat gigi yang boleh didapati dengan mudah di mana-mana kedai binatang peliharaan.

Jangan guna ubat gigi manusia kerana ia bukan untuk ditelan. Ubat gigi kucing boleh ditelan dan tidak memberi kesan jika dihadam.

Bahkan ubat gigi kucing juga ada ditawarkan dengan perisa ayam dan ikan tuna. Terserahlah pada masing-masing untuk menggunakan yang berperisa atau tidak.

Jika tidak ada ubat gigi pun tidak mengapa cumanya perlu digosok lebih kerap kerana ketiadaan lapisan perlindungan berenzim. Enzim pada ubat gigi inilah yang menguraikan plak dan tartar pada gigi.

Cara lain mengekalkan kebersihan gigi

Ada juga produk bilasan mulut berenzim yang boleh membersihkan gigi dengan mengelapkan sahaja pada gigi dan gusi.

Sesetengahnya boleh ditambah pada makanan dan minuman, dan ini masih selamat.

Selain itu makanan kering biasanya mengurangkan pengumpulan plak berbanding makanan bertin tapi bagi saya ini bukanlah cara untuk mengekalkan kesihatan gigi dan gusi.

Saya tetap mengesyorkan supaya gigi kucing diberus selang sehari kerana ubat paling mujarab untuk membuang tartar dan plak ialah dengan menggosoknya keluar secara fizikal.

Dalam keadaan semulajadi, gigi kucing dipelihara apabila kucing menggigit dan menyiat daging mentah pejal sambil meranapkan tulang-belulang tubuh mangsanya.

Ini mengeluarkan tartar dan plak yang berhimpun pada giginya. Di rumah, kita perlu menggunakan berus untuk meniru perbuatan ini.

Pemeriksaan Gigi Kucing

Di antara rutin penting dalam pemeriksaan kesihatan tahunan kucing ialah kesihatan gigi, gusi dan mulut.

Seseorang doktor itu sepatutnya boleh menjalankan pemeriksaan dan penjagaan rutin pergigian kucing. Ada juga doktor yang boleh melakukan pemulihan dan rawatan salur akar atau kanal pada gigi.

Semasa pemeriksaan tahunan kucing anda, gigi dan gusinya perlu diperiksa dan dinilaikan. Doktor akan memberitahu anda bagaimanakah keadaan gigi kucing anda dan samada perlu dilakukan pergigian atau tidak.

Setiap kucing menghimpun plak pada kadar berbeza tetapi kebanyakan kucing perlu dibersihkan giginya secara profesional menjelang umur empat tahun.

Kekerapan kucing perlu menjalani prosedur ini bergantung kepada banyak perkara tetapi secara amnya setahun sekali.

Jika gusi kucing itu tidak sihat maka boleh jadi ia memerlukan pembersihan profesional setiap enam bulan.

Rawatan pergigian kucing

Apabila doktor memberitahu kucing anda perlukan rawatan gigi atau cuci gigi, biasanya ia membawa maksud pembersihan, penggilapan, rawatan fluorida dan penyingkiran mana-mana gigi yang terhakis, patah atau menerima jangkitan.

Prosedur ini dilakukan secara bius atau anestesia am tetapi sebagai pesakit luar iaitu masuk waktu pagi dan keluar waktu petang pada hari yang sama.

Gigi kucing akan dicuci sebagaimana kita menggosok gigi kita. Bezanya ialah kucing tidak akan menganga mulut dengan kehendaknya sendiri sambil berkata, "Ahhh" :)

Jadi kucing itu perlu dibiuskan supaya proses pembersihan dapat dilakukan dengan sempurna.

Jika ada kebimbangan terhadap sesuatu perkara, tidak kiralah apa sebabnya, anda hendaklah berbincang dengan doktor berkenaan prosedur ini.

Umur bukanlah sebab yang kukuh untuk menolak prosedur itu. Gigi yang rosak dan menerima jangkitan itu jauh lebih menyakitkan berbanding rawatan gigi dan pembiusan.

Meskipun kucing anda makan dengan biasa itu tidak bermakna giginya tidak sakit.

Jangan terkejut jika selepas dilakukan prosedur pergigian, kucing anda menjadi lebih segar dan sihat berbanding sebelumnya, yang anda sangkakan sihat itu.

Ramai yang tidak menyedari bahawa kucing masing-masing, yang disangkakan sihat, sebenarnya berada dalam keadaan tidak selesa selama ini.

Mencabut gigi kucing

Seandainya kerosakan ketara pada gigi telah berlaku maka anda mungkin disyorkan oleh klinik supaya gigi itu dicabut.

Tidak sepertimana manusia, menyelamatkan gigi kucing yang rosak dengan apa jua tampalan amatlah susah.

Pencabutan boleh dilakukan dengan pembiusan yang sama seperti pencucian gigi.

Beberapa alatan tangan dan penggerudi kuasa juga mungkin digunakan untuk mencabut giginya dengan sempurna.

Kucing tidak memiliki daya tarikan wajah yang memerlukan gigi yang cantik dan lengkap sebagaimana manusia. Tidak ada kucing yang diejek oleh kucing lain disebabkan kekurangan pada giginya.

Tetapi giginya itu tetap berperanan untuk mengangkat dan memegang makanan dalam mulutnya.

Sudah tentu kita akan risau tentang keupayaannya untuk makan jika beberapa giginya perlu dibuang, tetapi percaya atau tidak, kucing tak bergigi pun boleh makan makanan kering berbiskut selepas gusinya sembuh, walaupun kelihatan agak bersusah-payah.

Mangkuk makanannya mungkin bersepah-sepah kerana makanan itu sering terjatuh dari mulutnya tetapi itu lebih baik berbanding menanggung kesakitan akibat jangkitan mulut.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

2 ulasan:

  1. Salam . Kucing sye mnglmi mslh mlt ny berbau . Mmg sye syak gusi ny . Nk tnye brpe kos utk rwtn tu . Nk cuci gigi ape smua tu ??

    BalasPadam
  2. Berapa ye kos kalau nak buat rawatan gigi tu? Kat mana yang murah ye? Klinik swasta sangat mahal. UPM pun ada yang cakap mahal jugak. Huhu.

    BalasPadam