Menetapkan Peraturan Di Dalam Rumah?

15 ulasan
Kucing bermesyuarat di meja

Bayangkan begini, kita mahu kucing kita bebas bermain di mana sahaja di dalam rumah tetapi bukan di belakang atau di atas TV.

Kita mahu dia makan di dalam mangkuk yang disediakan dan tidak mahunya melompat di atas meja makan. Atau kita mahu kucing bebas bermanja dan bergurau kecuali ketika kita sedang bekerja di hadapan komputer.

Perkara sebeginilah yang dikatakan undang-undang atau peraturan rumah.

Pendapat yang meluas mengatakan kucing kurang mampu mempelajari peraturan rumah. Kepercayaan ini adalah disebabkan kecenderungan kucing yang mahu sesuatu perkara itu mengikut kehendaknya sendiri.

Perkara ini adalah benar, tetapi tidaklah benar sepenuhnya.

Kucing ialah binatang yang bijak dan boleh diajar beberapa peraturan dan mungkin juga kemahiran tertentu, jika mereka diajar dengan sabar, tekal dan bertimbangrasa.

Dulu boleh, sekarang tak boleh, yang mana satu?

Adalah amat penting jika kita mahu anak kucing mematuhi sesuatu peraturan sehingga ianya dewasa, ia mesti diajar dan dimulakan sejak kecil lagi.

Misalnya kita tidak mahu kucing melompat ke atas meja makan. Ini perlu diajar semasa kucing itu masih kecil.

Cuba elakkan peraturan itu menjadi longgar hanya kerana anak kucing itu kelihatan sangat comel atau kerana kucing itu masih baru di rumah, kemudian menghukumnya pula apabila dia dewasa.

Kucing tidak akan dapat memahami mengapa dia dibenarkan untuk berada di atas meja makan semasa kecil, tetapi dihukum pula di atas perlakuan yang sama ketika dewasa.

'Dilarang masuk, manusia sahaja'

Sesetengah orang berkongsi katil dan tidur bersama kucingnya. Tetapi bukan semua orang begitu, mungkin anda tidak selesa berkongsi katil kerana kucing anda suka menggigit kaki anda, atau anda mempunyai alahan kecil.

Apa sahaja sebabnya, sekadar menutup pintu bilik sahaja mungkin tidak memadai, melainkan kucing itu diajar supaya menjauhi bilik anda dan tidak berteriak apabila pintu ditutup.

Kucing tidak suka pintu yang tertutup. Naluri semulajadinya mendorong mereka untuk menyiasat apa di sebalik pintu tersebut, walaupun mereka sudahpun mengetahuinya sebelum ini.

Tetapi sepertimana peraturan-peraturan lain, mengajarnya memerlukan kesabaran, tekal dan bertimbangrasa.

Kucing yang sentiasa dibenarkan berada di dalam bilik tidur dan tiba-tiba ditegah akan berkemungkinan besar tidak akan menerima perubahan ini dengan serta-merta (dan mungkin juga memberontak).

Dia mahu bersama anda dan tidak memahami mengapa tiba-tiba tidak dibenarkan berbuat demikian.

Dia mungkin menjerit dan berteriak di luar pintu, mencakarnya atau cuba menyelitkan kakinya di bawah celah pintu seolah-olah dia dapat mengangkat pintu itu ke atas supaya dapat melaluinya.

Kita boleh meletakkannya di bilik lain tetapi jeritannya mungkin tidak membenarkan anda untuk tidur dengan nyenyak.

Ini adalah contoh mengapa kita perlu tetapkan dahulu peraturan yang perlu dipatuhi oleh kucing sebelum kita memeliharanya.

Yang ini tak boleh, tapi gunalah yang itu

Suka diingatkan, setiap peraturan perlu diiringi dengan pilihan lain, terutamanya yang melibatkan perlakuan semulajadinya.

Misalnya, jika tidak mahu kucing mencakar kerusi dan perabot maka sediakan tiang atau pad cakar yang mencukupi. Jika tidak mahu dia mengganggu kerja anda maka sediakan waktu bermain yang mencukupi.

Jika tidak mahu kucing melompat ke atas perabot kesayangan maka sediakan pokok memanjat untuknya, dan sebagainya.

Jangan jadikan rumah sebagai penjara

Pun begitu, peraturan rumah yang terlalu keras amatlah tidak menyeronokkan dan membuatkan suasana rumah menjadi suram.

Memelihara kucing sepatutnya membuatkan kita dan kucing berasa gembira dan bukannya di bawah tekanan itu tidak boleh dan ini juga tidak boleh.

Secara peribadi, kawasan larangan saya hanyalah tandas dan bengkel belakang rumah kerana di situ saya menyimpan baja, racun anai-anai dan jentera tangan yang berbahaya untuk kucing.

Selain dari kawasan itu mereka bebas mundar-mandir dan bermain sesuka hati.

Seandainya anda tidak dapat menerima keadaan ini anda perlu mempertimbangkan semula keputusan sebelum anda memelihara kucing dan memilih peliharaan lain, misalnya ikan dan sebagainya yang tidak terlalu liar.

Kenapa Kucing Mencakar

6 ulasan
Kaki kucing

Anda baru sahaja membeli sehelai baju Melayu, kononnya untuk dipakai semasa hari raya (ok, mungkin terlalu awal, tapi ini hanya contoh sahaja).

Anda menyangkutkan baju itu pada penyangkut baju di dinding dan menuju ke ruang tamu. Kucing anda memasuki bilik anda dan mencium bau baju tersebut.

Bau yang dikesannya adalah asing baginya. Dia gelisah dengan objek baru yang mencerobohi kawasannya. Naluri semulajadi memberitahunya supaya menanda baju tersebut sebagai sebahagian daripada kawasan jajahannya.

Maka kuku dikeluarkan dan dihalakan ke baju yang tersangkut, kemudian ditarik sehingga mengoyakkan sedikit baju tersebut.

Rasa puas menyelubungi celahan kuku kakinya, ototnya meregang dan keyakinan dirinya kembali pulih.

Kemudian dia melihat anda memandangnya dengan mata yang marah berserta dengan jeritan-jeritan yang tidak difahaminya.

Dalam fikirannya mungkin dia berkata, "Tuan aku ni sihat ke tak?"

Alam kita berbeza

Bertentangan dengan anggapan orang ramai, kucing tidak mencakar sofa, karpet, kerusi, perabot, langsir atau apa sahaja disebabkan dia nakal atau jahat, atau membalas dendam, atau sengaja mahu sakitkan hati kita.

Kucing hanyalah berkelakuan seperti kucing, yang bertindak dengan cara yang difikirkan wajar mengikut persepsi alamnya sendiri.

Sama seperti manusia yang akan bertindakbalas terhadap sesuatu, mengikut takrif wajar dalam alam kita sendiri.

Ada 5 sebab utama mengapa kucing mencakar, atau kadangkala perlu mencakar.

1. Menjaga dan mengasah kuku

Ini adalah sebab yang utama, kerana kelakuan mencakar ini sebenarnya membuang lapisan luar kukunya.

Ianya sama seperti ular atau labah-labah yang bersalin kulit. Ini akan menajamkan kukunya, apabila kulit kuku lama dibuang dan diganti dengan kulit yang baru dan tajam.

Keupayaan pertahanan diri bertambah dengan adanya kuku yang tajam dan memberikan kucing kelebihan untuk melarikan diri daripada pemangsa.

Jika kita memelihara kucing dalam-rumah, mungkin pemangsa yang terbesar hanyalah bunyi mesin basuh atau penyedut hampagas.

Tetapi susuk fizikal ini tetap sama bagi kucing dalam-rumah atau luar-rumah.

2. Tandaan wilayah

Mencakar adalah salah satu bentuk tandaan kawasan, sama seperti semburan. Tapak kaki kucing mengandungi kelenjar peluh yang akan mengeluarkan peluh dan meruap ke udara untuk mengawal suhu badan kucing.

Tetapi bukan itu sahaja, pada bahagian tapak kaki itu juga mengandungi kelenjar bau.

Apabila kucing mencakar, dia akan meninggalkan kesan fizikal cakaran yang boleh dilihat oleh kucing lain, dan juga tandaan bau daripada tapak kakinya sebagai pesanan jelas kepada kucing lain bahawa ini adalah kawasannya.

Kadangkala kita akan melihat kucing akan menyentuh kita dengan tapak kakinya beberapa kali, sebagai pesanan memberitahu bahawa anda adalah miliknya.

3. Regangan Otot

Kucing mencakar untuk meregangkan ototnya di bahagian tapak kaki, kaki dan belakang badan. Sama seperti manusia yang meregangkan badan selepas kita bangun tidur atau duduk terlalu lama.

Kucing menggunakan kukunya sebagai cangkuk bahagian hadapan badan supaya mereka mendapat keregangan untuk keseluruhan badan yang lain.

Ini adalah baik untuk kesihatan kucing itu sendiri.

4. Meramas atau 'Kneading'

Peramasan sebenarnya bukanlah perlakuan mencakar, tetapi lebih kepada perlakuan meramas atau menguli menggunakan kaki hadapan.

Semasa kucing masih kecil dan menyusu daripada ibunya, dia akan menggunakan kaki dan kuku yang kecil itu untuk menguli puting susu ibunya.

Kukunya semasa kecil bertindak seperti jarum halus yang akan merangsang aliran susu untuk keluar.

Apabila dewasa, sesetengah kucing masih terbawa-bawa dengan kelakuan ini apabila mereka berasa tenteram atau bermanja mungkin kerana kenangan semasa dia masih kecil.

Cumanya apabila sudah dewasa, kukunya bukan lagi kecil dan halus, ia lebih kepada mata jarum yang kasar dan tajam :)

Ada juga pemilik kucing yang tidak suka dengan perlakuan ini, bagi saya ini bukanlah satu masalah. Kucing itu hanya menunjukkan reaksi yang dia selesa bersama tuannya.

Apa yang diperlukan adalah memotong sedikit kukunya, dan tidak perlulah sampai ke tahap melakukan ubahan perilaku.

5. Menggaru

Kucing juga menggunakan kukunya untuk menggaru. Tidak ada penyelesaian yang lebih enak dan memuaskan selain menggaru apabila badannya berasa gatal.

Namun begitu, biasanya kucing hanya menggunakan kaki belakang untuk menggaru dan kaki hadapan hanya untuk membersihkan diri (dan kadangkala melibatkan penggunaan kuku).