Tanda-tanda Kucing Betina Mengandung & Penjagaannya

7 ulasan
Kucing betina mengandung

Apabila kucing betina berada dalam kitar heat dan berpeluang untuk mengawan, kebarangkalian besar adalah dia akan mengandung.

Purata tempoh bunting kucing adalah sekitar 63-65 hari. Beberapa perubahan fizikal akan kelihatan pada kucing betina jika dia mengandung.

Kucing jantan tidak mengambil peranan dalam penjagaan anak kucing dan adakalanya sesetengah kucing jantan akan bertindak agresif terhadap anak kucing. Sebaliknya pula, kucing betina akan menjadi sangat defensif dan melindungi anak-anaknya, termasuk daripada anda sendiri.

Jika anda sedang menjaga kucing betina yang melahirkan anak, anda perlu lebih berhati-hati dalam mengendalikan anak-anaknya kerana ibu kucing mungkin akan menjauhi anak kucing jika bau anda kuat melekat pada badan anaknya.

Sesetengah ibu kucing juga akan menjadi agresif terhadap anda jika anda cuba mendekati anaknya semasa kehadiran ibunya.

Tanda-tanda Kucing Bunting/Mengandung

Pemilik kucing yang tidak berpengalaman mungkin terlepas pandang tanda kucing betina berada dalam keadaan galak. Sesetengah kucing memperlihatkan tanda-tanda yang jelas berada dalam galak berbanding kucing lain.

Jika anda mempunyai kucing yang sedang galak dan kemudian berhenti dan tiba-tiba kitar itu tidak kelihatan, maka kucing betina anda kemungkinan besar sudah mengandung.

Kebiasaannya, kucing betina tidak memerlukan sebarang penjagaan khusus ketika tempoh bunting. Mereka kelihatan boleh menjaga diri masing-masing.

Selain daripada memberikan makanan yang mereka mahukan dan melindungi mereka dari penyakit dan parasit, selebihnya boleh diserahkan kepada mereka sahaja untuk menjaga dirinya.

Bercakap tentang makanan, cubalah berikan yang terbaik untuk mereka. Jika anda pemelihara yang gemar memberikan nasi, cubalah kurangkan separuh nasi itu dan ditambahkan dengan makanan basah.

Berikan makanan yang tinggi protein haiwan dan kurang karbohidrat. Zat yang tinggi diperlukan oleh ibu kucing demi melahirkan anak-anak kucing yang sihat.

Disebabkan tempoh mengandung hanyalah sekitar 9 minggu, maka segalanya akan berlaku dalam keadaan singkat. Antara tanda-tanda yang kelihatan adalah:

  • Peningkatan selera makan
  • Puting susu menonjol dan kemerahan (sekitar 2 minggu selepas mengawan)
  • Bahagian perut semakin membulat

Jika anda khuatir, anda boleh bawakannya ke klinik untuk pengesahan lanjut. Jika klinik mempunyai x-ray, anda boleh mengimbasnya pada hari ke 50-54 untuk melihat jumlah anak kucing di dalamnya. Purata kelahiran adalah antara 3-5 ekor anak kucing tetapi bergantung kepada keadaan jugalah.

Kelakuan Kucing Ketika Mengawan

21 ulasan
Kucing bermain-main di atas katil

Kucing jantan berkemampuan untuk terus aktif secara seksual apabila mereka mencapai umur matang. Kucing betina pula hanya aktif secara seksual hanya apabila mereka melalui tempoh heat atau estrous.

Jika kucing betina tidak berada dalam tempoh galak, dia tidak akan berdiam diri jika kucing jantan menaikinya. Jika kucing betina dalam keadaan galak, dia akan membenarkan perlakuan mengawan, dan apabila selesai dia akan menggigit dan menyerang kucing jantan supaya membiarkannya bersendirian.

Persenyawaan akan berlaku selepas proses mengawan di dalam rahim kucing betina. Kelakuan mengawan akan merangsangnya untuk melepaskan telur dan ovulasi boleh berlaku lebih dari satu telur.

Disebabkan itulah kita biasa melihat kucing betina akan mengawan dengan beberapa ekor kucing jantan yang lain. Ini membolehkan beberapa kucing jantan menjadi bapa kepada lain-lain anak kucing dalam satu kelahiran.

Kucing betina mungkin akan membenarkan sehingga 4 atau lebih proses mengawan samada dengan kucing jantan yang sama atau kucing yang lain sepanjang tempoh galak ini.

Kucing jantan biasanya akan bersedia sepanjang masa untuk mengawan tetapi ini bergantung kepada kucing betina tersebut.

Kucing sedang mengawan

Kucing jantan mungkin akan cuba menaiki kucing betina ketika ia bukan dalam keadaan heat tetapi mereka akan diserang oleh kucing betina tersebut.

Kadangkala juga kucing jantan akan cuba menaiki kucing jantan lain sebagai perilaku dominasi kawasan.

Kebiasaannya kucing jantan yang sihat akan subur spermanya. Masalah kesuburan yang biasa berlaku pada kucing jantan adalah:

  • Kekurangan rasa syahwat.
  • Bilangan sperma yang kurang.
  • Bulu atau rerambut tersangkut pada bahagian zakar (ini betul, jangan ketawa tau!)
  • Kriptorkidisme iaitu ketiadaan satu atau kedua-dua buah zakar.
  • Kurang koordinasi (kedudukan tak betul semasa mengawan).

Jika anda cuba untuk mengahwinkan kucing, biasanya kita akan letakkan kucing jantan itu dengan kucing betina yang berpengalaman ketika percubaan yang pertama.

Ini kerana jika kedua-dua kucing itu adalah teruna-dara, masing-masing tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan. Ini akan menyebabkan kucing jantan berasa kecewa dan hilang minat jika dia tidak berjaya melakukannya.

Kebanyakan pembiak baka profesional akan memelihara seekor atau dua ekor kucing jantan utuh (tidak dikembiri) untuk 4 ekor atau lebih kucing betina dalam peliharaan mereka.

Memelihara kucing jantan utuh boleh menjadi pengalaman yang 'berbau' kerana kelakuan memancut mereka dan badannya yang sedikit hamis.

Disebabkan seekor kucing jantan boleh mengawan dengan beberapa kucing betina maka hanya sedikit sahaja kucing jantan diperlukan dalam satu program pembakaan yang baik.

Keseluruhan proses mengawan ini boleh berlangsung beberapa minit dan berulang beberapa kali sehari. Kucing tidak begitu peduli siapa pasangannya dan selepas mengawan, masing-masing tidak akan peduli akan pasangannya.

Jika anda pernah melihat proses mengawan ini, anda akan perasan bahawa ianya adalah aktiviti yang agak kasar. Kucing jantan akan menaiki kucing betina dan menggigit bahagian belakang lehernya.

Selepas mengawan, kucing betina akan menjerit, memusingkan badan dan menggigit kucing jantan sehingga dia melepaskannya.

Melainkan anda seorang pembiak baka murni, anda hendaklah mempertimbangkan agar dijalankan pengembirian ke atas kucing anda.

Sudah terlalu banyak kucing-kucing dibuang setelah tuannya jemu atau tidak mampu memelihara kucing yang beranak-pinak atau dimarahi jirannya kerana kucing yang terlalu banyak.

Tempoh Mengawan Kucing Betina

62 ulasan
Kucing betina sedang galak

Kebanyakan kucing betina akan mencapai tahap matang atau galak pada umur 6 bulan dan berulang setiap 2 minggu sekali sehinggalah mereka bunting.

Kitar ini bermula dengan proestrus yang berlangsung antara 2-3 hari. Pada peringkat ini, kucing akan betina akan menunjukkan bahawa mereka sedia mengawan tetapi masih tidak membenarkan kucing jantan mendekatinya.

Tidak duduk diam, suara yang meninggi, geselan muka dan berguling-guling adalah antara tanda kecil peningkatan seksual kucing betina.

Setelah itu kucing betina akan mengalami tempoh estrus. Perlakuan sepertimana tempoh proestrus akan lebih menonjol dan pada peringkat ini kucing betina akan membenarkan kucing jantan mendekatinya.

Jika tiada kucing jantan dan tiada sesi mengawan, estrus akan berlangsung sehingga 10-14 hari. Kemudiannya kucing betina akan berehat selama 2-3 minggu, sebelum kitar ini bermula sekali lagi.

Tempoh estrus yang berulang ini boleh memberikan tekanan kepada pemilik kucing kerana tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan untuk menghentikan atau menenangkan kelakuan kucing betina pada ketika ini.

Ia juga turut memberikan tekanan kepada kucing itu sendiri kerana mereka tidak dapat mengawal keinginan untuk mencari pasangan pada tempoh ini.

Kadangkala selera makan akan berkurang dan tidurnya terganggu ketika tempoh estrus. Semasa kucing betina dalam estrus, mereka tidak mengeluarkan darah sepertimana anjing tetapi akan mengalami perubahan terhadap tingkahlaku mereka.

Perubahan yang biasa berlaku adalah:

  • Suara semakin meninggi
  • Berguling-guling dan berteriak
  • Meniarap di atas perutnya sambil bahagian belakang diangkat tinggi
  • Kelakuan lebih mesra dan manja berbanding biasa
  • Sentiasa mencari jalan untuk keluar rumah
  • Kencing di luar kotak najis, biasanya pada permukaan menegak

Tempoh metestrus akan berlaku sehari selepas estrus. Pada tempoh ini, kucing betina akan menjauhi kucing jantan dan menghalaunya secara agresif. Kucing akan mengandung jika persenyawaan berlaku semasa proses mengawan.

Tempoh anestrus adalah tempoh terakhir dalam kitar estrous ini dan merupakan tempoh yang diam atau bertenang.