Memahami Deria Bau Kucing

Tinggalkan Ulasan
Kucing menghidu tangan manusia

Manusia dan kucing hidup dalam alam yang berbeza dari segi keupayaan deria bau. Deria bau kucing lebih tinggi berbanding manusia (namun anjing mempunyai deria bau yang jauh lebih tinggi berbanding kucing).

Adakah kini anda masih terkejut jika kucing anda enggan menggunakan bekas pasir yang anda anggap OK tapi KO bagi kucing?

Sudah tentu perihal bekas pasir itu adalah masalah moden dan deria bau kucing ini bukan hanya digunakan untuk menentukan samada benda itu cukup bersih atau tidak.

Bau memainkan peranan penting dalam menentukan sempadan kawasan, aktiviti memburu, dan juga mengenalpasti samada makanan itu selamat dimakan atau tidak.

Anjing bersifat pembangkai dalam hal makanan, iaitu mereka akan makan apa sahaja, 'Makan dahulu, tanya kemudian'.

Kucing pula bersifat pemburu, 'Makanan segar sahaja, terima kasih' atau 'Baru sahaja dibunuh, masih segar, terima kasih'.

Pernahkah anda melihat kucing yang memalingkan hidungnya daripada menghidu makan dalam tin yang telah dibuka untuk beberapa lama? Jawapannya mudah, ada yang tidak kena pada baunya.

Namun begitu, jika kucing anda begitu cerewet sehingga tiada makanan yang mahu dijamahnya, atau anda sedang merawat kucing yang sakit (ketiadaan selera makan), cuba panaskan makanan itu sehingga tahap yang kita biasa panggil suam-suam kuku, tapi janganlah sampai berasap-asap!

Dengan cara ini makanan itu akan berbau lebih sedap dan menjadikan ia lebih lazat dan berselera untuk kucing.

Selain daripada hidung, kucing mempunyai bahagian badan yang dipanggil organ vomeronasal, pada bahagian depan lelangit mulut kucing.

Ia digunakan untuk memproses bau terutamanya yang melibatkan perkara seksual seperti bau yang ditinggalkan oleh kucing betina pada musim mengawan.

Setiap kali kucing menggunakan organ ini, mereka akan membuka mulut mereka sedikit dan merasai bau tersebut. Keadaan luahan sebegini dipanggil Flehmen.

5 Punca Utama Masalah Perilaku Kucing

Tinggalkan Ulasan
Kucing tertidur selepas menyepahkan meja

Kita membuat begitu banyak permintaan terhadap kucing apabila kita membawanya pulang ke rumah.

Kebanyakan situasi, ia dapat dikendalikan dengan baik, begitu juga perihal kekuatan kasih sayang yang dibina antara manusia dan kucing.

Kita meminta supaya kucing melegakan dirinya di tempat yang kita mahu berbanding di tempat lain dalam kawasannya.

Kita meminta kucing mencakar di satu tempat sahaja berbanding di mana-mana permukaan yang dia suka. Kita meminta kucing mengabaikan kebolehannya melompat ke atas meja dan kaunter dapur.

Kita juga turut memintanya mengubahsuai jadual semulajadinya yang aktif pada waktu malam kepada aktif pada waktu siang untuk diselaraskan dengan hidup kita.

Kebanyakan kucing akan bertolak-ansur terhadap semua permintaan kita di atas. Jika ada yang tidak, anda perlu mengenalpasti dahulu puncanya sebelum kaedah penyelesaian dilaksanakan. Ini adalah lima perkara utama yang perlu dipertimbangkan:

1. Masalah kesihatan

Sepertimana yang saya sentiasa tekankan, masalah perilaku biasanya adalah tanda atau tanda awal kesakitan. Kucing yang mempunyai diabetes dan tidak dirawat, misalnya akan minum dan kencing lebih daripada biasa, dan ini akan meletihkan anda kerana terpaksa membersihkan bekas pasirnya lebih kerap.

Bila tidak dibersihkan, kucing anda akan mula mencari tempat lain untuk melegakannya. Kucing yang tiba-tiba mula menggigit mungkin sedang berada dalam kesakitan dan perilaku menggigit itu hanyalah untuk mempertahankan dirinya.

Kucing yang mempunyai masalah jangkitan kuman pada salur kencing pula akan mengalami kesakitan yang amat sangat untuk kencing dan pada fikirannya ia menganggap kesakitan itu berpunca daripada bekas pasirnya lalu berhenti menggunakannya.

Perlukah anda begitu terkejut jika dia berhenti menggunakannya? Segala kaedah mengendali masalah perilaku ini tidak akan berjaya jika puncanya adalah masalah kesihatan. Anda mesti mendapatkan bantuan klinik dalam hal ini.

2. Tekanan

Kucing akan mengalami tekanan jika ada perubahan pada persekitarannya dan akan bertindakbalas dengan mengubah tabiatnya untuk berhadapan dengan perubahan itu.

Mungkin kucing menanda kawasannya pada perabot rumah kerana ia telah dicerobohi oleh binatang peliharaan baru atau orang baru.

Dalam dunia kucing, perilaku sebegini adalah wajar dan menenangkan mereka. Menjadikan dunia mereka dikelilingi bau yang mereka sukai amat mententeramkan mereka, walaupun tidak bagi anda.

Anda perlu menenangkan tekanan mereka dengan beberapa kaedah, yang pernah dibincangkan sebelum ini.

3. Permintaan yang melampau

Anda perlu melihat diri anda sendiri samada anda adalah punca kepada masalah perilaku. Adakah anda meminta sesuatu daripada kucing anda yang mustahil diberikannya?

Kucing anda mungkin tidak akan menggunakan bekas pasir yang anda berikan jika anda jarang membersihkannya.

Atau anda memintanya agar tidak mencakar pada kerusi tetapi dalam masa yang sama tiada apa di dalam rumah yang anda sediakan sebagai pilihan kepadanya untuk mencakar.

Anda perlu memberikannya alternatif lain sebelum mengharap kepada perilaku yang menyenangkan anda.

4. Kebosanan

Anda meminta kucing anda melepaskan dunia dan seluruh isinya dan apa yang anda berikan kepadanya hanyalah beberapa jam menemaninya dan satu tikus mainan? Membosankan!

Kucing dalam rumah memerlukan banyak benda untuk menggembirakan mereka. Mereka memerlukan banyak mainan, tempat memanjat, melompat, menyorok, mencakar dan perhatian daripada anda.

Memiliki seekor lagi kucing mungkin dapat menyelesaikan masalah ini kerana kucing anda mempunyai teman bermain.

5. Latihan yang terlalu keras

Jangan mengharap kucing anda dapat melakukan latihan yang anda beri itu secara serta-merta. Jika anda hanyalah menjerit dan memukul kucing anda, anda tidak akan mengajarnya apa-apa selain daripada memberitahunya bahawa anda adalah orang yang perlu mereka jauhi.

Disiplin fizikal tiada tempat dalam dunia kucing untuk mengubah perilakunya, kucing tidak akan memahaminya. Dan menggunakan kekerasan fizikal hanya akan menambah tekanannya yang akan membawa masalah lebih buruk.

Cara Mudah Memahami Perilaku 'Buruk' Kucing

Tinggalkan Ulasan
Belang tubuh harimau

Ini adalah satu cara yang menyeronokkan untuk anda menghabiskan waktu santai di hujung minggu di samping mempelajari banyak perkara tentang kucing anda.

Dapatkan siri dokumentari berkenaan harimau samada di internet, kedai VCD atau saluran dokumentari televisyen.

Anda pasti berasa kagum melihat bagaimana kucing yang sedang berdengkur di riba anda mengingatkan anda tentang harimau liar yang megah itu.

Cara harimau berjalan dengan penuh anggun lagi bijaksana dan setiap langkah kaki mereka menunjukkan status simbol kekuasaan yang mereka ada.

Perhatikan bagaimana harimau memburu, begitu sabar, diam dan fokus, tidak bergerak langsung melainkan sedikit gerakan sahaja pada hujung ekor.

Sekarang, sila ambil perhatian pada bahagian di mana ditunjukkan hal sempadan kawasan.

Bagaimana harimau memerlukan kawasan mereka sendiri dan bagaimana harimau memberitahu harimau yang lain di mana kawasan buruan mereka bermula dan berakhir.

Mereka menggeselkan badan mereka pada objek lain, mereka menyemburkan kencing dan mereka mencakar batang-batang kayu dan pokok.

Melihat harimau melakukan perkara sebegini adalah lebih dramatik berbanding melihat kucing anda melakukannya.

Bertembung dengan harimau yang sedang menanda kawasan mungkin akan menghabiskan nyawa manusia itu, apatah lagi jika ketika harimau itu sedang melakukan perkara-perkara lain.

Anda pasti tidak mahu berada hampir dengan harimau yang sedang mengasah kukunya!

Harimau menanda kawasan menggunakan air kencing sepertimana kucing. Dengan tiada siapa yang mahu menjerit ke arahnya ketika dia melakukannya, dia terus beredar setelah selesai menanda.

Dunianya mempunyai bau yang dirasakan sepertimana sepatutnya, dan dia berasa aman, tenteram dan selamat berada di situ, dikelilingi bau yang disukainya.

Mungkin pada peringkat ini anda sudah mula melihat isu yang sebenarnya. Perkara sama dilakukan oleh harimau ini adalah menanda kawasan dan ini juga adalah jati diri kucing anda.

Dan anda mahu kucing anda melupakan perkara ini keseluruhannya? Berita buruknya adalah, ia tidak mungkin, apatah lagi adil buat kucing anda.

Mendepani perilaku kucing adalah seperti menjinakkan harimau. Anda perlu bekerja secara berperingkat, masa ke masa, dengan sabar, untuk membentuk semula perilaku yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak.

Bagaimana Kucing Menyemburkan Kencing Untuk Menanda Kawasan

1 ulasan
Kucing menyembur untuk menanda kawasan

Menggunakan air kencing untuk menanda kawasan adalah berbeza dengan melepaskan air kencing untuk kelegaan diri. Pendekatan yang berbeza diperlukan berbanding kaedah yang digunakan untuk memujuk kucing anda menggunakan bekas pasir.

Penyemburan merupakan salah satu cara kucing berhubung antara satu sama lain. Ia hancing dan tengik kepada manusia tetapi harum dan bermaklumat kepada kucing lain. Ia ibarat surat-menyurat atau sistem pesanan ringkas yang diamalkan sesama manusia.

Kucing yang menanda kawasan akan membelakangi objek itu dan menyemburkan air kencing dengan ekornya diangkat tinggi serta badan bergetar, mengalihkan beban badannya pada kaki belakang, sebelah menyebelah. Perlakuan sebegini dipanggil penyemburan.

Walaupun kedua-dua jantina menanda kawasan, kucing jantan adalah yang biasa melakukannya, diikuti kucing betina ketika musim mengawan.

Ia juga cara untuk kucing betina mengiklankan diri bahawa ia mahukan pasangan mengawan terhadap kucing lain. Bahan feromon yang terkandung di dalam air kencing memberitahu bahawa kucing betina itu bersedia untuk menerima kucing jantan.

Bau air kencing yang disemburkan untuk tandaan kawasan juga berbeza berbanding air kencing biasa. Semburan biasanya berbau lebih hancing disertai dengan bauan tajam dan pedas.

Aturan pertama untuk menghadapi masalah ini adalah memastikan kucing anda dikembirikan. Prosedur ini menyelesaikan hampir 90% masalah sebegini, jika ia dilakukan sebelum kematangan seksual, iaitu kira-kira umur 6 bulan.

Jika kucing anda masih melakukannya walaupun telah dikasi, ada kemungkinan ia berpunca daripada tekanan persekitaran. Kehadiran orang baru, atau kucing jiran dalam halaman rumah, mampu menyebabkan masalah ini berlaku.

Anda boleh cuba membasuh kawasan yang ditanda dan menutupnya dengan kertas aluminium, kerana kucing tidak suka dengan bunyi yang kedengaran bila air kencingnya disembur terhadapnya.

Jangan pukul kucing anda walaupun anda menyaksikan sendiri kejadian itu. Memukulnya hanya akan membuatkan kucing anda berasa tidak selamat dan akan menyebabkan dia menanda lebih banyak kawasan.

Kucing Yang Suka Bercakap

4 ulasan
Kucing mengiau

Sesetengah kucing lebih peramah berbanding lain, malah perwatakan suka bercakap ini adalah yang dicari-cari oleh penggemar kucing Siam dan lain-lain baka Oriental.

Jika anda mempunyai kucing Siam yang bising, nampaknya terpaksalah anda menerima hakikat itu dan hidup dalam keadaan begitu, kerana untuk mengubahnya adalah mustahil. Ibarat mahu menghilangkan belang pada harimau.

Ada juga kebisingan ini lahir sejak kecil. Anak kucing yang memanggil ibunya jika mahukan sesuatu. Ada juga kebisingan ini dilatih secara tidak langsung oleh manusia, yang diperhatikan oleh kucing.

Jika anda bangun dan melayaninya setiap kali kucing anda meminta sesuatu, seperti mahu makanan atau mahu keluar, atau mahu masuk, anda telah mengajarnya bahawa suaranya merupakan arahan kepada anda, walaupun tengah malam buta.

Jika ini situasinya, maka keadaan ini masih boleh diubah. Jangan penuhi kehendak mereka jika mereka mengiau. Jika anda mula dengan mengabaikan laungannya tetapi mengalah beberapa ketika kemudian, anda hanya mengajarnya bahawa untuk menyuruh anda melakukan sesuatu hanya perlu buat lebih banyak bunyi bising dan bukannya makin kurang.

Benarkah Kucing Berdengkur Apabila Gembira?

6 ulasan
Kucing sedang tenteram di padang

Dengkuran kucing adalah unsur yang sangat istimewa bagi kucing. Membelai kucing yang berdengkur ini membawa ketenangan kepada manusia yang membelainya dan menurunkan tekanan darah.

Dengkuran kucing ini telah lama zaman-berzaman membawa senyuman kepada manusia samada tua atau muda. Kucing juga ada digunakan untuk memberi kegembiraan kepada mereka yang berada dalam kesakitan, untuk mereka melupakan kesakitan mereka, atau mungkin juga kesunyian yang melanda.

Kucing mampu memberikan ini semua, hanya dengan berkelakuan sebagai kucing.

Namun pakar pengkaji telah memerhati dengan khusus fenomena dengkuran ini dan melihat ia bukan sekadar tanda ketenangan atau kesenangan. Kucing juga berdengkur jika mereka cedera, semasa melahirkan anak, malah ketika menghadapi kematian.

Dengkuran ini juga sebagai tanda persahabatan, samada kucing itu senang ketika ditemani atau ketika saat memerlukan seorang teman, sepertimana kucing yang sedang menghadapi masalah.

Kucing mula berdengkur sebelum mereka dapat membuka mata mereka lagi sejak kecil, terutamanya ketika menyusu, dan memberi ketenangan kepada ibu kucing, yang turut juga berdengkur.

Jika ada kelebihan kucing domestik berbanding Raja Rimba dan mana-mana kucing besar yang lain adalah kucing domestik dapat berdengkur tetapi singa, harimau dan lainnya tidak.

Harimau dapat mendengus sebagai tanda persahabatan tetapi hanya ketika menghembus nafas. Tiada keluarga kucing besar dapat berdengkur secara berterusan ketika menyedut dan juga menghembus nafas.

Namun begitu, kucing-kucing besar ini meskipun tidak dapat berdengkur, mereka diberikan satu kelebihan lain, iaitu mengaum. Kucing domestik tidak dapat mengaum, iaitu pada saya lebih baik begitu. Tiada siapa yang mahu membela kucing jika kucing dapat mengaum.

Kucing yang lebih tua juga didapati berdengkur apabila cuba mendekati kucing muda, sebagai tanda dia ingin bersahabat dan berkawan. Jika di klinik haiwan, kucing yang cedera juga berdengkur untuk menenangkan dirinya sendiri.

Anehnya dengkuran ini didapati berhenti jika dia terdengar bunyi air mengalir, seperti air paip di sinki. Kadangkala doktor terpaksa membuka air ini untuk menghentikan sebentar dengkuran kucing kerana sukar untuk mendengar denyutan jantung kucing disebabkan dengkuran itu.

Walaupun kebanyakan pakar dapat mengenalpasti mengapa kucing berdengkur namun mereka belum pasti bagaimana mereka berdengkur.

Pendapat umum mengatakan dengkuran itu berasal dari peti suara yang dipanggil korda vestibular dan melalui struktur inilah yang memberikan dengkuran kucing yang memberi ketenangan kepada manusia. Tapi masih belum ada yang mengetahuinya secara sahih.

Apa Ertinya Timbangrasa dan Tekal Terhadap Kucing Anda

2 ulasan
Kucing bersembunyi di bawah katil

Anda perlu memastikan apa yang anda kehendaki daripada kucing anda adalah sesuatu yang adil kepadanya. Ini diterjemahkan kepada dua soalan iaitu: Adakah anda bertimbangrasa? Dan adakah anda tekal?

Apa ertinya timbangrasa

Bertimbangrasa ialah menawarkan atau menyediakan pilihan terhadap kucing anda. Contohnya, anda tidak mahu dia membuang merata-rata, maka sediakan bekas pasir dan lokasi yang disukainya.

Atau anda tidak mahu dia mencakar karpet, maka sediakan tiang cakar atau pad cakar dan lokasi yang disukainya.

Jika anda tidak mahu dia mencakar tapi anda tidak menyediakan tempat untuknya sebagai alternatif mencakar, dan dalam masa yang sama anda mahu membelainya dan mengharapkan dia menggembirakan anda, itu bukan bertimbangrasa.

Anda juga bertanya samada anda memenuhi kehendak kucing anda, bukan sekadar kehendak anda semata-mata, misalnya, adakah dia mempunyai senaman dan masa bermain yang mencukupi?

Jika kucing anda senantiasa berasa perlu melakukan sesuatu dan anda tidak ada untuk bermain dengannya (seperti kebanyakan kita) mungkin anda boleh menimbangkan untuk memelihara seekor lagi kucing untuk menemaninya.

Berhati-hati kerana tidak semua kucing dapat menerima kehadiran kucing baru. Sesetengahnya mempunyai sikap yang begitu menyendiri dan menampilkan kucing baru akan menimbulkan lebih banyak masalah dari yang sediada.

Malangnya tiada kaedah yang dapat digunakan untuk menduga dari awal samada kucing anda dapat menerima kehadiran kucing baru atau tidak.

Apa ertinya tekal

Tekal pula ialah mengharapkan piawaian atau reaksi perilaku yang sama. Membenarkan kucing anda berada di atas kaunter dapur ketika anda berdua di rumah namun mengharapkannya menjauhinya ketika kehadiran tetamu adalah tidak tekal.

Begitu juga dengan membenarkannya tidur di atas sofa pada suatu masa tetapi memarahinya pula di atas tindakan sama pada masa yang lain adalah tidak tekal. Dan ini adalah tidak adil.

Bagaimana Menggalakkan Kucing Menggunakan Bekas Pasir

11 ulasan
Kucing sedang berbaring di dalam bekas pasir

Pada masa sama anda memastikan bekas pasir kucing anda bersih, anda juga perlu memberikan ilham kepadanya untuk tidak menggalakkannya mengunjungi tempat buangan lain selain daripada bekas pasir yang disediakan.

Kaedahnya adalah dengan membuatkan kawasan itu berbau yang tidak menyenangkan atau meloyakan baginya. Bagaimana melakukannya? Melalui penggunaan bau, sentuhan dan beberapa pengetahuan asas tentang kucing.

Perkara pertama adalah bersihkan sepenuhnya kawasan jenayah itu menggunakan sabun dan air, atau cuka dan air, atau pembersih berenzim yang dirumus khas untuk najis binatang peliharaan. Sebarang kesan tinggalan bau akan menjemput kucing anda kembali ke situ.

Setelah kawasan itu bersih, cuba beberapa kaedah berikut untuk tidak menggalakkannya daripada menggunakan tempat itu atau mengubah bagaimana dia menggunakan kawasan itu.

Kita makan di sini

Letakkan mangkuk makanan berhampiran dengan kawasan jenayah itu berlaku. Kucing tidak suka membuat 'pelaburan' di tempat ia makan. Anda boleh ubah lokasi makanan itu dari masa ke semasa setelah kucing anda mula menggunakan bekas pasirnya semula.

Jerangkap samar

Letakkan ///peralatan pencegah/ di kawasan itu. Anda boleh menutupnya dengan bahan-bahan yang tidak disukai oleh kucing seperti pita pelekat, kertas aluminium atau hamparan plastik.

Anda juga boleh menyembur kawasan itu dengan bau yang tidak digemari kucing seperti sitrus. Jika kucing anda membuang di dalam bekas tanaman, letakkan batu-batu tajam bersaiz sederhana di atasnya.

Baiklah, kita buang di sini

Letakkan bekas pasir itu di kawasan yang dibuangnya. Kaedah ini seperti 'jika kita tak mampu menentangnya, sertai mereka'. Selepas kucing anda mula menggunakan bekas pasir itu semula, alihkan kedudukannya sedikit demi sedikit.

Berikan juga ganjaran seperti makanan kegemarannya jika dia menggunakan bekas pasirnya semula.

Kekerasan memburukkan keadaan

Jangan sesekali menggunakan kekerasan fizikal. Seringkali saya ingatkan di sini, pertamanya ia tidak berkesan. Keduanya, menghukum kucing yang menjauhi bekas pasir kerana dia tertekan tidak akan membantunya untuk bertenang.

Saya pernah melihat bagaimana seorang pemilik marahkan kucing lalu memegangnya pada bahagian kepala, kemudian memaksa kucing itu menghidu kesan kencingnya sendiri dan menghentak-hentak hidungnya pada air kencing itu.

Dia seakan berbangga dengan mengatakan kucing itu tidak lagi kencing di situ, tapi apa yang saya perhatikan, kucingnya mengalami tekanan, mudah terkejut dan mendengus, seringkali sakit dan pemakanannya terganggu kerana ia enggan makan makanan yang diberi oleh pemiliknya lagi, sebaliknya memilih untuk mencari makanan dalam tong sampah.

Tolonglah, jangan gunakan kekerasan terhadap kucing. Jika anda tidak mampu bersabar, anda perlu berfikir banyak kali sebelum memelihara kucing.

Menyiasat Pembuangan Najis Kucing Tak Wajar

Tinggalkan Ulasan
Najis kucing di luar bekas pasir

Ramai orang melihat pembuangan tak-wajar sebagai satu masalah. Sebenarnya ia berpotensi sebagai beberapa masalah, bukan hanya satu.

Ia juga mungkin berkait di antara satu sama lain, atau mungkin juga tidak. Perilaku paling asas adalah kucing itu mahu menanda kawasan dan kucing yang meluahkan rasa tidak puas hati atau kurang senang menggunakan bekas pasir.

Pertamanya, anda perlu memerhati apa yang kucing anda lakukan, adakah ia menanda kawasan atau menjauhi bekas pasir, sebelum memulakan langkah membaikpulih situasi ini.

Sediakan buku nota

Cara ini mungkin lucu, tetapi ianya berkesan. Buatkan satu jurnal berkenaan 'pelaburan' kucing anda.

Buku nota biasa pun memadai di mana anda mencatatkan masa dan tarikh, apa yang anda jumpai (kencing atau najis), di mana anda jumpai (permukaan mendatar atau dalam kes air kencing, permukaan menegak, seperti bahagian tepi sofa anda) dan lokasi pembuangan itu (dalam bilik air, himpunan baju, sebelah bekas pasir).

Mengambil nota bukan sahaja membantu anda mengesan masalah sebenar dan bagaimana menghadapinya, malah ia juga membantu anda mengesan walaupun tanda-tanda kecil kemajuan situasi ini.

Paling penting, rekod bertulis juga membantu doktor mendapat maklumat yang diperlukan untuk mendiagnos sebarang masalah penyakit.

Apa yang dibuang, dan di mana?

Kebanyakan binatang, kencing dan tahi adalah sama pertimbangannya baik penandaan kawasan ataupun sekadar membuangnya daripada badan.

Anjing yang mengangkat sebelah kakinya pada setiap perabot dan penjuru rumah, misalnya, sedang menanda beberapa kawasan dan meletakkan pesanan tertentu. Ini berbeza dengan anjing yang mengangkat sebelah kaki sekali sahaja dan membiarkan kencingnya keluar dengan banyak.

Situasi pertama itu melibatkan penandaan kawasan. Situasi kedua itu anjing tersebut tidak memahami di mana dia dibenarkan untuk melegakan kencingnya, atau dia dihalang untuk kencing di tempat yang dibenarkan, atau kedua-duanya sekali.

Senario yang sama juga berlaku terhadap kucing, terutamanya kucing jantan yang tidak dikembirikan. Kadangkala kucing hanya melegakan dirinya sendiri, kadangkala pula ia sedang memberi pesanan tertentu.

Perbezaannya ialah lokasi dan keadaan buangannya. Di mana pembuangannya, dan apakah yang berlaku pada persekitaran kucing itu?

Mengenali tanda 'Aku nak buang dah ni'

Kucing yang hanya melegakan dirinya pada tempat yang sepatutnya akan melepaskan buangannya pada permukaan rata.

Jika anda nampak dia melepaskan kencing, anda akan perasan bahawa dia mencangkung. Mencangkung adalah perilaku yang berbeza berbanding yang menanda kawasan.

Jika anda mendapati kucing anda melakukan buangan rata, walaupun permukaan yang melengkung seperti bahagian dalam sinki, anda mempunyai kucing yang sedang melepaskan hajatnya, di tempat yang tidak sesuai dan bukannya menanda kawasan.

Mengenali tanda 'Aku ada perkara nak disampaikan'

Kucing yang menanda kawasan, atau penyemburan, mengambil pendekatan yang jauh berbeza berbanding pelepasan kencing yang biasa.

Kucing akan mula menghidu objek yang difokuskan, kemudian membelakanginya. Dengan ekornya diangkat tinggi dan badannya bergetar, dia melepaskan kencingnya sedikit ke arah permukaan tadi.

Kadangkala dia memindahkan berat badannya ke bahagian kaki belakang sebelah menyebelah semasa dia menyemburkan kencingnya.

Semua kucing samada jantan atau betina berpotensi menanda kawasan namun kucing jantan adalah yang paling banyak melakukannya.

Bagaimana pula dengan tahi?

Tidak terlalu sukar untuk memahami apa yang berlaku melalui keadaan air kencing, tompok basah pada permukaan mendatar dan perbuatan mencangkung adalah tanda kucing melegakan dirinya.

Manakala tompok basah pada permukaan menegak dan kedudukan berdiri adalah tanda kucing meletakkan batu sempadan kawasannya. Tapi bagaimana pula dengan hadiah ketulan-ketulan kecil itu? Apakah maksudnya?

Walaupun ada sesetengah kucing yang menggunakan najis tidak terlingkup sebagai tanda kawasan, ianya lebih kepada tanda kucing itu sebenarnya menjauhi bekas pasir.

Siapa Dalangnya?

Disebabkan ramai orang berkongsi kehidupan dengan lebih dari seekor kucing, sukar untuk memastikan siapa yang melepaskan hajatnya di tempat yang tidak sepatutnya.

Sesetengah orang memberi cadangan agar mengasingkan setiap kucing, satu demi satu dalam satu bilik yang selamat. Namun kaedah ini mungkin tidak akan berjaya jika puncanya adalah pertelingkahan di antara kucing.

Dalang itu mungkin akan memberi reaksi positif terhadap pengasingan ini dan berhenti daripada membuang merata-rata, dan apabila kucing-kucing itu bersama semula masalah itu akan timbul kembali.

Dan anda masih tidak mengetahui siapakah yang bertanggungjawab.

Caranya ialah gunakan pewarna makanan yang biasa. Titiskan beberapa pewarna makanan biru atau hijau ke dalam mulut kucing sebelum memberinya makanan. Ketulan tahi yang terhasil sepatutnya akan kelihatan lebih gelap berbanding kucing lain.

Untuk kencing pula, memang sukar untuk mengetahui kucing manakah yang melakukannya.

Peralatan Untuk Mendisiplinkan Kucing

Tinggalkan Ulasan
Peralatan mendisiplinkan kucing

Gunakan botol penyembur air seperti yang digunakan untuk merenjis air pada baju yang digosok, hon dan bahan pencegah lain jika anda melihat kucing anda melakukan sesuatu yang anda tidak suka seperti duduk di atas meja atau dapur.

Seboleh-bolehnya, jangan biarkan kucing melihat anda yang menyembur air atau membunyikan hon supaya kucing anda mengaitkan gangguan tersebut dilakukan oleh meja atau dapur itu sendiri.

Alat seperti tikar elektrik yang memberikan kesan elektrostatik jika disentuh adalah bagus untuk tujuan ini. Ia mampu mendisiplinkan kucing anda tanpa kehadiran anda.

Tetapi saya hanya menggunakan pita pelekat dwipermukaan yang dikenakan di atas kepingan kadbod dan diletakkan pula atas meja atau mana-mana bahagian perabot. Mudah, murah, berkesan dan paling utama, tidak mencederakan anda atau kucing anda.

Penyembur cegah juga boleh digunakan untuk menjauhkan kucing anda dari tempat yang tertentu. Ia amat berkesan terutamanya kepada anak kucing yang suka bermain-main dan menggigit atau mengunyah kabel elektrik atau telefon.

Kabel elektrik, telefon dan segala peralatan yang mempunyai arus elektrik perlu dijauhkan daripada kucing. Anda hanya perlu menyemburnya sedikit pada kabel tersebut dan biarkan ia kering seketika sebelum memasangnya.

Awas jangan sampai terkena tangan anda kerana baunya akan menjauhkan kucing anda daripada anda. Jika terkena tangan anda perlu membasuhnya dengan sabun sebelum ia kering dan bilas beberapa kali.

Memelihara Kebersihan Bekas Pasir Kucing

2 ulasan
Bekas pasir kucing yang bersih

Kucing adalah haiwan yang cerewet dan jika bekas pasir mereka kotor, mereka akan mencari tempat lain untuk 'melabur'.

Bayangkan begini, pernahkah anda memasuki tandas awam yang sangat kotor, berbau hancing dan terdapat pula ketulan aneh terapung-apung pada permukaan air, di lubang tandas itu?

Sudah pasti anda tak berselera nak membuang di situ.

Jadi, bagaimana hendak membersihkan bekas pasir itu? Adakah kita perlu menjenguknya beberapa kali seminggu, atau hanya pada hujung minggu?

Adakah kita hanya perlu menunggu sehingga tak tertahan baunya atau sehingga kelihatan ketulan-ketulan membukit, sebelum mencucinya?

Dan jika mencucinya pula, adakah sekadar mencedok tahinya, dan tambah lagi pasir ke dalamnya? Sebenarnya jika kita tidak menjaga kebersihan bekas pasir itu, tidak adil untuk kita mengharapkan kucing kita menggunakannya.

Anda perlu memulakan dengan menyediakan bekas yang bersih dan sentiasa menjaga kebersihannya.

Bermula Dengan Bekas Yang Bersih

Walaupun bekas itu baru dibeli, kita masih perlu menggosoknya dengan air suam dan sabun, membilasnya dengan baik dan keringkan dengan cara mendedahkannya pada sinar matahari dan udara.

Kucing mempunyai deria bau yang lebih baik berbanding manusia, dan mereka mungkin akan tawar hati dengan bau yang terhasil dari proses pengilangan, pembungkusan dan penghantaran. Bahasa mudahnya adalah bau kedai!

Jika bekas itu pernah digunakan sebelum ini, teruskan membasuh dengan air suam dan sabun, ditambah dengan bahan peluntur baju.

Cairkan dahulu bahan peluntur itu, setengah tudung penutup dengan satu liter air (lebih kurang satu botol minuman gas/bikarbonat saiz besar) sudah memadai.

Kemudian bilas 3-4 kali dengan air bersih sebelum dikeringkan pada udara terdedah. Peluntur yang telah dicairkan adalah pembasmi kuman yang selamat digunakan tetapi pembasmi kuman jenis lain adalah tidak digalakkan.

Ini kerana kehadiran bau dari pembasmi itu hanya menyebabkan keadaan lebih buruk. Ammonia misalnya, mempunyai komposisi kimia seperti air kencing dan boleh membuatkan kucing anda menganggap kotak najis yang bersih itu kelihatan kotor hanya disebabkan baunya.

Kebersihan Yang Berterusan

Meskipun telah dibasuh, ia masih tidak mencukupi jika tiada penjagaan kebersihan berterusan. Ada sesetengah kucing yang sangat- sangat cerewet sehingga enggan membuang dalam bekas yang pernah digunakan.

Jika anda tidak mampu untuk mencedoknya serta-merta (secara peribadi, saya juga tidak mampu) cubalah 2 kali sehari atau sekali sehari sekurang-kurangnya.

Anda juga boleh menawarkan kepada kucing anda satu tandas yang bersih dengan menyediakan dua bekas pasir diletakkan bersebelahan. Sesetengah kucing menyukai sistem dua bekas. Satu untuk kencing, satu lagi untuk berak.

Jangan lupa walaupun anda tekal mencedoknya setiap hari, anda masih perlu membasuhnya luar dalam dan membasmi kuman selepas jangka masa tertentu.

Ada sesetengah orang yang menggunakan hamparan lapisan plastik pada dasar bekas untuk memudahkan proses pembersihan

Masalahnya adalah sesetengah kucing tidak menggemarinya, mereka merasakan baunya mencengkam dan tidak suka dengan rasa plastik di bawah kaki mereka.

Jika kucing anda boleh menerimanya, anda boleh teruskan kerana memang ia memudahkan kerja.