Menambah Kucing Baru Sebagai Teman Untuk Kucing Sediada

15 ulasan
Kucing hendak berkawan

Kucing adalah haiwan yang mempunyai tabiat dan rutin. Secara amnya, mereka selesa dengan persekitaran itu kekal seperti sediakala dan tidak sukakan perubahan.

Situasi ini amat jelas jika anda mempunyai seekor kucing dan cuba untuk memperkenalkan kucing baru ke dalam rumah anda atau anda memelihara binatang lain dan cuba memelihara kucing pertama kalinya. Dalam hal ini, anda tidak mempunyai pilihan kecuali bersabar.

Begitu sukar untuk mencari kucing yang cocok untuk anda namun adalah susah untuk mencari teman bagi kucing sedia ada. Jika anda mendapatkan kucing baru dan kucing anda tidak dapat menyesuaikan diri dengan kucing asal, anda masih bertanggungjawab terhadap kucing baru itu.

Berlainan atau sama jantina?

Adakah anda perlu memilih kucing berlainan jantina sebagai teman kepada kucing anda? Tidak ada sebarang kajian yang menunjukkan kucing mempunyai kecenderungan sosial untuk hidup dengan mana-mana jantina kucing. Jadi tidak ada masalah untuk anda memelihara kucing berlainan jantina atau sama.

Yang menjadi masalah adalah apabila kedua-dua kucing tidak dimandulkan. Kucing jantan yang tidak dikasi akan melakukan semburan untuk meletakkan sempadan wilayah agar tidak dicerobohi kucing baru.

Kedua-dua kucing jantan dan betina yang tidak dikembiri mungkin akan membuang najis di luar bekas pasir sebagai tandaan kawasan atau menunjukkan rasa tidak puas hati dalam hal tertentu. Hal ini sering berlaku jika anda mempunyai lebih daripada dua ekor kucing yang berkongsi dalam satu rumah.

Kucing anak, dewasa atau tua?

Kadangkala lebih mudah untuk membawa anak kucing baru ke dalam rumah yang mempunyai kucing dewasa. Dalam situasi ini, sempadan dan kekuasaan telah pun terbentuk oleh kucing dewasa dan mereka tidak akan berasa terancam berbanding terpaksa bersaing dengan kucing dewasa yang lain.

Kucing dewasa mungkin tidak suka jika anak kucing melompat ke atasnya atau mengganggu ekornya dan kebiasaannya mereka akan menjarakkan diri mereka antara satu sama lain.

Anda mungkin terpaksa memisahkan anak kucing itu ke bilik lain untuk memberi rehat kepada kucing dewasa.

17 Salah Tanggapan Terhadap Kucing

17 ulasan
Kucing di luar rumah

Memang seronok memelihara kucing apatah lagi dengan telatah dan ciri kemanjaan yang ada padanya.

Tapi adakalanya kelakuan yang kita amalkan itu mencanggahi sifat semulajadinya. Terdapat juga sangkaan yang kita rasakan benar namun sebenarnya kurang tepat.

Justeru mari kita lihat apakah salah tanggapan yang paling banyak dibuat terhadap kucing kesayangan.

1. Jika kucing membuang najis selain dari tempatnya, sapukan hidungnya pada najis itu.

Bukan sahaja ia adalah perbuatan yang kejam, malah ia tidak memberi apa-apa pengajaran kepada kucing itu selain daripada memberi tekanan kepadanya.

Kucing yang ketakutan dan mengalami tekanan akan mengubah perilakunya lebih buruk daripada sediada.

Memberi hukuman sebegini kepada kucing akan menyebabkan kucing mengaitkan hukuman dengan bekas pasir itu dan akan terus menjauhinya.

Untuk melihat bagaimana kaedah yang sepatutnya dilakukan, sila lihat catatan sebelum ini berkenaan dengan kucing dan bekas pasir.

2. Jika anda tidak mahukan kucing anda, tidak mengapa melepaskannya di mana sahaja

Masih menjadi amalan yang memalukan apabila mereka tidak lagi mahu membela kucing, mereka membuangnya sahaja sekadar 'di situ ada tempat makanan'.

Golongan seperti ini akan berkata kepada diri sendiri bahawa kucing binatang yang berdikari dan mampu menjaga diri mereka sendiri, untuk memberi pewajaran terhadap tindakan mereka atau supaya mereka tidak rasa bersalah dengan tindakan itu.

Bukan soal berdikari atau tidak yang menjadi isu di sini. Isunya adalah kucing peliharaan yang mendapati diri mereka ditinggalkan akan cenderung untuk mati samada disebabkan kelaparan, kecederaan kerana pergaduhan dengan kucing lain, penyakit atau dilanggar kenderaan.

Isu yang lebih besar pula ialah kenapa kamu buang masalah kamu, di hadapan pintu orang lain?

Jika anda tidak lagi mahu membela kucing, anda mesti melakukan perkara yang betul iaitu, mencarikannya keluarga baru atau membawanya ke pusat perlindungan.

3. Kucing boleh minum susu lembu.

Walaupun banyak kucing yang sukakannya, ia amat tidak digalakkan terutamanya kepada anak kucing dan kucing yang tua.

Kucing tidak dapat menghadam laktosa yang terkandung dalam susu lembu dan ini akan menyebabkan perutnya meragam dan cirit-birit. Keadaan ini amat berbahaya kepada anak kucing kerana risiko nyahair yang cepat.

Kucing dewasa tidak memerlukan susu walaupun setitik. Jika anda masih mahu memberinya, anda perlu memberikan susu istimewa yang telah dirumus khas untuk kucing meminumnya.

4. Semua kucing jantan suka kencing.

Kencing yang dimaksudkan adalah penyemburan, iaitu satu bentuk perilaku menanda sempadan kawasan. Tidak semua kucing jantan akan menyembur.

Kucing jantan yang tidak dikembiri berkemungkinan akan melakukan semburan berbanding kucing jantan yang telah dikembiri.

Ini juga satu sebab yang bagus mengapa anda perlu membawa kucing anda ke klinik untuk pengembirian. Kucing betina yang tidak dimandulkan juga akan melakukan penyemburan tetapi tidaklah begitu kerap sepertimana kucing jantan.

5. Kucing boleh makan ikan.

Tidak mengapa jika ianya adalah sekali-sekala tetapi tidak wajar dijadikan diet harian.

Memberinya terlalu banyak ikan boleh membawa kepada penyakit lemak kuning atau Steatis yang berpunca daripada kekurangan Vitamin E.

Kucing memerlukan taurina dalam dietnya dan ikan tidak ada sumber taurina yang mencukupi.

Selain itu, kebanyakan ikan mempunyai enzim tiaminase yang akan membinasakan vitamin B1, tiamina di dalam tubuh kucing.

Beri sekali-sekala tapi bukan hari-hari. Ini merujuk kepada ikan mentah, bukan makanan kucing yang diproses.

6. Kucing saya akan jadi malas jika dikembirikan.

Pemandulan akan mengelakkan populasi kucing menjadi tidak terkawal. Jika anda pergi ke pusat perlindungan, anda dapat melihat apa nasib yang berlaku ke atas kucing-kucing yang ketiadaan keluarga angkat. Kaedah ini juga sebenarnya memberi kesan yang baik kepada kesihatan kucing itu sendiri.

Jika kucing anda mengalami berat badan berlebihan, anda perlu berjumpa dengan doktor dan berbincang dengannya satu pelan diet.

Berhati-hati meletakkan kucing anda dalam program diet tanpa kawal selia dari doktor kerana ini boleh membawa kepada situasi yang mengancam nyawa yang dipanggil lipodesis hepar.

7. Kucing betina saya seharusnya mempunyai seekor anak sebelum dilakukan spay.

Tidak, adalah lebih baik melakukan pemandulan sebelum umur 6 bulan untuk mengelakkannya mengandung. Risiko mendapat kanser payudara juga meningkat jika kucing tersebut telahpun mengandung pertama kalinya.

6. Kucing perlu berumur 6 bulan sebelum dimandulkan

Dengan adanya teknologi bius yang moden, kucing boleh dijalankan operasi sebegini seawal 8 minggu.

8. Kucing luar-rumah tidak boleh diubah menjadi dalam-rumah.

Boleh, dan ianya tidaklah terlalu susah. Ianya mudah jika anda memastikan kucing anda mendapat rangsangan mental yang mencukupi.

Adalah lebih baik jika anda mempunyai taman halaman rumah atau kebun kecil yang tertutup untuk kucing anda menghirup udara luar di samping mengelakkan kebosanan.

Kucing yang tua juga lebih selamat untuk berada di dalam rumah berbanding di biarkan di luar.

9. Kucing sentiasa mendarat dengan kakinya.

Ianya bergantung kepada ketinggian. Jika terlalu rendah,kucing tidak akan sempat membetulkan badannya dan kucing juga boleh mengalami kecederaan serius atau terbunuh jika ianya terlalu tinggi.

Keadaan ini yang dipanggil sindrom bangunan tinggi sering berlaku di kawasan pangsa tinggi di mana kucing mengalami kecederaan serius dan terbunuh akibat terjatuh.

10. Kucing amat berdikari dan sesuai untuk seseorang yang sibuk dengan urusannya.

Ini semua bergantung sepenuhnya kepada kucing tersebut. Sebahagian kucing lebih berdikari berbanding yang lain tetapi semua kucing memerlukan teman.

Jika anda mempunyai gaya hidup yang sibuk, anda boleh memelihara dua ekor kucing supaya mereka boleh menemani rakan masing-masing ketika anda tiada di rumah.

11. Nyahkuku tidak menyakitkan kucing.

Nyahkuku bukan sekadar membuang kuku, tetapi sendinya dikudungkan. Prosedur ini adalah sangat-sangat menyakitkan dan tidak semua kucing dapat pulih sepenuhnya dari keadaan ini.

Banyak kucing yang mengalami operasi ini akhirnya dibuang atau diberikan kepada pusat perlindungan disebabkan perubahan perilaku mereka seperti kecenderungan menggigit dan enggan menggunakan bekas pasir mereka.

Kucing tidak ada cara lain untuk bergerak kecuali menggunakan kaki dan setelah mengalami nyahkuku, gerakan kaki yang mudah seperti berjalan akan menjadi sesuatu yang sangat-sangat menyakitkan kepada mereka.

12. Kucing dalam rumah tidak akan mendapat penyakit

Kebanyakan virus/bakteria merebak melalui udara dan boleh dibawa masuk ke dalam rumah melalui udara atau pada pakaian seseorang. Kutu dan lain-lain parasit juga boleh dibawa masuk melalui pakaian.

13. Bolehkah kucing diberi makanan anjing.

Jika anda memelihara anjing dan kucing, mungkin anda dapat menyaksikan bagaimana anjing memakan makanan kucing dan kucing memakan makanan anjing.

Seperti manusia, binatang juga seperti mahu menikmati juga apa yang rakannya perolehi.

Tetapi memberi kucing anda makanan anjing adalah berbahaya. Makanan anjing tidak mempunyai zat taurina dan asid arakidonik yang diperlukan oleh kucing.

Kekurangan taurina akan menyebabkan buta dan kekurangan asid arakidonik menyebabkan kulit menjadi kering dan bersisik. Keperluan protein dan lemak juga berbeza di antara anjing dan kucing.

14. Kucing Siam kejam dan suka membuli

Watak perangai adalah hasil daripada genetik dan pergaulan kucing itu sendiri. Jika kucing dibesarkan dalam suasana kasih sayang, mereka akan membesar menjadi peliharaan yang penyayang dan dapat menyesuaikan diri.

Jika benar kucing Siam adalah kejam, tidak mungkin mereka dapat menjadi antara baka yang paling popular di dunia.

15. Meletakkan loceng pada kolar kucing akan menghentikannya daripada memburu burung dan tikus

Ada yang berjaya, tetapi ada juga yang tidak. Kucing saya terdahulu mempunyai 2 loceng pada kolarnya dan ini langsung tidak menghentikannya daripada memburu.

Ada juga kajian yang mengatakan kucing yang mempunyai loceng memiliki kemahiran memburu yang lebih baik kerana lama-kelamaan mereka belajar untuk bergerak tanpa membunyikan loceng.

Ini menjadikan mereka pemburu yang lebih senyap dan cekap.

16. Kucing berdengkur kerana dia gembira.

Memang benar kucing berdengkur kerana mereka gembira tetapi mereka juga melakukannya ketika dalam kesakitan.

Kucing juga berdengkur ketika sedang melahirkan anak dan kadangkala ketika menghadapi saat kematian. Dengkuran lebih merupakan luahan emosi berbanding luahan gembira.

17. Semua kucing bencikan air

Kebanyakan kucing membenci air tetapi tidak semua. Kucing Turkish Van misalnya dikenali sebagai kucing yang sukakan air dan suka berenang.

Kucing Bengal dan Norwegian Forest Cat juga suka bermain dengan air, walaupun mereka tidak suka berenang di dalamnya.

Bagaimana Mengajar Anak Kucing Menggunakan Bekas Pasir

21 ulasan
Anak kucing berada di dalam bekas pasir

Jika anda merancang untuk memelihara kucing luar rumah, anda masih perlu mempunyai bekas pasir untuk beberapa minggu pertama kerana anak kucing perlu diletakkan di dalam rumah sehinggalah mereka menerima vaksin dan sehingga mereka telah bersedia untuk meneroka dunia luar.

Latihan menggunakan bekas pasir yang baik pada peringkat ini amat penting kerana dapat mengelakkan masalah pada masa hadapan.

Catatan ini memberi tumpuan terhadap latihan kepada anak kucing, anda juga boleh membaca bagaimana mengajar kucing dewasa untuk menggunakan kotak najis pada catatan terdahulu.

Memilih bekas pasir dan isiannya

Pilih bekas pasir yang agak dalam dan isian yang halus tetapi tidak berdebu. Kebanyakan kucing menjauhi bekas pasir kerana ia terlalu cetek atau isiannya kasar. Jangan beli pasir yang mempunyai pewangi kerana kucing sering menjauhinya.

Ada sesetengah orang menggunakan cebisan suratkhabar yang dicarik-carik sebagai isian bekas pasir. Saya berbelah bagi dalam hal ini samada ia satu idea yang baik atau tidak.

Tahi anak kucing biasanya lebih cair terutamanya yang berumur kurang 8 minggu dan suratkhabar bukanlah bahan yang baik untuk menyerap cairan pejal sebegini.

Dakwat yang ada pada akhbar juga bertoksik dan boleh dipindahkan ke tapak kaki anak kucing dan akhirnya dihadam jika dia menjilatnya.

Lagipun, saya tidak fikir mengajar anak kucing menggunakan suratkhabar untuk membuang adalah satu idea yang bagus.

Anak kucing akan mula cenderung untuk menggunakan suratkhabar yang ada pada meja atau sofa dan ini bukanlah perilaku yang kita mahu galakkan.

Jika anda masih mahu menggunakan kertas, gunakanlah kertas kosong tanpa dakwat. Jika anda mempunyai peracik kertas itu lebih baik.

Isian kertas seperti ini tidak perlu dicedok, setiap kali anak kucing membuang di situ anda perlu membuang keseluruhan isian dan meletakkan isian yang baru.

Namun begitu, jika anak kucing berumur lebih daripada 8 minggu, gunakanlah pasir gumpal.

Lokasi

Lokasi adalah perkara kedua yang sangat penting. Kucing perlu berasa selesa setiap kali menggunakannya atau dia akan mula mencari lokasi yang lebih tersorok.

Bekas pasir perlu berada di kawasan yang kurang lalulintas di mana terdapat kurang gangguan dan sama sekali tidak setempat dengan kawasan dia minum atau makan.

Kucing kebiasaannya akan menjauhi bekas pasir yang diletakkan berhampiran dengan kawasan dia makan atau kawasan yang sibuk. Jika anda mempunyai lebih daripada seekor kucing, asingkan bekas pasir untuk setiap kucing di lokasi berbeza.

Anda digalakkan untuk meletakkan juga tikar pengalas yang lebar di bawah bekas pasir ini. Anak kucing suka bermain-main dengan isian yang berada di dalam bekas dan ini dapat mengelakkan lantai anda menjadi kotor.

Pengalas juga dapat membendung sisa-sisa isian atau kesan jejak daripada tapak kaki kucing. Jangan menggunakan pengalas karpet 'rumput' atau apa sahaja pengalas yang mempunyai mata runcing kerana kucing tidak menyukainya.

Melatih Anak Kucing

Jika anak kucing masih bersama ibunya, tugas ini menjadi lebih senang kerana anak kucing akan belajar daripada gerak laku ibunya. Anda hanya perlu menunjukkan di mana kotak itu berada dan tugas anda akan selesai.

Tetapi memang secara amnya, mengajar anak kucing adalah lebih mudah kerana kucing mempunyai naluri semulajadi untuk menjadikan kawasan berpasir sebagai tempat untuk membuang.

Jika anda baru sahaja membawa anak kucing pulang ke rumah, bawakan dia ke bekas pasir sebelum membuat perkara-perkara lain. Ini adalah perkara paling mustahak. Letakkan anak kucing di dalamnya dan biarkan dia menghidu atau menguis-nguisnya.

Bawakan anak kucing itu ke bekas pasir dari masa ke masa terutamanya selepas dia makan, bangun dari tidur atau menunjukkan tanda-tanda dia mahu membuang.

Jika dia tidak tahu menggunakannya, anda mungkin perlu menggerakkan kaki hadapannya seperti menguis-nguis untuk merangsangnya.

Jika anda melihat anak kucing menguis-nguis lantai atau menyorokkan diri, ini adalah tanda-tanda dia mahu membuang. Berikan pujian atau ganjaran jika dia berjaya menggunakan bekas pasir itu.

Jika anak kucing anda membuang di tempat lain, pindahkan najis atau lapkan air kencing dan letakkan kain itu ke dalam bekas pasir.

Bau yang ada pada najis dan air kencing itu akan menggalakkan anak kucing untuk menggunakannya pada masa hadapan.

Jika anda melihat anak kucing anda sedang membuang di tempat lain, angkatkannya dan letakkan dalam bekas pasir (berhati-hati jangan sampai meleret-leret pula najisnya!).

Basuh kawasan 'jenayah' itu sebaik-baiknya dengan pencuci berenzim supaya tidak ada bau najis di kawasan itu. Jika tidak, anak kucing akan menganggap kawasan itu sebagai tandasnya kerana masih ada bau najisnya di situ.

Jangan menghukum kucing seperti meletakkan najis pada hidungnya kerana ini hanya akan memburukkan keadaan dengan menambahkan tekanan dan ketakutan kepada kucing.

Ketakutan dan tekanan adalah antara punca yang membawa lebih banyak perilaku yang anda sendiri tidak akan sanggup menghadapinya.

Keperluan Kucing Untuk Tidur

6 ulasan
Kucing sedang tidur

Secara umumnya kucing akan tidur lebih kurang 16 jam sehari bermakna ia akan menghabiskan ⅔ hayatnya untuk tidur. Gaya hidup kucing yang memburu menyebabkan berlakunya corak seperti ini.

Buruan kegemaran mereka iaitu tikus hanya aktif pada waktu subuh dan senja, menyebabkan waktu di antara subuh dan senja itu dihabiskan untuk berehat.

Walaupun begitu, kucing tidak akan tidur 16 jam secara berturut-turut tetapi akan lelap secara berkala yang dipanggil sebagai tidur ayam.

Meskipun kucing itu lena dalam tidurnya, dia masih waspada terhadap persekitaran. Telinga kucing akan menyentak, bertindakbalas terhadap bunyi dan walaupun dengan ada pergerakan yang sedikit pada sekitarnya, ia akan serta-merta bangun.

Jika gangguan itu tidak memberi ancaman, kucing akan menyambung tidurnya dan terus lena serta-merta.

Kecenderungan kucing untuk aktif pada awal pagi dan senja boleh menyebabkan kesusahan kepada pemiliknya. Terutamanya jika kucing tersebut berjaga sepanjang malam menyelongkar isi rumah atau membuat riuh-rendah pada pukul 5 pagi.

Kaedah yang terbaik adalah dengan meletihkan kucing tersebut dengan bermain dengannya pada waktu siang. Ini akan membantunya untuk tidur sepanjang malam.

Kucing Hutan Norway

1 ulasan
Kucing Hutan Norway

Kucing Hutan Norway atau nama Inggerisnya, Norwegian Forest Cat, NFC, ialah baka yang berasal dari Utara Eropah dan dapat hidup dalam kawasan beriklim sejuk. Di Norway mereka dikenali sebagai Skogkatter atau Norsk Skogkatter yang mana terjemahannya Kucing Hutan Norway.

Baka ini adalah antara yang tertua dan muncul secara semulajadi sebagai satu penyesuaian diri oleh kucing di negara yang beriklim sejuk. Ia hanya dianggap sebagai kucing biasa sehinggalah tahun 1930-an apabila mereka muncul di pameran kucing di Jerman. Mereka juga dikatakan moyang kepada kucing Maine Coon dan Manx.

** Dikemaskini semula pada November 2015 mengikut peredaran masa **

NFC mempunyai dwilapisan yang tebal, telinga berjumbai dan ekor mengerbang yang panjang untuk melindungi diri mereka daripada cuaca sejuk.

Bulu mereka kalis air disebabkan lapisan luar yang kasar dan lapisan dalam yang tebal serta padat. Mereka kucing yang besar di mana kucing jantan mempunyai berat antara 6 – 10 kg manakala kucing betina hampir separuh daripadanya.

NFC ialah kucing yang pintar, suka bermain dan gemar ditemani manusia. Mereka turut dikenali sebagai Wegie, yakni singkatan terhadap nama baka mereka.

Sepertimana Maine Coon, NFC baka yang sangat suka bermain dan sukakan kegiatan luar rumah serta pemburu yang cekap.

Mereka senang menerima manusia dan binatang peliharaan lain, kadangkala juga mereka akan keluar mencari teman lain jika pemilik mereka tiada di rumah untuk menemani mereka.

Mereka tidak mudah tertekan dan agak penyabar, menjadikan mereka sesuai berada di rumah yang mempunyai anak-anak kecil.

Mereka juga begitu gemar memanjat dan menghargai pemilik yang menyediakan pokok pemanjat untuk mereka. Mereka adalah gergasi lembut dengan perilaku yang lembut dan sangat kasih serta setia kepada mereka yang berkongsi kehidupan dengan mereka samada manusia atau binatang.

NFC merupakan kucing berbulu dwilapisan dengan bulu separa panjang dan kalis air untuk membantu menghangatkan badan dalam suasana sejuk di Norway.

Mereka juga mempunyai bulu berjumbai pada jari kaki untuk melindungi kaki daripada kesejukan. Tulang mereka adalah kukuh dengan bahagian kepala berbentuk segitiga. Mata berbentuk badam dan bersudut pada tapak telinga.

Secara keseluruhannya, NFC sememangnya mempunyai penampilan yang kacak dan segak.

Perwatakan NFC adalah antara ciri-ciri yang sangat disukai oleh penggemar kucing. Mereka adalah teman yang ideal untuk manusia, kucing lain mahupun anjing.

Mereka amat suka berkawan, pintar, setia, bertenaga dan akan mengembalikan kasih sayang kepada tuannya berganda-ganda.

Disebabkan fitrah mereka yang tidak gentar pada apa sahaja, adalah disyorkan agar ditempatkan secara dalaman atau di kawasan taman rumah yang selamat.

Mereka gemar memanjat dan memburu. Walaupun susuk tubuh yang besar, mereka mampu menonjolkan pecutan kelajuan yang sangat mengagumkan dan memukau manusia.

NFC adalah kucing yang periang dan suka mengambil tahu, walaupun pada peringkat dewasa, dan sentiasa mahukan teman tetapi ada batasnya. Mereka suka menjadi bos dan akan mendominasi rumah.

Penjagaan Khusus Kucing Parsi

10 ulasan
Kucing Parsi di tepi pintu

Antara baka kucing yang popular di negara kita adalah kucing Parsi . Baka kucing Parsi ini merupakan peliharaan yang sangat istimewa. Bahagian mukanya ke dalam membuatkannya kelihatan sangat comel, dilengkapi dengan bulu panjang yang lembut beralun.

Namun begitu, disebabkan dua perkara inilah kucing Parsi memerlukan penjagaan khas daripada pemiliknya.

** Dikemaskini semula pada Januari 2015 mengikut peredaran masa **

Menjaga bulu kucing Parsi

Kucing Parsi tergolong di dalam kategori bulu panjang, di mana ia mempunyai dwilapisan yang membentuk lapisan bulunya.

Lapisan pertama adalah pendek, tebal dan padat manakala lapisan kedua pula lebih panjang, jarang dan lembut. Jika anda memelihara kucing Parsi, maka anda perlu menyikatnya setiap hari.

Ini kerana bulunya amat mudah berselirat, tergumpal dan memerangkap kotoran. Sepertimana kucing bulu panjang yang lain, kucing Parsi mudah membentuk jalinan yang terjadi akibat gumpalan bulu yang sudah gugur tetapi terperangkap di antara bulu yang sedang tumbuh.

Jalinan ini akan semakin membesar kerana ia menarik bulu-bulu lain dan ini akan menyebabkan kesakitan pada kulit kucing jika ditarik.

Ia biasa terjadi pada kawasan yang sukar dicapai oleh kucing. Percayalah, kucing Parsi anda tidak akan mampu menjaga keseluruhan bulunya dan anda perlu membantu kucing anda dalam hal ini.

Menyikat bulu kucing pada setiap hari dapat mencegah anda daripada masalah yang lebih memakan masa dan menyakitkan pada masa akan datang.

Antara kawasan yang biasa terjadinya gumpalan dan simpulan ialah ketiak, abdomen, belakang telinga, ekor, bahagian bawah ekor dan bahagian belakang kaki belakangnya.

Walaupun ianya nampak remeh tetapi ingatlah bahawa gumpalan bulu ini biasanya terjadi hampir pada permukaan kulit.

Bukan sahaja bulunya yang terperangkap di situ malah segala kekotoran dan kelembapan yang menyebabkan kulit mengalami ruam dan kepedihan. Untuk kes yang serius, anda mungkin perlu membawanya ke klinik untuk dicukur keseluruhan bulunya.

Menyikat juga dapat mengurangkan bebola bulu yang terkumpul di dalam perut. Bebola bulu ini merupakan bulu gugur yang terperangkap di dalam perut kucing semasa ia mengandam atau menjilat bulu-bulunya.

Sikat yang terbaik adalah dari jenis sikat besi dengan giginya yang panjang, sesuai dengan bulu panjang yang dimiliki oleh kucing Parsi. Sesetengah kucing tidak menyukai sesi menyikat ini namun ia masih boleh diajar.

Jika terlalu sukar dan kucing anda sentiasa melarikan diri, berikan makanan gayaan sebagai hadiah setelah selesai sesi menyikat. Sesi menyikat ini lebih mudah diajar pada anak kucing berbanding kucing dewasa.

Jika semuanya berjalan lancar, kucing anda pasti akan mengiau keseronokan dan mula berbaring setiap kali melihat anda mengeluarkan sikatnya.

Memandikan kucing Parsi

Kucing Parsi juga perlu dimandikan tetapi tidak perlulah sehingga tiap-tiap hari. Bergantung kepada keadaan, sekadar 3-4 hari sekali atau seminggu sekali pun sudah cukup.

Ini adalah untuk menjaga kebersihan bulunya agar kekal sihat, bersih dan lembut terutamanya jika kucing anda berbulu putih.

Kebersihan muka dan telinga

Mata dan hidung kucing Parsi cenderung untuk menghasilkan sisa lebih daripada kadar biasa berbanding kucing lain. Ini adalah kerana bentuk fizikal bahagian kepala kucing Parsi itu sendiri. Anda perlu mengawasi dan membersihkannya dengan menggunakan kapas atau kain lembap.

Periksa juga bahagian dalam telinga jika ada lapisan yang berminyak. Lapisan berminyak itu adalah untuk memerangkap kotoran dan jika dibiarkan, kotoran dan habuk itu akan menjadi keras dan merimaskan kucing itu sendiri. Bersihkan telinganya dengan menggunakan putik kapas lembap.

Kucing Parsi sesuai sebagai kucing dalam-rumah

Selain itu, adalah baik untuk anda jadikan kucing Parsi anda sebagai kucing dalam-rumah. Ini disebabkan perwatakan kucing Parsi adalah lembut dan tidak suka bergaduh, dan mungkin akan dibuli oleh kucing-kucing lain di sekitar rumah.

Malah bulunya juga amat mudah kotor dan memerangkap kotoran dan habuk jika anda membiarkannya di luar.

Namun begitu, untuk menjadikan kucing anda sebagai dalaman, anda perlu memastikan kucing Parsi anda mempunyai banyak permainan, masa yang anda luangkan bersamanya, teman kucing yang lain dan tempat untuknya mencakar.

Jika anda dapat menawarkan ini semua maka kucing Parsi anda akan menjadi kucing dalaman yang gembira.

Anda juga mungkin perlu menyediakan tempat untuk berjemur. Kucing Parsi gemar berbaring di bawah sinaran matahari terutamanya pada waktu pagi.

Meletakkan rak atau meja di tepi tingkap tertutup (lutsinar) pun sudah mencukupi untuknya bersantai di bawah cahaya matahari. Gunakanlah kreativiti anda untuk membolehkannya berjemur tanpa melepaskannya keluar dari rumah.

Berikan Kasih Sayang

Bukan sahaja kepada kucing Parsi malah apa sahaja jenis kucing yang anda miliki itu perlulah diberi kasih sayang dan perhatian yang cukup.

Kucing Parsi adalah sangat rapat dengan tuannya dan akan tertekan jika anda tidak dapat meluangkan masa kepadanya. Kasih sayang yang anda berikan kepadanya pasti akan dibalas berganda-ganda.

Kucing Maine Coon

4 ulasan
Kucing Maine Coon

Tidak dapat dipastikan dari mana asal-usul kucing Maine Coon ini. Apa yang diketahui adalah kucing ini adalah satu-satunya baka jenis bulu panjang yang hidup di utara Amerika secara asal.

Kucing ini mula dikenali di Maine di mana mereka disayangi kerana kebolehannya untuk mengawal populasi tikus. Kini Maine Coon dikenali dengan saiznya yang besar, perwatakan santai dan penampilan yang tampak kasar.

Juga dikenali sebagai gergasi lembut dalam keluarga kucing, adalah tidak asing untuk bertemu dengan kucing Maine Coon yang bersaiz besar berbanding kucing biasa. Kucing ini dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam cuaca yang sejuk.

** Dikemaskini semula pada November 2015 mengikut peredaran masa **

Maine Coon mempunyai susuk yang bersegi empat dan panjang, tulangnya besar dan penampilan keseluruhannya tegap kelihatan seperti pemburu yang hebat. Maine Coon juga mempunyai mata oval yang besar, telinga dan kaki berjumbai serta ekor panjang beralun.

Kucing Maine Coon sentiasa diminati kerana kecantikan dan ciri-ciri nyata seperti jubah yang panjang selembut sutera namun kelihatan kasar. Bulunya lebih pendek di bahagian bahu dan panjang pada perut dan ekor. Bulunya kalis air dan mudah untuk disikat.

Satu lagi ciri yang sangat menarik adalah kucing ini dilihat begitu sukakan air. Tidak memeranjatkan jika anda melihat mereka membantu pemilik mereka mengisi air mandi dalam tub atau melihat mereka merendam makanan mereka dalam air dan bermain-main dengannya.

Maine Coon sangat dikenali dengan sikapnya yang penyayang, kecenderungan untuk berkawan dan kebijaksanaannya. Mereka dapat belajar bermain ambil-ambil dan dapat menyesuaikan diri berjalan dengan tali kekang tanpa memberi kesusahan kepada pemiliknya.

Baka yang menyerikan ini menjadi popular kepada mereka yang mahukan teman dalam hidup mereka. Pemilik Maine Coon menghargai keupayaannya menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan menjadikan mereka sangat serbajadi.

Maine Coon boleh dijumpai dalam beberapa warna dan corak termasuk sewarna, belang, dwiwarna, telon, belang telon, asap dan bayang. Yang paling umum dan dikenali adalah warna belang klasik perang.

Matanya besar berbentuk oval dan warnanya berbeza samada hijau, keemasan atau biru. Maine Coon agak lambat untuk matang dan memerlukan antara 3-4 tahun untuk mencapai saiz penuh sebenar.

Kucing Bengal

13 ulasan
Kucing Bengal berbaring

Kucing Bengal adalah baka kucing bertompok yang sangat istimewa. Baka ini terhasil daripada kacukan silang baka lain seperti Abyssinian, American Shorthair, Burma atau Egyptian Mau dengan Asian Leopard Cat.

Nama Bengal ini datangnya daripada nama Latin bagi Asian Leopard Cat iaitu Feline Bengalensis. Bengal telah mewarisi corak tompok liar yang eksotik dan mengagumkan daripada Asian Leopard Cat, yang banyak dijumpai di Asia tengah.

Baka yang sangat cantik ini merupakan kucing yang penyayang, sangat mengasihi dan suka berkawan di samping mengekalkan ciri unik keluarga liarnya.

** Dikemaskini semula pada Oktober 2015 mengikut peredaran masa **

Kucing Bengal ini bersaiz sederhana dan besar berbanding kucing bulu pendek yang lain. Kucing Bengal juga mempunyai tubuh berotot dengan susuk yang panjang, menampakkan ia lebih besar. Penampilan mereka juga lebih tegap dan teguh.

Bahagian kepala mereka mempunyai riak liar dan menggentarkan dengan telinga bulat kecil, tandaan belang dan tompok yang mendalam pada bahagian muka serta lapis misai yang nyata.

Di sebalik struktur fizikal yang mengingatkan kita kepada moyangnya di hutan liar, kucing Bengal adalah kucing yang mempunyai sifat kasih yang mengagumkan.

Kucing Bengal kadangkala boleh menjadi nakal dan riuh di dalam rumah. Mereka sangat aktif dan sentiasa bersedia untuk bermain. Mereka juga mempunyai personaliti vokal, bijak, penyayang dan suka mendampingi manusia dan memuaskan hati manusia.

Pemilik kucing Bengal akan mendapati bahawa baka ini hampir dengan anjing dari segi personaliti di mana mereka akan mengikuti anda ke mana sahaja anda pergi dari bilik ke bilik dan sentiasa menantikan kepulangan anda dengan sambutan yang ceria.

Kucing Bengal amat sesuai untuk berdamping dengan anak-anak kecil dan binatang peliharaan lain. Kucing yang cantik ini pasti akan menyerikan mana-mana rumah dan menjadi teman setia manusia.

Satu lagi keunikan kucing Bengal adalah mereka sebenarnya suka dengan air. Mereka dapat menghabiskan masa berjam-jam dengan air yang mengalir dari pili air yang terbuka dan menggembirakan kanak-kanak atau golongan dewasa dengan kelincahan mereka bermain dengan air.

Kucing Bengal mempunyai enam warna rasmi iaitu tompok perang-hitam, marmar perang-hitam, tompok salji dan marmar salji. Variasi popular adalah tompok perang-hitam kerana ia paling hampir menyerupai penampilan Asian Leopard Cat.

Tompok perang dan marmar perang mempunyai mata yang besar, ekspresif, berjaga-jaga, berbentuk badam berwarna biru atau hijau. Salji pula boleh dijumpai dengan mata berwarna biru atau lain-lain warna.

Apa Perlu Dibuat Jika Perilaku Kucing Terlalu Liar

Tinggalkan Ulasan
Kucing terlalu liar dan marah

Saya rasakan anda tidak seharusnya lupa bahawa kombinasi ketangkasan, kebolehan memanjat, gigi serta kuku yang tajam dan kedegilan ini membuatkan mana-mana manusia tidak mahu kucing yang jinak bertukar menjadi liar.

Saya bukanlah mahu menimbulkan ketakutan,hanya sekadar mahu menekankan beberapa perkara.

Hanya jika anda berasa sangat cekap dan layak mengendalikan kucing yang berpotensi ganas, jangan sekali-kali memaksa kucing anda melakukan sesuatu melalui kekerasan.

** Dikemaskini semula pada Oktober 2015 mengikut peredaran masa **

Kaedah terbaik berhadapan dengan kucing yang mengganas secara luarbiasa adalah membiarkannya sendirian. Jangan cuba mengongkong atau menghukumnya.

Tinggalkan bilik itu atau biarkan ia beredar ke tempat lain untuk menenangkan diri.

Jika anda mendapati sedang berhadapan dengan kucing yang mengganas dan menyerang, carilah bantuan dari klinik. Anda juga boleh meminta bantuan pusat perlindungan, kelab kucing tempatan, majlis perbandaran atau bomba.

Namun jika masalah ini mengenai anjing, saya syorkan anda hubungi pusat perlindungan, klinik atau bomba terlebih dahulu, mengikut tertib itu.

Panggillah majlis perbandaran sebagai langkah bantuan terakhir. Saya bukan mahu merendahkan pihak majlis, cuma terlalu kerap kita dengar anggotanya kekurangan 'ihsan' atau tidak bersifat penyayang.

Kadangkala kucing juga akan mengamuk, tanpa ada sebarang sebab yang jelas. Namun kes sebegini adalah amat-amat jarang berlaku.

Jika ada, kebanyakannya adalah sebab kesihatan yang serius seperti kerumitan bahagian otak, saraf ataupun trauma.

5 Sebab Mengapa Tidak Boleh Menyahkuku Kucing

Tinggalkan Ulasan
Tangan kudung

Sebelum ini kita telah melihat apa itu nyahkuku. Jika anda berfikir mahu melakukannya, saya mahu memberikan beberapa maklumat untuk membantu anda membuat keputusan.

1. Trend

Pertamanya, anda patut tahu bahawa nyahkuku ini, walaupun didatangkan dengan pelbagai pakej yang penuh dengan istilah kedoktoran, ia adalah trend.

Saya melihatnya sebagai trend Amerika, atau American thing, atau American style. Saya bukan bermaksud prejudis, tetapi jika anda melayari internet, anda akan dapat melihat sendiri siapa yang paling banyak melakukannya.

Saya katakan trend kerana ia adalah sesuatu yang kita lakukan untuk kesenangan kita tanpa memikirkan apakah sebenarnya yang berlaku pada kucing kesayangan.

** Dikemaskini semula pada Ogos 2015 mengikut peredaran masa **

Di UK, nyahkuku dianggap sebagai tidak berperikemanusiaan dan proses pengkudungan yang tidak wajar. Malah terdapat 23 buah negara mengharamkannya dari diamalkan oleh mana-mana pihak.

Malangnya Malaysia tidak termasuk dalam senarai negara yang mengharamkannya. Mujurlah kebanyakan kita tidak melakukannya. Saya sebut 'mujur' kerana tidak ada perangkaan mengenainya, sekadar pengamatan saya sahaja.

2. Mencacatkan kucing

Sebelum anda melakukan nyahkuku, anda perlu jelas bahawa nyahkuku bukan seperti membersihkan kuku, atau memotong kuku, atau mengikir kuku tetapi ia adalah pembedahan yang serius.

Kuku kucing anda sebenarnya bukanlah kuku, tetapi tulang, yang bersendi pada hujung jari kakinya.

Nyahkuku adalah proses membuang tulang itu, dan ini mencacatkannya, atau kudung. Pada peringkat ini anda sepatutnya memahami mengapa ia dianggap tidak berperikemanusiaan.

3. Kesakitan

Ia adalah pembedahan yang menyakitkan dengan proses penyembuhan yang sangat menyakitkan.

Dan ingatlah bahawa sepanjang tempoh penyembuhan itu kucing anda masih perlu menggunakan kakinya untuk berjalan, melompat dan menguis di dalam bekas pasir walaupun dalam keadaan kesakitan.

Jika kita sakit kita dapat berehat di tilam empuk atau duduk di kerusi roda, tetapi kucing tidak dapat buat begitu.

Tiada peminat kucing yang meragui deria kucing adalah sangat tinggi berbanding manusia. Begitu juga dengan kesakitan.

Kucing akan merasa sakit, lebih tinggi berbanding manusia. Namun anda tidak dapat melihat kesakitan itu ditonjolkan oleh kucing, kerana mereka menyembunyikannya.

Bukan kerana ego, tetapi itu adalah fitrah mereka. Kucing tidak akan menonjolkan bahawa mereka sedang berada dalam keadaan lemah kerana ini meletakkan mereka dalam keadaan bahaya, dan secara fitrahnya mereka akan menyembunyikan kesakitan itu.

Di internet, ada sebahagian pemelihara kucing luar negara yang mendakwa kucing mereka OK dan tiada apa-apa kesakitan sepanjang tempoh penyembuhan. Ini adalah tidak benar sama sekali kerana mereka tidak memahami tabiat dan fitrah kucing itu sendiri.

4. Merampas hak kucing untuk mempertahankan diri

Struktur badan kucing dibina untuk memberikan ketangkasan, kelincahan dan kecantikan yang unik kepada spesies ini.

Kukunya adalah penting kerana ia sebahagian daripada binaan ini. Mengkudungkan bahagian penting daripada binaan anatomi ini akan mengubah keselesaan kaki mereka.

Ini juga akan merampas keupayaan mereka untuk mempertahankan diri dan mendedahkan mereka kepada apa sahaja pemangsa atau bahaya dan mereka hanya mampu berlari dan tidak dapat memanjat untuk menyembunyikan diri.

5. Hukumnya Haram

Bagi mereka yang beragama Islam, membuang kuku kucing melalui proses nyahkuku adalah haram. Kerana ini mencacat, menyeksa dan merampas hak kucing. Ia hanya boleh dilakukan jika darurat sahaja, dan kerosakan pada perabot itu tidak dianggap sebagai darurat. Masih banyak cara lain untuk mendidik kucing selain daripada nyahkuku.

Anda boleh merujuk fatwa tersebut di laman Islam Online. Sedikit petikannya saya masukkan di bawah:

Dr. Sano Koutoub Moustapha, professor of fiqh and its principles, International Islamic University, Malaysia, states:

Islam calls upon Muslims to fear Allah in everything including the animals. Islam also calls upon Muslims to be gentle and nice to everything and at all times even when they want to slaughter animals.

In this context, declawing a cat is a form of harming, oppressing, and depriving it from its rights of having claws, which it needs not to scratch your furniture but to scratch and defend itself.

Therefore, you should let your cat grow its claws and find other ways of protecting your furniture other than hurting or harming innocent and friendly animals like cats.

Bagi mereka yang bukan beragama Islam, anda perlu melihat pandangan profesional berkenaan dengan nyahkuku:

"CFA believes the declawing of cats…to be elective surgical procedures which are without benefit to the cat. Because of postoperative discomfort or pain and potential future behavioral or physical effects, CFA disapproves of declawing…"

"The AVAR is opposed to cosmetic surgeries and to those performed to correct ‘vices.’ Declawing is generally unacceptable because the suffering and disfigurement it causes is not offset by any benefit to the cat. Declawing is done strictly to provide convenience for people."

"The AVAR believes that people who desire cats as companions should endeavor to learn about feline behavior prior to adopting a cat. If certain behavioral traits are unacceptable, then the desire for a cat should be reconsidered."

Dalam petikan di atas, kesemua serlahan tebal terhadap ayat tersebut dilakukan oleh saya dan bukan dari pihak berkenaan. Ianya dilakukan untuk memberi penekanan terhadap para pembaca semua.

Membuang Kuku Kucing atau Nyahkuku

4 ulasan
Kecacatan pada kaki kucing akibat nyahkuku

Adakah anda perlu mengambil kira kaedah nyahkuku?

Jika diberi pilihan saya tidak mahu sentuh langsung topik nyahkuku. Prosedur ini dijalankan untuk mengatasi masalah mencakar sepenuhnya.

Sesetengah pembiak baka murni dan organisasi kemanusiaan enggan meletakkan kucing kepada mana-mana pemelihara atau keluarga angkat yang tidak berjanji untuk tidak melakukan nyahkuku.

** Dikemaskini semula pada Ogos 2015 mengikut peredaran masa **

Sesetengah negara juga mengharamkan amalan ini. Setahu saya, yang banyak mengamalkannya adalah di Amerika. Saya berharap peminat kucing di Malaysia tidak akan melakukannya sama sekali.

Larangan nyahkuku di Malaysia hanya melibatkan haiwan liar dan ternakan sementara untuk haiwan peliharaan pula tidak dinyatakan dengan jelas.

Namun ini tidak menghairankan kerana keseluruhan akta perlindungan haiwan di Malaysia ini bagi saya sememangnya lemah dari segala segi.

Untuk orang Islam, hukum nyahkuku terhadap binatang adalah haram. Bagi orang bukan Islam pula, saya harap anda gunalah sifat kemanusiaan yang ada dan mencari jalan lain yang tidak menzalimi binatang.

Meskipun perundangan Malaysia tidak mengharamkannya dengan jelas, saya tidak pernah bertemu lagi dengan mana-mana klinik yang melakukan proses ini.

Namun saya tetap berharap klinik di Malaysia menggantungkan papan tanda 'Klinik Ini Tidak Menerima Pembedahan Nyahkuku' agar ia terpampang dengan jelas.

Nyahkuku adalah pembedahan untuk memotong bahagian terakhir jari kaki. Bayangkan anda membuang hujung jari anda pada ruas pertamanya, begitulah gambarannya.

Kulit kucing akan dijahit pada sendi yang terdedah dan kakinya akan dibalut dan memerlukan masa beberapa minggu untuk pulih. Dalam kebanyakan kes, hanya kuku hadapan sahaja yang dibuang.

Nyahkuku adalah berbeza dengan memotong kuku. Seperti anda memotong kuku, anda hanya memotongnya agar tidak terlalu panjang atau tajam.

Atau anda hanya mengikirnya sedikit. Anda sama sekali tidak akan membuang kuku anda sepenuhnya, tetapi nyahkuku akan membuang keseluruhan kuku kucing.

Kuku kucing bukanlah sekadar kuku, tetapi ia adalah sebahagian daripada struktur tulangnya, malah ia bersambung dengan sendi kakinya. Kerana itu nyahkuku adalah proses mengkudungkan kakinya.

Walaupun prosedur ini berjaya mengatasi perilaku ganas, namun seringkali ia dilakukan setelah kucing itu mencakar buat pertama kalinya dalam rumah.

Mencakar adalah semulajadi dan kucing berasa puas jika dapat melakukannya dan adalah tanggungjawab anda sepenuhnya untuk berusaha mengajarnya mencakar di tempat yang sesuai sebelum anda berfikir mahu melakukan nyahkuku.

Ada yang berpendapat bahawa nyahkuku ini tidak mengapa jika kucing itu tidak dapat diubah langsung tabiatnya dan mengganas, namun saya tidak fikir terdapat begitu ramai pemelihara kucing yang mampu bertoleransi dengan baik.

Kebanyakan mereka hanya tidak mahu menanggung risiko kerosakan perabot mereka dan akhirnya melakukan nyahkuku. Semurah itukah harga seruas kaki kucing?

Bagi saya, anda tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan melakukan nyahkuku. Sepatutnya anda mencuba kaedah ubahan perilaku, seperti mana yang saya anjurkan di blog ini dan banyakkan bersabar.

Anda juga boleh melakukan pengkikiran pada kuku kucing agar tidak terlalu tajam tetapi lakukannya dengan berhati-hati. Tanya diri anda sendiri, adakah anda memberi pilihan kepada kucing anda? Saya pernah menyentuh hal ini dalam topik berlaku adil kepada kucing dan diri anda.

Jika anda memilih juga untuk melakukan nyahkuku, pastikan kucing anda sentiasa berada dalam rumah. Ini kerana tanpa kuku, kucing anda akan terdedah kepada segala bahaya yang ada di luar rumah dan dia tidak akan mampu mempertahankan dirinya. Dia tidak mampu untuk memanjat pokok atau apa sahaja untuk melarikan diri.

3 Perkara Mencegah Masalah Pembuangan Najis Kucing Tak Wajar

2 ulasan
Tahi kucing pada permaidani

Masalah latihan dalam rumah seperti pembuangan najis tak wajar merupakan punca utama rungutan daripada pemilik kucing.

Sudah tentu tiada siapa yang gemar mengendalikan air kencing dan tahi dalam bekas pasir, apatah lagi jika tahi itu berada di bucu rumah anda, bersebelahan televisyen.

Berita baiknya adalah kebanyakan masalah pembuangan tak wajar ini dapat di atasi jika anda benar-benar melihat perkara ini dari sudut alam kucing, membuat beberapa perubahan dan teruskan bersabar.

** Dikemaskini semula pada Jun 2015 mengikut peredaran masa **

Kucing menjauhi bekas pasir

Perkara pertama adalah mengenalpasti mengapa kucing anda tidak mahu menggunakannya. Anda perlu meletakkan masalah kesihatan sebagai andaian pertama, terutamanya jangkitan pada salur kencing.

Jangkitan sebegini menyebabkan kucing hilang kemampuan untuk menahan kencing, walaupun pundi kencingnya belum penuh. Malah jika ia berada dalam tahap kritikal, kucing anda akan berada dalam kesakitan semasa membuang air kencing.

Semasa di klinik dahulu saya pernah menemani doktor melakukan pembedahan pada seekor kucing yang mengalami masalah ini, salurnya tersumbat dan kucing itu berada dalam kesakitan kerana tidak dapat kencing.

Kami berada dalam keadaan terdesak dan terpaksa menjolok jarum halus ke kemaluannya untuk memecahkan karang yang terhasil. Ia mengambil masa selama 12 jam untuk menyelesaikannya!

Walaupun ada sedikit pendarahan namun semuanya berakhir dengan selamat. Selesai operasi, kucing itu dapat kencing dengan puas, sehingga basah lencun bekas pasir itu.

Kerana itu saya selalu menegaskan, pastikan bahawa apa sahaja masalah perilaku itu samada melibatkan masalah kesihatan atau tidak.

Kucing anda mungkin akan mengaitkan kesakitan yang di alaminya dahulu dengan bekas pasir itu lalu bertindak menjauhinya.

Jika ini kesnya anda perlu melatihnya semula. Anda boleh cuba menggantikan bekas pasir itu dengan bekas baru atau timbunan baru supaya ia kelihatan 'berbeza'.

Jika pemeriksaan kesihatan kucing anda menunjukkan dia sihat, anda perlu membuat beberapa eksperimen untuk memastikan apa sahaja yang berkaitan dengan bekas pasir itu menepati citarasanya.

Kebersihan

Kucing adalah haiwan cerewet termasuklah soal kebersihan. Bersihkan bekas itu sekurang-kurang 2 kali sehari dan pembasuhan luar dalam seminggu sekali. Atau gunakan sistem dua bekas.

Jenis bekas dan isiannya

Ada sebahagian daripada kita yang memilih bekas pasir itu mengikut citarasa kita sendiri sehingga tidak menepati citarasa kucing. Dalam hal bekas pasir, anda perlu mengutamakan pilihan kucing itu sendiri.

Bekas berbumbung seperti rumah mungkin kelihatan cantik bagi anda tetapi kucing mungkin menganggapnya sebagai sempit.

Isian yang berbau wangi mungkin menyenangkan anda tetapi tidak bagi kucing, kerana kucing mungkin akan menganggapnya sebagai kotor disebabkan bau yang ada.

Kebanyakan kucing selesa dengan isian pasir gumpal dan ia juga memudahkan kerja-kerja pembersihan. Jangan sembur pewangi padanya.

Lokasi

Bekas ini perlu berada jauh dari kawasan ia makan dan minum. Anda sendiri pun tidak makan dalam tandas, kan. Pertimbangkan lokasi ini dari sudut alam kucing, tempat yang sunyi yang ia boleh nampak apa yang akan pergi ke arahnya.

Kucing tidak mahu sesuatu yang boleh memeranjatkannya semasa berada dalam bekas pasir. Jauhkan dari sumber bunyi bising seperti mesin basuh dan paip air.

Kucing perlu berasa selamat berada di situ dan sudah tentu tidak suka jika semua orang boleh mengintai apa yang dibuatnya di situ.

Sediakan lokasi yang tersorok dan pastikan tiada yang menghalangnya untuk pergi ke situ (timbunan baju, pintu tertutup dan sebagainya).

Jadikan kawasan lain yang pernah dibuangnya najis itu kurang menarik dengan cara membasuh dan menghilangkan baunya, menutupnya dengan plastik atau pita pelekat.

Pencuci berenzim dapat menghilangkan bau najis tetapi memerlukan masa, anda perlu asingkan dahulu kawasan jenayah itu beberapa minggu dengan bahan pencegah.

Jika kaedah di atas tidak juga berjaya, anda mungkin perlu letakkan kucing anda dalam satu bilik selamat yang hanya mempunyai bekas pasir tu sebagai satu-satunya pilihan untuk dia membuang.

Selepas dia mula menggunakan bekas itu semula, anda boleh lepaskan kucing anda dan meluaskan kawasannya sedikit demi sedikit.

Selagi mana anda memainkan peranan anda (jaga kebersihan dan sebagainya) maka kucing juga akan memainkan peranannya dengan menggunakan bekas pasir yang disediakan.

Masalah Si Comel dan Tong Sampah

Tinggalkan Ulasan
Kucing menyelongkar tong sampah

Kaedah yang saya fikir terbaik untuk mengatasi masalah kucing yang selalu menguis dan memasuki tong sampah adalah menggunakan satu ciptaan yang sangat-sangat canggih – iaitu tong sampah yang berpenutup.

Mengapa perlu berhempas pulas dengan kucing anda sedangkan tong sampah berpenutup timbul akan mengatasi masalah itu sama sekali?

Atau anda boleh meletakkan tong sampah itu di dalam kabinet bertutup, yang biasa di buat di bawah sinki dapur. Ini boleh mengelakkan kucing daripada menolak jatuh tong itu lalu menyepahkan ruang rumah anda.