Berhati-hati Membawa Kucing Pulang ke Kampung

7 ulasan
Kucing di dalam kereta

Anda mahu pulang ke kampung, atau bercuti, adakah perlu membawa kucing bersama atau tidak? Ianya bergantung kepada kewangan dan keadaan juga.

Jika anda mampu, adalah lebih mudah jika anda mendapatkan khidmat asrama yang banyak terdapat di klinik dan sesetengah kedai haiwan peliharaan.

Namun pastikan dahulu keadaan sangkar dan persekitaran udara di situ. Jika sangkarnya kecil, tanyakan mereka samada kucing itu akan dilepaskan atau tidak untuk meregangkan otot. Begitu juga dengan makanan dan bekas pasir.

Jika anda mahu membawanya juga ke kampung, adalah penting untuk menempatkannya di dalam bekas pengusung. Bukan sahaja ke kampung, malah ke mana sahaja yang anda bawa kucing itu di dalam kereta.

Walaupun kucing itu mungkin berteriak (seperti menangis atau merayu) dan mencakar-cakar pengusung itu, ia adalah untuk kebaikan dirinya dan juga untuk anda.

Mungkin anda berasa anda mampu mengawalnya ketika mendukung kucing, tetapi jika kucing itu tiba-tiba terkejut dan mencakar serta membenamkan kukunya akan menyebabkan anda melepaskan dukungan terhadapnya.

Tetapi bahaya yang lebih mudarat adalah apabila anda memandu kereta dan kucing itu tidak diletak dalam pengusung. Jika anda menekan brek secara tiba-tiba, kucing anda akan melayang, tersangkut di bawah kaki anda atau tercedera.

Kucing anda juga mungkin akan berjalan di hadapan anda dan bergesel di muka anda, atau duduk di bawah pedal brek semasa memandu. Dan ini semua, akan membahayakan nyawa anda sendiri.

Pedoman Asas Bagaimana Menjaga Kucing

5 ulasan
Kucing bermanja-manja

Kucing secara asasnya amat mudah untuk dipelihara asalkan sahaja beberapa perkara tunjang diberi perhatian. Walaupun mudah, tetapi adakalanya, terutama bagi mereka yang tidak pernah memelihara kucing, mengalami kesulitan untuk menjaga kucing.

Jika anda baru pertama kali memelihara kucing, atau baru membuat keputusan mengenainya, maka catatan ini sesuai untuk anda kerana saya akan cuba memberi ringkasan bagaimana hendak memelihara kucing dan menjaganya.

Luangkanlah juga masa untuk melayari blog ini kerana telah banyak rencana ditulis di sini memandangkan catatan ini hanyalah pedoman ringkas sahaja.

Makanan, air & perlindungan

Apabila anda telah membawa kucing pulang bersama anda di rumah, adalah penting untuk kita memastikan keperluan asasnya dijaga.

Dalam hidupan liar, kucing menyesuaikan diri terhadap persekitaran dengan cara memburu untuk mendapatkan makanan, mendapatkan keselamatan dengan memanjat pokok serta melindungi diri.

Apabila berada di rumah, kucing memerlukan bantuan kita untuk hidup harmoni dalam persekitaran ini.

Jika anda telah menyediakan asas makanan, minuman yang baik dan tempat berlindung, maka anda telah melakukan permulaan yang baik.

Memantau bagaimana kucing menggunakan kemudahan ini akan memberi gambaran berkenaan keadaan kesihatan kucing itu.

Kucing merupakan haiwan yang mempunyai rutin, maka sebarang perubahan terhadap tabiat mereka perlulah di periksa agar tiada masalah kesihatan.

Waktu bersendirian atau 'Jauhkan diri kamu dariku'

Privasi atau waktu bersendirian adalah amat penting bagi kucing. Walaupun kucing itu sangat sosial dan peramah dengan manusia, mereka masih memerlukan waktu bersendirian.

Biasanya privasi ini diperlukan ketika mereka menghias diri dan membuang najis. Sesetengah kucing mahukan privasi ketika makan, tetapi ada juga yang lebih berselera makan jika ditemani tuannya.

Kucing yang suka mengasingkan diri, atau takut berada di kalangan manusia, perlulah diberi ruang untuk bersendirian dalam sehari.

Memang benar kita boleh melatihnya untuk menjadi lebih sosial tetapi kebanyakan kucing sebenarnya sangat berwaspada dan berhati-hati secara semulajadi, dan tidak ada latihan yang boleh membuang tabiat itu sepenuhnya.

Ada pemilik pernah memberitahu saya yang mereka fikir kucing mereka mungkin pernah didera sebelum dipelihara oleh mereka.

Tapi dalam banyak keadaan, sebenarnya kucing sememangnya telah dilahirkan dengan sikap yang sebegitu. Kucing yang kelihatan takut, terlalu berhati-hati, lama kelamaan akan belajar untuk mempercayai anda dan jangan terkejut jika kucing itu akan menjadi teman yang sangat akrab, walaupun mereka mungkin tidak akan bermanja dengan orang lain sepertimana anda.

Kucing yang diperkenalkan kepada kucing baru yang lain, atau anjing, atau kanak-kanak di dalam rumah, perlu diberi masa untuk bersendirian.

Perlu masa menyesuaikan diri

Adalah tidak adil jika anda mahukan kucing itu rasa gembira dan menerima kehadiran orang baru dalam rumah dalam masa singkat. Ini bukanlah naluri kucing kerana kucing benci kepada perubahan.

Mereka lebih gemar sesuatu perkara itu kekal asal sepertimana mereka yang mengubahnya (dan bukan orang lain, termasuk anda!).

Kucing memerlukan seminggu hingga sebulan untuk menerima perubahan persekitaran, atau sekurang-kurangnya untuk dia tidak berasa begitu takut.

Apabila kucing itu baru dibawa ke rumah yang mempunyai kanak-kanak, semua orang berasa begitu teruja dan mahu menyentuh dan membelainya.

Menjadi tumpuan perhatian bukanlah sesuatu yang digemari oleh kucing. Ibubapa perlu mengawal pengendalian kucing itu dan pastikan ia diberi peluang untuk berehat dan bersendirian.

Memasuki rumah baru memberi tekanan kepada kucing, dan tidak mendapat ruang untuk rehat dan menyendiri akan menambahkan lagi beban tekanan itu.

Kucing yang tertekan akan mendapat impak negatif terhadap sistem imunisasinya, seperti pernah saya jelaskan catatan dahulu, binatang tidak seperti manusia yang dapat meredakan tekanan dengan cara bermain gitar, bercuti dan sebagainya.

Maka adalah penting untuknya diberi rehat, sediakan ruang untuknya bersembunyi dan tetapkan peraturan di rumah bahawa setiap kali kucing itu berada dalam tempat persembunyian, maka tiada siapa dibenarkan menyentuhnya.

Jika anda tidak dapat memberi ruang itu kepadanya, anda perlu menyediakan bekas pengusung dan biarkan kucing itu berada di situ beberapa lama. Pengusung seperti itu boleh memberinya rasa selamat dan bersendirian.

Menguji Pewatakan Kucing

4 ulasan
Kucing mengangkat sebelah kaki

Mata yang cerah bersinar, bulu yang lembut berkilat dan sikap waspada adalah antara tanda menunjukkan kucing anda sihat.

Kucing yang sihat juga mempunyai selera makan yang baik, sentiasa membersihkan diri dan interaksi baik dengan pemiliknya.

Salah satu faktor dalam aspek kesihatan, yang sering dilupakan ialah perwatakan. Kita boleh menjangka sesuatu terhadap perwatakan kucing walaupun ketika dia masih kecil.

Jika anda baru membuat keputusan untuk memelihara kucing, anda boleh menguji bagaimana personaliti kucing itu.

Ujian dakapan

Pegang kucing dan letakkan dalam dakapan anda dan lihat samada kucing itu berada dalam keadaan tenang atau tertekan.

Dukungnya seperti bayi pula, dengan bahagian perut menghala ke atas, dan lihat sekali lagi bagaimana reaksinya. Perlu diingatkan, ini ialah kedudukan pasrah dan kebanyakan kucing akan memberontak, jadi anda perlu berhati-hati jika mendukungnya seperti ini.

Jika anda mencari kucing yang manja, dan kucing yang anda uji ini tidak membenarkan anda memegangnya lebih daripada satu saat, mungkin anda patut mengubah pilihan kucing lain atau merancang untuk melatihnya dan mendapat kepercayaan daripada kucing tersebut. Atau mungkin melatihnya agar dia menjadi lebih tenang.

Pada umur 2 hingga 7 minggu ialah waktu genting yang menentukan sejauh mana tahap sosial kucing tersebut. Kucing yang dikendalikan oleh ramai orang dan berinteraksi dengan kucing lain atau binatang lain lebih cenderung untuk menyesuaikan diri dengan lebih baik ketika dewasa.

Tanyakan pemiliknya dahulu pengalaman kucing itu semasa muda sebelum anda mengambil kucing itu untuk dipelihara.

Ujian kepercayaan

Ujian seterusnya adalah dengan memegang telinganya, buka mulutnya dengan lembut dan sentuh kakinya. Sekali lagi, lihat samada kucing itu bersedia membenarkan anda memegangnya.

Jika ya, secara umumnya kucing itu mempercayai anda. Jika anda meletaknya ke bawah dan beredar darinya, adakah kucing itu menunjukkan rasa minat terhadap anda? Adakah dia mengekori anda?

Walaupun tiada bukti saintifik, saya seakan percaya juga bahawa ada ikatan misteri antara sesetengah kucing dengan sesetengah orang.

Ujian tindakbalas

Adakah kucing itu waspada, bertindakbalas dan suka bermain? Anda boleh mengujinya dengan melemparkan mainan yang mudah, seperti gumpalan kertas seakan bola.

Kesemua ujian mudah ini akan memberikan anda sedikit gambaran tentang bagaimana personaliti seseekor kucing. Walaupun dengan anak kucing yang sihat, kos jagaan kesihatannya adalah tinggi sedikit berbanding kucing dewasa kerana mereka lebih terdedah kepada penyakit.

Mereka juga memerlukan rutin kesihatan yang lebih banyak pada umur muda, termasuklah vaksinasi, ujian viral dan pengembirian.

Pun begitu, jika anda berhajat untuk mengangkat kucing dari pusat perlindungan saya fikir janganlah terlalu cerewet. Melainkan jika anda membeli baka murni kerana anda membayarnya dengan harga yang mahal.

Perkembangan Hidup Anak Kucing Dari Peringkat Matang Hingga Dewasa

6 ulasan
Kucing berumur satu tahun

Setelah anak kucing selesai menjalani tempoh comelnya maka ia akan mula menjadi dewasa dan memasuki tempoh yang saya namakan sebagai tempoh ketidaktentuan hidup.

Ini kerana kucing yang comel itu akan mula menampilkan ciri-ciri liarnya dan akan mula menimbulkan masalah kepada jiran-jiran terutamanya jika tidak dimandulkan.

Menyedihkan juga, kerana pada waktu inilah ramai peminat kucing baru sedar bahawa mereka sebenarnya tidak mampu memelihara terlalu banyak anak kucing lalu membuangnya setelah habis comelnya.

Kucing akan melalui kematangan fizikalnya terlebih dahulu sebelum matang dari segi seksual dan berupaya untuk menghasilkan zuriat.

Kucing betina akan mengalami musim galak beberapa kali setahun. Doktor haiwan dan persatuan yang menjaga hal-ehwal kucing mengesyorkan supaya kucing dikembirikan sebelum kucing mencapai umur matang.

Ini adalah kerana beberapa faktor yang perlu di ambil kira:

  • Kucing yang dimandulkan menjadi lebih tenang, tidak agresif dan suka bermanja.
  • Kucing yang dimandulkan akan sentiasa berada hampir dengan rumah tuannya & tidak suka merayau jauh.
  • Kucing yang dimandulkan sangat jarang bergaduh & tidak terlalu keras mempertahankan kawasannya.
  • Kitar hormon seks pada kucing betina membuatkannya tertekan dan mendorong masalah kesihatan.
  • Kucing jantan tidak akan pancut merata-rata.
  • Bau kucing jantan tidak lagi begitu mencengkam dan tengik.
  • Kelakuan kucing yang dimandulkan akan mengurangkan masalah kejiranan dan balas-membalas dendam.
  • Kucing betina yang sedang galak akan melolong dengan kuat walaupun pada malam buta dan mengganggu jiran-jiran.

Kucing Jantan Yang Baligh

Anak kucing jantan akan mula menghasilkan hormon testosteron pada kadar rendah ketika berumur 2 minggu. Sperma dihasilkan pada umur 5 bulan, tetapi biasanya hubungan seks akan berlaku antara umur 9 hingga 12 bulan.

Antara perilaku yang menunjukkan mereka telah matang adalah menggigit belakang leher kucing lain, menggerak-gerakkan pinggang dan menindih kucing lain.

Kebanyakan kucing mempunyai 2 buah zakar berada dalam kantung kerandut ketika dilahirkan. Jika buah ini tidak sampai kepada kerandutnya menjelang umur 8 bulan, kebarangkaliannya ia tidak akan ada sampai bila-bila.

Jika buah ini dikekang, maka ia perlu dibuang ketika proses pengembirian untuk mengelak berlakunya ketumbuhan.

Kucing Betina Yang Baligh

Kucing tidak mengeluarkan darah atau haid ketika berada dalam kitar galak atau estrous tetapi sebaliknya akan menunjukkan tanda-tanda melalui beberapa perilaku.

Kitar estrous ini terdiri dari 4 peringkat iaitu anestrus, proestrus, estrus dan metestrus.

Estrus adalah peringkat di mana kucing betina akan membenarkan proses mengawan dan kucing jantan menaikinya.

Proestrus adalah tempoh singkat 1-3 hari sebelum estrus.

Tanda perilaku amat jelas pada tempoh ini, di antaranya:

  • Aktiviti hariannya semakin menonjol
  • Berguling, bergolek dan bergesel pada objek dan manusia
  • Memancut atau menyembur kencing seperti kucing jantan
  • Membaringkan badannya rapat pada tanah, seperti mempelawa kucing jantan
  • Mengiau, menjerit dengan suara tinggi
  • Tidak membenarkan kucing jantan menaikinya

Tempoh proestrus ini adalah di mana kucing betina memberitahu kucing jantan bahawa dia sedang mencari pasangan dan bersedia.

6 hingga 12 bulan

Kucing akan menjadi dewasa semasa tempoh ini. Permainan sosial berkurang dan kadar metabolisme akan menurun bagi kucing yang dikembirikan.

Pada masa ini kucing perlu mengambil kurang kalori untuk mengelakkan kegemukan, dan ini dapat dicapai dengan menukarkan dietnya kepada makanan penyelenggaraan kucing dewasa. Diet ini mempunyai kurang kalori dan lebih serat berbanding kucing muda.

Sistem imunisasi menjadi matang dan kucing akan mempunyai keupayaan semulajadi untuk melawan jangkitan. Proses ini berterusan sepanjang alam dewasa tetapi akan berkurang apabila tiba umur tua.

Perwatakan kucing akan menjadi lengkap, berdasarkan faktor genetik dan pengalamannya sewaktu muda. Perilaku akan menjadi rutin.

Kucing yang berada dalam sekumpulan kucing dalam rumah yang sama akan mempunyai tatatingkat atau pangkat sosial dalam rumah tersebut.

Perkembangan Hidup Anak Kucing dari 4 Hingga 28 Minggu

20 ulasan
Anak kucing berumur satu bulan

Terdahulu kita sudah melihat apakah keadaan dan perubahan yang dilalui oleh anak kucing bermula daripada kelahiran sehinggalah berumur satu bulan. Jika anda belum membacanya, apa kata anda melihat dahulu catatan tersebut.

Kini kita lihat pula apakah perubahan dalam kehidupan anak kucing sejak umur 4 hingga 28 minggu. Ini ialah peringkat yang penting demi pembentukan keperibadiannya.

Kebanyakan peminat kucing, seandainya mereka memelihara anak kucing, akan mula mengalami gejala keanak-anakan iaitu bercakap pelat-pelat bayi apabila membelai kucing mereka :)

4 Hingga 6 Minggu

Kebanyakan anak kucing sudah mula memakan makanan pejal pada umur 4 minggu dan boleh berhenti menyusu pada umur 6 minggu.

Adalah perkara biasa jika anak kucing memakan kotoran atau najis mereka sendiri semasa dalam tempoh susuan, tetapi mereka akan mulai belajar dengan cepat bahawa najis sendiri adalah tidak begitu enak.

Anak kucing akan mempunyai kesemua gigi mereka pada umur 6 minggu. Anak kucing yang didedahkan kepada luar rumah dan diawasi oleh ibu kucing akan mula mempelajari perkara-perkara asas dalam memburu (jika ibunya juga mempunyai tabiat memburu).

Mungkin tempoh inilah yang sangat mustahak dalam pembentukan perilaku sosial mereka. Kucing yang tidak didedahkan kepada manusia dan binatang lain (termasuk kucing lain) pada masa ini akan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri mereka pada masa akan datang.

Perilaku bermain secara koordinasi akan mula kelihatan pada tempoh ini. Matanya akan berubah daripada warna biru kepada warna kekal, badan mereka mula berupaya menghasil dan mengawal suhu badan.

Mereka juga sudah boleh mengawal pembuangan tahi dan kencing. Perlindungan daripada penyakit masih dipengaruhi daripada ketahanan turun-temurun, iaitu antibodi yang diperoleh daripada ibunya.

6 Hingga 8 Minggu

Anak kucing berumur dua bulan

Ini ialah waktu paling awal jika anak kucing itu mahu dipisahkan daripada ibu atau adik-beradiknya untuk diperkenalkan kepada rumah lain. Namun, adalah baik jika kita menunggu sehingga sekurang-kurangnya berumur 8 minggu.

Anak kucing pada waktu ini sudah boleh menguruskan keperluan asasnya sendiri. Di dalam rumah yang baru, anak kucing mungkin akan ketakutan dan kesepian pada peringkat awal, tetapi biasanya dia akan dapat menyesuaikan dirinya.

Imuniti yang mereka peroleh sudah mula berkurang, dan anak kucing ini perlu memulakan vaksinasi untuk merangsang perlindungan terhadap penyakit-penyakit tertentu.

Pendedahan semulajadi terhadap virus dan bakteria akan menyebabkan penyakit, tetapi ia juga akan merangsang badannya untuk menghasilkan antibodi dan meningkatkan ketahanannya pada masa hadapan.

Pada peringkat ini, anak kucing memerlukan tambahan protein, vitamin dan mineral yang diperlukan untuknya terus membesar dan berkembang. Zat-zat ini diperoleh daripada makanan yang dirumus khas untuk anak kucing samada kering atau basah.

8 Hingga 16 Minggu

Anak kucing berumur enam bulan

Semasa tempoh ini, anak kucing mula menyesuaikan diri, berdikari dan menjadi lebih gagah serta curiga. Mereka akan membesar dengan cepat dan biasanya berat badan akan bertambah 1/2 kg sebulan.

Mereka mula melompat, memanjat dan mencakar. Pemilik kucing akan membawa pengaruh besar terhadap perilaku kucing dengan melatih mereka dalam tempoh ini.

Vaksinasi dan pendedahan semulajadi masih lagi menyumbang kepada sistem imunisasi anak kucing. Jika tidak divaksinkan, anak kucing terdedah kepada penyakit seperti herpes, yang juga boleh merebak kerana terdedah kepada kucing lain yang mempunyai penyakit ini.

Keperluan untuk memberi makanan khas masih perlu diteruskan pada tempoh ini, dan mereka juga mula makan lebih banyak.

16 Hingga 28 Minggu

Dari tempoh 4 hingga 7 bulan, anak kucing akan kehilangan gigi susunya dan akan mendapat gigi kekal. Perlakuan menggigit dan mengunyah akan meningkat.

Dalam tempoh ini, adalah perkara biasa jika anak kucing mula mengunyah apa sahaja di hadapannya, termasuk kaki dan tangan anda. Mereka juga boleh terus memakan kedua-dua makanan basah dan kering.

Lapisan bulunya mula menyeluruh dan anak kucing menunjukkan kecenderungan untuk menghias diri dan mencakar.

Kebanyakan kucing tidak akan mencapai tahap matang seksual sehinggalah berumur 6 bulan, tetapi mereka sudahpun matang dari segi fizikal sebelum daripada itu.

Anak kucing yang dibiarkan merayau ke luar rumah juga akan merayau dengan lebih jauh dan lebih lama.

Perkembangan Hidup Anak Kucing Hingga 1 Bulan

112 ulasan
Anak kucing berumur satu minggu

Anak kucing membesar dengan cepat dan tanpa kita sedari, mereka sudah pun menjadi dewasa. Kematangan yang berlaku pada umur 6 bulan pertama adalah hampir sama sepertimana 15 tahun pertama dalam hidup manusia.

Dari awal kelahiran sehinggalah 6 bulan, anak kucing akan berubah dari kepada kucing yang matang dari segi seksual.

Anak kucing kelihatan berada dalam 2 keadaan iaitu bertenaga sepenuhnya dan tidur sepenuhnya. Mereka seperti mempunyai tenaga yang tidak kehabisan, kemudiannya tiba-tiba mereka terus tidur dengan nyenyak.

Memulakan pengalaman anda dengan anak kucing adalah amat menyeronokkan tetapi jika ini adalah kali pertama anda memelihara kucing, anda mungkin tertanya-tanya apakah bentuk perilaku normal bagi kucing.

Mengetahui apakah jangkaan yang akan berlaku adalah sangat berguna supaya anda boleh melatihnya dengan baik dan berupaya mencegah sebarang perilaku yang tidak diingini. Latihan perilaku juga menjadi lebih mudah jika dimulakan ketika kucing masih muda.

Untuk catatan ini, kita lihat dahulu bagaimana keadaannya sehingga umur 1 bulan. Dalam masa yang sama, saya pasti jika anda mengalami sendiri dan melihat kucing anda menjadi dewasa, ia adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan.

Bermula kelahiran hingga 1 bulan

Dalam tempoh ini, anak kucing akan berubah menjadi kucing yang berdikari dan tidak lagi bergantung kepada ibunya untuk makanan, suasana yang hangat dan pembuangan najis.

Anak kucing yang baru lahir tidak dapat melihat dan mendengar, tetapi boleh menghidu dan mempunyai deria sentuhan pada bahagian muka yang membolehkan mereka mendekati ibunya untuk mendapat haba.

Jika anda mendapati ada anak kucing baru lahir dan ditinggalkan, anda perlulah melakukan tugas-tugas yang dilaksanakan oleh ibu kucing.

Antara tugas yang dilakukan adalah menyusukannya dengan susu khas untuk kucing dan kemudiannya membantu mereka membuang najis. Anak kucing tidak mampu membuang sendiri sehinggalah berumur 4 minggu.

Pastikan anda menggunakan susu rumusan khas yang boleh didapati di klinik. Walaupun mereka menyukai rasa susu lembu, kucing tidak dapat menghadam laktosa di dalamnya. Ini akan menyebabkan sembelit dan bahaya bagi anak kucing.

Mulut adalah organ yang sangat penting bagi anak kucing. Mereka akan mula menggunakan mulut dalam masa kurang 1 jam selepas lahir, iaitu ketika menyusu. Dalam tempoh beberapa minggu terawal, mereka perlu di susui setiap 2-3 jam sekali.

Telinga kucing akan mula terbuka pada umur 5 hari. Mereka mula menunjukkan reaksi pada bunyi pada umur 10 hari, namun mereka masih belum dapat mengenalpasti bunyi tersebut sehinggalah berumur 3 minggu.

Mata akan terbuka antara hari ke-5 dan 14 selepas dilahirkan. Tetapi mereka masih belum boleh melihat dengan baik sehinggalah matanya telah terbuka selama beberapa hari.

Anak kucing yang baru lahir boleh merasai menggunakan kedua-dua kaki depan dan belakang. Mereka boleh berjalan dengan langkah yang tidak begitu koordinasi selama 2 minggu dan boleh menempatkan kaki depan mereka secara visual. Oh ya, mereka juga sudah mula memanjat pada umur 3 minggu.

Imuniti diturunkan kepada anak kucing ketika mereka menerima susu ibu yang pertama, dalam tempoh 24 jam pertama hidup mereka.

Imuniti ini akan mencegah mereka daripada penyakit dalam tempoh sebulan yang pertama dan terus menyusu secara normal dan dipelihara dengan baik, hangat dan bersih oleh ibu mereka.

Bagaimana Merawat Kucing Yang Cirit-Birit

35 ulasan
Kucing dirawat di klinik

Setelah punca masalah cirit-birit dikenalpasti, rawatan susulan boleh di lakukan. Langkah pertama adalah mengasingkan punca masalah itu sendiri. Misalnya jika susu lembu menjadi punca, maka buangkannya dari diet.

Rawatan cirit akibat susu

Produk berasaskan tenusu boleh dihindarkan daripada diet tanpa menyebabkan kekurangan nutrien kerana ia bukannya sebahagian dari diet yang sihat untuk kucing.

Jika terlebih makan adalah puncanya (dikenalpasti dari beberapa ketul najis besar,cair, tidak berbentuk) maka pemakanannya perlu dikawal. Berikannya 3 kali hidangan kecil berbanding sekali hidangan besar sehari.

Bawakan air dari rumah atau air botol jika anda membawanya ke kampung kerana air di tempat berbeza juga boleh menyebabkan cirit-birit (bagi manusia, air semuanya sama tapi kucing mempunyai deria rasa yang berbeza).

Rawatan cirit akibat keracunan

Jika bahan toksik hadir dalam badan, bahannya perlu dikenalpasti kerana antidot yang spesifik boleh diperoleh. Atau bawa sahaja kucing anda ke klinik untuk pemeriksaan.

Rawatan cirit akibat alahan

Cirit yang disebabkan oleh alahan makanan boleh dirawat dengan memperkenalkannya diet khas (perlu dirujuk kepada vet) selama lebih kurang 8 minggu.

Jika ciritnya hilang, kucing itu boleh dibiarkan dalam program diet ini, atau lain-lain makanan boleh diperkenalkan secara sedikit demi sedikit sehingga bahan alahan itu dikenalpasti (apabila simptom cirit itu berulang semula). Bahan makanan yang telah dikenalpasti itu kemudiannya perlu dibuang daripada diet.

Alahan yang menyebabkan muntah atau cirit-birit ini biasanya tindakbalas terhadap unsur protein dalam makanan, pengawet, perasa, pewarna atau apa sahaja yang terkandung dalam makanan itu.

Selain itu, jenama seperti Eukanuba, dan Royal Cannin terutamanya, mengandungi diet khas untuk masalah alahan makanan.

Anda boleh melihat labelnya tertulis Hypoallergenic, Neutral Formula, Limited Ingredients atau Ultra Allergen. Makanan ini adalah khas untuk kucing yang mengalami masalah alahan.

Rawatan umum cirit akibat radang usus besar

Cirit yang singkat tanpa kehilangan bendalir yang banyak boleh dirawat di rumah. Jangan beri sebarang makanan selama 24 jam, berikan jumlah air yang sedikit untuk kucing menjilat.

Serat larut yang terkandung dalam labu boleh membantu melambatkan pergerakan usus. Setelah kucing dipuasakan, berikan ½ atau sesudu labu penyek digaulkan bersama dada ayam yang direbus kosong.

Berikan kepadanya 4 - 8 jam sekali dan perhatikan keadaan tahinya. Jika keadaan masih tidak berubah, bersegeralah ke klinik.

Apabila kucing kelihatan semakin sembuh, perkenalkan makanan pejal semula secara berperingkat (3-4 kali hidangan kecil sehari). Mulakan dengan diet yang tinggi protein daripada haiwan dan bukannya tumbuhan.

Elakkan makanan tinggi karbohidrat dan makanan kering kerana karbohidrat yang berlebihan boleh menyebabkan cirit berulang. Secara berperingkat juga, kucing anda boleh kembali kepada diet biasanya.

Jika kucing anda diketahui mengalami radang usus besar maka saya syorkan agar anda menimbangkan seberat-beratnya untuk menukar dietnya kepada makanan basah sahaja, tidak kiralah premium atau komersil.

Makanan basah komersil, jika dibandingkan gram dengan gram, kebanyakannya mengandungi kadar protein tinggi dan karbohidrat rendah, lebih baik berbanding makanan kering premium, secara umumnya.

Tapi pilih-pilihlah juga, jangan diambil pula makanan basah yang banyak perasa tiruan.

Ada sesetengah pemilik kucing menggunakan bahan yang dipanggil Loperamide atau Imodium untuk melambatkan aktiviti dalam usus kucing. Rujuk kepada doktor anda terlebih dahulu untuk perkara ini.

Akhir kata

Kucing yang mengalami cirit-birit berlanjutan lebih dari 24 jam perlu di bawa ke klinik tanpa lengah. Bawakan sekali sampel najis kucing anda supaya ianya boleh diperiksa kehadiran parasit atau bakteria.

Kucing akan kehilangan bendalir badan dengan cepat dalam situasi cirit-birit, dan boleh membawa kepada kejutan serta pengsan.

Punca cirit yang kronik boleh menjadi sukar untuk ditentukan dan memerlukan analisis makmal serta kawalselia oleh doktor profesional.

Mengenali Tanda dan Punca Cirit-Birit Kucing

72 ulasan
Keradangan pada dubur kucing akibat cirit-birit

Cirit-birit ialah tahi yang tidak pejal dan lembap berair. Dalam kebanyakan kes, najisnya kelihatan banyak dan terdapat peningkatan pada aktiviti pergerakan usus perut.

Dalam bahasa mudahnya, anda akan melihat kucing anda membuang najis beberapa kali, dan kadangkala tidak tertahan dan melepaskannya di lantai, karpet atau riba anda.

Tahi kucing yang normal adalah pejal, lembap tetapi tidak berair, berbentuk silinder dan cembung pada hujungnya. Apabila makanan dihadam, usus kucing akan menyerap sekitar 80 peratus lembapan, kerana itu tahinya terbentuk dengan baik.

Apabila kucing mengalami cirit-birit, makanannya tidak dihadam dengan baik dan tiba pada hujung usus (rektum) dalam bentuk cairan. Inilah sebabnya kita melihat najis kucing yang cirit-birit berbentuk cair dan tidak pejal.

** Dikemaskini semula pada Mac 2016 mengikut peredaran masa **

Selain itu, cirit juga mengandungi sisa makanan yang tidak terhadam, misalnya anda memberinya ayam, anda boleh melihat sisa daging ayam pada najisnya dan kadangkala mengandungi lendir (mukus) pekat seperti hingus atau juga mengandungi darah.

Apa yang kita perlu faham ialah cirit-birit bukanlah penyakit, tetapi ia adalah tanda terhadap penyakit tertentu. Mengenali tanda dan puncanya amat berguna, sebelum kita melakukan rawatan untuk cirit-birit kucing.

1. Terlebih Makan

Biasanya inilah yang berlaku, samada anak kucing atau kucing dewasa.

2. Makanan tidak sesuai

Kadangkala makanan yang biasa bagi kucing lain tapi tidak sesuai pula untuk kucing kita. Contohnya ada kucing yang tidak boleh menerima makanan berasaskan makanan laut (ikan, sotong, udang). Kadangkala penukaran diet secara mendadak juga boleh menyebabkan cirit.

3. Susu Lembu dan produk sampingan susu

Kucing sukakan rasa susu lembu tetapi mereka kekurangan enzim laktase untuk menghadam laktosa yang terkandung di dalam susu lembu atau mana-mana produk berasaskan susu.

4. Keracunan

Puncanya daripada makanan tercemar. Makanan dalam tin atau kering juga boleh tercemar samada dari proses pembuatannya atau kita sendiri yang mendedahkannya kepada bahan pencemar.

Kucing dewasa jarang keracunan makanan kerana mereka lebih sensitif (tetapi tidak bagi anak kucing) namun toksik boleh masuk dalam badan ketika mereka menjilat bulu dan kaki mereka yang terkena toksik (seperti minyak, pencuci pinggan, sabun dsb). Toksik juga boleh menyebabkan muntah-muntah.

Ini biasa terjadi apabila anda membeli makanan kering pek besar, misalnya 10 kg, tetapi tidak menyimpannya dengan baik. Begitu jua dengan makanan basah bertin yang tidak ditutup rapat dan didedahkan pada suhu bilik.

5. Cacing

Samada anak kucing atau kucing dewasa, mereka boleh dijangkiti oleh cacing parasit. Kemungkinan ini lebih besar bagi anak kucing dan kucing yang di biarkan merayau di luar rumah.

Kehadiran lendir atau darah pada najis juga menunjukkan tanda-tanda masalah cacing. Kucing yang ada masalah cacing akan tidak berselera makan, cepat letih, badan menyusut, cirit-birit dan kadangkala muntah-muntah.

Setiap jenis cacing ada rawatan pencegahnya sendiri, dan untuk merawatnya perlulah di bawah kawal selia doktor.

Jadual di bawah boleh membantu anda untuk mengenalpasti gejala atau tanda-tanda cirit-birit dan kemungkinannya. Kita boleh melihatnya dari segi warna, rupa, bau, kekerapan dan keadaan kucing itu sendiri.

Perlu diingat, ini hanyalah kemungkinan sahaja, untuk diagnos lebih tepat anda perlulah membawanya ke klinik.

PS: Opppsss...saya tak tahu macam mana nak buat jadual kat blog ni. Kemaskini semula yer :p

PPS: Baiklah, jadual tersebut boleh di muat turun di sini .

PPPS: Akhirnya selepas 5 tahun saya sudah boleh membina jadual :)

Lihat juga carta markah najis kucing untuk melihat gambar lebih jelas.

Ciri-ciri Gejala Kemungkinan Lokasi
Warna Kuning atau kehijauan Alihan cepat Usus kecil
Hitam berturap Pendarahan gastrousus atas Perut, usus kecil
Darah merah atau beku Pendarahan gastrousus bawah Kolon/usus besar
Pucat atau cerah Kekurangan hempedu Hati
Kelabu, besar, tengik Pencernaan atau penyerapan tak sempurna Usus kecil, pankreas
Ketekalan Berair Alihan cepat Usus kecil
Berbuih Jangkitan bakteria Usus kecil
Berminyak, disusuli bulu berminyak sekitar dubur Malserapan Usus kecil, pankreas
Lembut, besar Terlebih makan, makanan mutu rendah, banyak serat Usus kecil
Berkilau atau beragar-agar Ada lendiran Kolon
Bau Bermakanan, atau bau susu masam Alihan cepat, pencernaan atau penyerapan tak sempurna, terlebih makan terutamanya anak kucing Usus kecil
Tengik atau busuk Pencernaan tak sempurna dan penapaian Usus kecil, pankreas
Busuk reput atau bau sampah Jangkitan usus, pendarahan Usus kecil
Kekerapan Beberapa tinja kecil sejam dan menekan Radang usus besar (kolitis) Usus besar
Tiga atau empat tinja besar sehari Malserapan, penyakit radang usus Usus kecil, pakreas
Seminggu atau lebih Penyakit lama dan berlarutan seperti kolitis, penyakit radang usus, serangan parasit atau sindrom malserapan Sepanjang salur usus
Keadaan kucing Berat badan berkurang Pencernaan atau penyerapan tak sempurna Usus kecil, pankreas
Tiada kehilangan berat badan, selera biasa Gangguan usus besar Kolon
Muntah Enteritis (radang usus) Usus kecil, kolon