Siapa Kata Kucing Tiada Perasaan?

11 ulasan

Fara, penulis blog Of Cats and Kucing telah mengungkapkan kisah pengalaman berhadapan dengan ibu kucing yang berakhir dengan penamat yang menyentuh perasaan.

Baca kirimannya, Instinct of a Mother. Banyak perkara yang boleh dipelajari melaluinya.

Mengapakah Kucing Bersin

15 ulasan
Kucing bersin

Kucing tidak dapat menghembuskan hidungnya untuk membuang hingus seperti manusia. Malangnya disebabkan inilah apabila kucing bersin mereka akan mengeluarkan begitu banyak sampah sarap.

Bunyinya seperti menjijikkan dan ya, ia memang menjijikkan :)

Bersin ialah tanda penyakit (tetapi tidak khusus) yang berlaku apabila laluan nasal atau hidung dirangsang oleh cairan atau ejen lain seperti debu.

Tidak ada penyembuh mutlak untuk bersin kerana ia boleh berpunca daripada banyak perkara. Antara penyebab bersin adalah :

  • Jangkitan viral
  • Jangkitan bakteria
  • Jangkitan fungus
  • Alahan
  • Bendasing

Antihistamin dan sapuan hidung yang digunakan kepada manusia kebiasaannya tidak sesuai pada kucing.

Jika anda mempunyai kucing yang bersin, perkara terbaik adalah membawanya ke klinik supaya puncanya dikenalpasti dan rawatan khusus dapat diberikan.

Walaupun memeriksa hingus kucing ialah tugas yang sangat tidak seronok tetapi warna dan kekerapannya dapat memberi gambaran berkenaan penyakitnya.

Secara umumnya, jika hingusnya jernih dan berair maka tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Jika warnanya hijau, kuning atau berdarah maka pemeriksaan kesihatan diperlukan.

Kucing boleh mendapat hidung berdarah dari udara kering atau kegatalan seperti manusia, tetapi hidung berdarah juga adalah salah satu tanda jangkitan serius sedang berlaku, begitu juga dengan ketumbuhan nasal.

Alahan

Walaupun kebanyakan kucing menunjukkan tanda alahan seperti kulit yang gatal-gatal, tapi ada juga yang bersin.

Kucing boleh mendapat alahan terhadap hampir semua benda di dunia, termasuklah debunga, debu malah najisnya sendiri.

Alahan biasanya menghasilkan hingus yang jernih apabila bersin. Alahan boleh dikawal tetapi tidak boleh diubati.

Sangat susah untuk menentukan apakah ejen alahan yang menyebabkan kucing itu bersin. Walaupun hampir mustahil untuk menguji kucing terhadap kesemua kemungkinan ejen alahan, doktor anda boleh mengujinya dengan beberapa penyebab utama.

Jika ejen yang khusus diketahui, anda boleh cuba mengasingkan puncanya daripada persekitaran kucing atau memberikan kucing anda suntikan alahan tersebut.

Kegatalan

Asap, bau daripada produk pencuci atau mungkin juga rambut kita sendiri boleh menyebabkan gangguan pada laluan hidung dan menyebabkan kucing bersin.

Untuk menguji samada benda tertentu menyebabkan gangguan, hanya asingkannya daripada persekitaran dan bersin itu sepatutnya berhenti.

Asap rokok juga boleh menjadi gangguan hebat kepada kucing dan mereka juga terdedah kepada semua risiko penyakit daripada hembusan asap rokok sepertimana manusia.

Ini adalah termasuk bersin, bronkitis dan juga kanser paru-paru.

Bendasing

Kucing sepertimana kanak-kanak, boleh terdedah kepada kemalangan, seperti hidung tersumbat oleh objek-objek tertentu.

Antara benda yang sering tersumbat dalam hidung kucing ialah cebisan rumput. Jika anda mempunyai kucing yang bersin sehingga 7-8 kali berturut-turut, kemungkinan besar hidungnya tersumbat dengan bendasing.

Adalah menjadi tugas yang sukar bagi doktor untuk mencari bendasing di dalam hidung kucing kecuali ianya dibiuskan.

Kebanyakan kucing sangat 'tidak bersetuju' dengan idea memasukkan skop di dalam hidung mereka atau mengangakan mulut sementara doktor memasukkan prob ke belakang mulutnya.

Doktor, "Apa kata saya masukkan skop ini ke dalam hidung kamu".

Kucing, "Saya tidak setuju." *sambil menggigit tangan doktor*

Maka mereka perlu dibius.

Bagaimana meredakan kucing yang bersin

Kita boleh menambahkan keselesaan kucing dengan cara lapkan hidungnya dan sentiasa membersihkannya dari hingus yang meleleh.

Jika kucing anda kelihatan lemas, anda boleh cuba letakkan beberapa baldi air panas dalam bilik air dan tempatkan kucing anda dalam bilik air itu (bukan dalam baldi air panas pula ya).

Wap air atau stim itu boleh membantu melegakan ruang pernafasannya tapi janganlah sampai terbakar kulit.

Menjaga Kucing Yang Sudah Tua

8 ulasan
Kucing sedang berehat

Apabila kucing meningkat usianya, beberapa bahagian dalam tubuh akan mula merosot dan mungkin akan menyukarkan kucing kita untuk mengekalkan aktiviti hariannya.

Jika kita mempunyai kucing yang sudah tua, kita hendaklah menjadikan aktiviti harian sahabat lama kita semudah yang mungkin.

Tenaga semakin merosot

Adalah menjadi kebiasaan jika penglihatan dan pendengaran kucing merosot seiring dengan usianya, walaupun amat jarang sekali kucing menjadi buta sepenuhnya disebabkan oleh usia.

Jika penglihatannya merosot, kebanyakan binatang masih boleh melihat dengan baik pada waktu siang berbanding malam.

Kucing tua akan lebih selesa jika mangkuk makanan dan bekas pasirnya diletakkan dalam ruang kawasan yang sama di mana mudah untuk dicari.

Tapi ini tidaklah bermakna kita perlu meletakkannya sebelah menyebelah pula.

Dalam kebanyakan situasi, adalah lebih baik jika kita memelihara kucing sebagai peliharaan dalam-rumah, dan ia adalah satu keutamaan jika kucing kita sudah tua, apatah lagi jika pendengarannya sudah merosot atau pekak.

Berbeza dengan penglihatan, kucing boleh menjadi pekak sepenuhnya disebabkan oleh penuaan.

Kita tidak boleh membiarkannya berada di luar rumah bersendirian atau tanpa pemantauan kerana kucing tidak lagi mendengar bunyi yang menjadikannya waspada, seperti bunyi kereta yang menghampirinya.

Keperluan air minuman

Disebabkan penyakit buah pinggang sering terjadi pada kucing tua, mengekalkan sumber air yang baik adalah sangat mustahak untuk menjaga keselesaannya.

Anda boleh mempelajari bagaimana untuk memberikan suntikan bendalir di bawah kulitnya di klinik-klinik haiwan.

Ini dapat mengekalkan dan membantu meningkatkan tahap keairan kucing anda. Suntikan ini hanya diberikan di bawah kulitnya sahaja dan bukannya menerusi salur darah, jadi ianya tidaklah begitu sukar.

Lagipun adalah sangat susah untuk memaksa kucing untuk minum walaupun semasa ia masih berupaya, apatah lagi jika kucing kita sedang lemah dan kehilangan air dengan banyak.

Mempelajari bagaimana memberikan suntikan ini akan memanfaatkan anda di masa akan datang.

Beritahu sahaja kepada doktor anda mahu belajar buat subcutaneous fluid injections, atau bahasa mudahnya suntik air.

Klinik yang baik akan berbincang prosedurnya dengan anda. Pemilik kucing yang baik juga sudah tentu tidak kisah jika dikenakan sedikit bayaran jika diminta, asalkan berpatutan.

Makanan kucing berumur

Kucing tua tidak lagi membina otot dan kurang aktif berbanding waktu mudanya, maka mereka memerlukan makanan yang kurang protein dan kurang kalori.

Lagipun dengan peningkatan usia akan mengurangkan kemampuan sistem penghadamannya.

Kebanyakan syarikat makanan akan meletakkan diet itu dengan label Senior atau Geriatric dan keduanya dirumus untuk memenuhi keperluan kucing tua.

Tapi perlu diingat, tidak bermakna anda perlu automatik tukar makanannya hanya disebabkan ia meningkat tua, apatah lagi jika kucing yang tua tetapi masih aktif dan sihat.

Cara yang terbaik adalah berbincanglah dahulu dengan doktor anda sebelum menukarkan diet.

Penyakit gigi dan gusi sering berlaku pada kucing tua dan mempengaruhi berapa banyak ia akan makan. Kesihatan gigi boleh diperiksa pada setiap kali lawatan klinik dan dietnya juga boleh diubah bergantung kepada keadaannya.

Makanan yang lebih lembut yang hanya memerlukan sedikit kunyahan (atau tak perlu kunyah langsung) akan membantu kucing tua.

Jika kucing tiada selera makan, kita boleh berikan makanan yang padat dengan khasiat, diberikan dalam kuantiti kecil. Amat penting untuk kucing tua ini makan atau sekurang-kurangnya mengekalkan berat badannya.

Artritis

Kesakitan bengkak sendi ini tidak dapat dielak kerana setiap sendi pasti akan mengalami kehausan apabila umur semakin meningkat.

Penyakit ini akan menyebabkan kesakitan dan mengekang pergerakan kucing. Jika kucing tidak dapat bergerak dengan baik, dia mungkin tidak dapat melakukan keperluan hariannya dengan normal seperti membuang najis atau membersihkan diri.

Kucing bengkak sendi yang menghabiskan masanya di luar rumah akan berada dalam bahaya kerana tidak boleh melompat dan berlari seperti biasa, terutamanya ketika keadaan bahaya.

Sendi yang sakit juga menyebabkan kucing susah untuk melompat turun, walaupun ia kelihatan tidak setinggi mana.

Lokasi dan rekabentuk bekas pasir mungkin perlu ditukar untuk kucing artritis.

Kita perlu memastikan kucing boleh keluar dan masuk dengan mudah dari bekas pasirnya. Pertimbangkan bekas pasir yang tidak berbumbung dan berdinding rendah jika kucing anda susah menggunakan bekas yang sedia ada.

Begitu juga dengan lokasi mangkuk makanan dan airnya. Jika kucing tidak boleh menggerakkan kepala dan lehernya dengan baik, kita perlu menaikkan kedudukan mangkuk itu dengan mengalasnya dengan buku, kayu atau apa sahaja.

Ini dapat menambahkan keselesaan kucing kita untuk makan dan minum.

Ruang rehat

Kucing tua akan kehilangan lemak pada badan dan otot sebagai penebat haba. Mereka tidak lagi mampu menahan kesejukan dan boleh menyebabkan kesakitan apabila bahagian tulang bergeser pada permukaan keras seperti lantai (tubuh saya sendiri pun dah mula rasa macam tu).

Pastikan kucing anda mempunyai alas yang lembut dan tebal seperti tuala untuk membantu keselesaannya. Kurangkan penggunaan pendingin hawa pada ruang tempat tidurnya.

Parasit dan serangga pengacau

Tahukah anda bahawa serangga suka mengambil kesempatan pada binatang lemah? Contoh mudah ialah lalat, atau nyamuk lebih gemar menyerang dan mengganggu binatang yang lemah.

Kucing tua tidak dapat bergerak ke tempat lain atau menggaru dengan mudah jika terdapat gangguan seperti ini.

Serangga biasanya mahu mendapatkan makanan semudah yang mungkin dan jika binatang itu tidak menghalaunya, lebih mudah bagi mereka untuk terus menginap dan makan di situ.

Sentiasa periksa kucing berkenaan kehadiran kutu dan hapuskannya. Tapi pastikan produk itu sesuai untuk kucing yang sudah tua.

Jika kucing itu dibiarkan keluar, periksa tempat dia tidur atau rehat dan pastikan semut tidak mengganggunya.

Pastikan juga lalat tidak mengganggunya, kerana lalat akan melepaskan telurnya pada binatang yang tidak bergerak dan telur itu akan menetaskan ulat dalam tempoh 12 jam sahaja.

Sudah tentu kita tidak mahu membersihkan telinga, ketiak atau punggung kucing daripada ulat-ulat itu kan?

Ringkasan

Kesimpulan daripada rencana ini ialah, penjagaan kucing tua akan lebih mudah dan manfaat yang besar bagi anda dan kucing anda jika ianya dipelihara sebagai peliharaan dalam-rumah.

Kebanyakan daripada kita memelihara kucing sebagai peliharaan luar-rumah sahaja, tidak mengapalah tetapi apabila tiba umurnya, kucing itu perlu dipelihara sebagai dalam-rumah juga.

Ini juga adalah faktor yang perlu difikirkan jika anda bercita-cita mahu memelihara kucing.